
BAS PERSIARAN TERBAKAR 100% DI PLAZA TOL UPM, 44 PENUMPANG SELAMAT
Seramai 44 penumpang berdepan detik cemas selepas bas persiaran dinaiki mereka terbakar di Plaza Tol UPM, Serdang.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.19 pagi, pada Ahad.
“Sebuah bas persiaran dari Johor Bharu menghala ke Kuala Lumpur mengalami kebakaran 100 peratus.
“Bagaimanapun, seramai 44 penumpang dan pemandu bas terbabit berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebakaran turut menyebabkan bumbung pondok tol terbakar 10 peratus. “Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Berikutan insiden tersebut, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup sementara laluan keluar di persimpangan bertingkat Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk kerja-kerja pemeriksaan lanjut struktur plaza tol.
“Pengguna dari arah utara (Sungai Besi/Kuala Lumpur) yang ingin keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan di persimpangan UPM dinasihatkan supaya berbuat demikian di Persimpangan Bertingkat Kajang.
“Pengguna dari Bangi, Nilai atau Selatan dinasihatkan dari lebuh raya menerusi Persimpangan Bertingkat Kajang atau Sungai Besi sebelum menggunakan laluan alternatif,” katanya hari ini. – Sinar Harian / Utusan Online