Motosikal

SHIFTBOSS 2.0 – QUICKSHIFTER MURAH UNTUK MOTOSIKAL ANDA. RM250 SAHAJA!

Tidak lama selepas melancarkan ECU TuneBoss generasi kedua, FSR Technology (TuneBoss) kini melancarkan pula ShiftBoss 2.0. untuk digunakan bersAma dengan ECU mereka. ShiftBoss boleh digunakan pada kedua-dua generasi ECU TuneBoss termasuklah dari Stage 1 hingga Stage 3 pada ECU TuneBoss Gen2.

Secara umumnya, ShiftBoss ialah sistem quickshifter, satu alat khas yang membantu penunggang menukar kedudukan gear dengan lebih pantas tanpa perlu menarik klac dan menutup pendikit.

Walaupun quickshifter bukanlah sesuatu yang baru, tetapi TuneBoss berjaya membawa teknologi yang sebelum ini hanya ditawarkan pada motosikal berkuasa tinggi kepada hampir semua model motosikal yang dipasang dengan ECU TuneBoss.

Hasil penyelidikan dan pembangunan selama dua tahun, ShiftBoss 2.0 adalah lebih fleksibel dan mempunyai tahap kebolehkepercayaan yang lebih tinggi berbanding ShiftBoss versi lama.

Sehingga hari ini, terdapat lebih 30,000 pengguna ECU TuneBoss sejak ia dilancarkan tujuh tahun lalu. Setakat ini, hanya sekitar 10 peratus yang telah memasang modul quickshifter. Ini mungkin kerana ShiftBoss versi lama hanya direka untuk dua model sahaja. 

“Sekarang, selain model Yamaha FZ150i dan Y15ZR, ShiftBoss 2.0 sesuai untuk model-model lain seperti R25, R15, MT-15, Y16 dan Honda RS150R,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali.

Dijual pada harga RM250, ShiftBoss 2.0 menggunakan sistem inovatif yang menjadikannya sangat mampu milik jika dibandingkan dengan sistem quickshifter yang lazimnya menggunakan sistem load cell.

“Untuk sistem ShiftBoss 1.0, kami tidak menyedari bahawa betapa uniknya sistem itu. Jadi, kami tidak memohon perlindungan harta intelek (IP). Untuk ShiftBoss 2.0, kami telah belajar dari pengalaman. Kami tahu sistem kami unik dan inovatif dan telah mengambil langkah untuk memastikan IP kami dilindungi,” jelas Farhan.

Dari segi penggunaan, penguji ShiftBoss 2.0 yang biasa dengan quickshifter jenis load cell mengatakan perbezaan rasa adalah terlalu sedikit kalau dibandingkan antara dua sistem itu. Namun, jika  dibandingkan dengan ShiftBoss yang lama, ShiftBoss 2.0 rasa lebih lancar untuk digunakan.

Pengguna ShiftBoss lama boleh menaik taraf kepada sistem yang baru dengan hanya perlu menukar bahagian perkakasan pada harga RM100. Sebagai peringatan, perkakasan yang dibeli selain daripada pengedar TuneBoss tidak akan berfungsi kerana ia perlu diaktifkan dengan kunci elektronik yang datang sekali dengan setiap kit ShiftBoss.

Seperti ECU TuneBoss, ShiftBoss 2.0 hanya boleh didapati dari 49 pengedar sah TuneBoss di seluruh Malaysia.

Kini, pemilik Yamaha MT-15 atau Y16 boleh menikmati prestasi lebih mantap daripada jentera mereka dengan hanya berbelanja RM649. RM399 untuk ECU TuneBoss Stage 1 dan RM250 untuk ShiftBoss 2.0 termasuk pemasangan serta mapping untuk enjin standard.

Google ads
Back to top button