Buletin

10 JAM PADAMKAN TANGKI MINYAK TERBAKAR, BEKALAN TIDAK TERJEJAS

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk memadam kebakaran membabitkan sebuah tangki di loji penapisan minyak di Port Dickson baru-baru ini.

Pengarah JBPM negeri, Hamdan Ali berkata, kebakaran tangki bersaiz 61 meter lebar dan ketinggian 23 meter itu berjaya dipadamkan pada 1.50 pagi.

“Proses pemadaman tangki dengan kapasiti minyak sedia ada sebanyak 53,500 liter itu mencabar, berbahaya serta perlu dilaksanakan secara berhati-hati oleh 124 anggota dan pegawai dari JBPM negeri dan Putrajaya.

“Ini termasuk 25 orang daripada Hengyuan Refining Company Bhd (HRC) dan 10 orang ERT PETRON. Walaupun menghadapi kesukaran, kita berjaya menangani insiden ini dengan berkesan,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Semalam, Hengyuan Refining Company Bhd dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata, kebakaran berlaku di salah sebuah tangki minyak mentah di premisnya.

Menurutnya pasukan Pengurusan Respons dan Kecemasannya digerakkan dan pasukan Fire, Rescue and Medical (FiRM) telh bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 4.30 petang bagi memadamkan kebakaran itu.

Kebakaran tangki minyak mentah itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada seluruh infrastruktur bekalan kerana ia melibatkan sebuah tangki sahaja dan tidak merebak ke tangki penyimpanan minyak bersebelahan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata pihak Hengyuan Refining Company Bhd (HRC) memberi jaminan bahawa bekalan tidak terjejas namun pemeriksaan sepenuh bekalan sedang dilakukan oleh pihak syarikat itu.

“Operasi gantri di loji penapisan minyak kembali pulih seperti sediakala dan kembali membekalkan stok gas petroleum cecair (LPG), Petrol U97, Kero dan diesel kepada pihak SMT Sdn Bhd, NGC Energy Sdn Bhd dan Petron mulai jam 2.40 pagi ini.

“Mengikut rekod syarikat, simpanan semasa tangki itu adalah 10,000 liter dengan saiz tangki berukuran 23 x 60 meter,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati kebakaran itu terjadi akibat panahan petir berikutan hujan lebat. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button