
10 KERETA YANG LASAK DI UK, MENGIKUT DATA CARWOW DAN WARRANTYWISE
Minggu lepas kami telah mengeluarkan artikel berkenaan model kereta yang popular dan selalu membuat tuntutan jaminan dengan pembekal jaminan pihak ketiga iaitu Warrantywise di UK. Seperti yang dijangka, kebanyakan model yang banyak mengalami masalah ialah model dari jenama Eropah.
Untuk artikel kali ini, kami senaraikan jenama dan model kereta yang paling kurang bermasalah dan membuat tuntutan jaminan di UK

10. Suzuki Alto 2009-2014 – antara model kereta kompak yang popular di UK disebabkan saiznya yang kecil dan harga yang murah dan lasak. Anda tak perlu berhutang untuk membeli kereta ini di UK. Disebabkan pemandu UK masih gemarkan kereta manual, maka tuntutan yang selalu dibuat ialah berkenaan sistem klac dengan kos sekitar RM2024. Namun kos paling mahal yang pernah dibayar ialah berkaitan brek dengan harga mencecah RM 3000.

9. Ford EcoSport – berbanding dengan adik beradiknya yang lain, SUV kompak ini jarang menimbulkan masalah. Namun jika ada ia berkaitan dengan sistem termostat dengan kos purata RM 731. Namun kos paling mahal berkaitan dengan unit infotainment dengan kos sekitar RM 1000 untuk dibaiki

8. Lexus CT 200h – merupakan sebuah kereta kompak hibrid yang menggunakan cesi MC (sama seperti Corolla). Kereta ini amat jarang bermasalah, namun jika ia berlaku mungkin disebabkan oleh masalah injap sistem pengitaran semua gas ekzos dengan kos RM 3132. Namun terdapat juga kes yang melibatkan penggantian kipas sistem pemanas yang berharga RM3300

7. Nissan Leaf 2010 – merupakan kereta elektrik generasi pertama yang dihasilkan oleh Nissan dan antara masalah popular yang berkait dengan model ini ialah komponen elektrik (maaf tidak dinyatakan) dengan kos RM 3400.

6. Volkswagen UP – merupakan kereta kompak dalam segmen A yang ditawarkan oleh Volkswagen dengan enjin bersaiz 3 silinder 1000cc dengan pilihan turbo. Antara masalah yang selalu dihadapi oleh enjin ini ialah masalah sistem brek dengan kos pembaikan sekitar RM 1626. Namun kos paling mahal ialah untuk pembaikan sistem klac yang mencecah sehingga RM 4256

5. Mazda 2 – juga dikenali dengan nama Demio dan popular di pasaran kereta terpakai. Antara masalah yang biasa dihadapi ialah berkaitan dengan komponen sistem stering yang memerlukan kos sekitar RM1265. Bagi kos paling mahal yang pernah dituntut melibatkan penggantian pam air untuk enjin yang berharga RM2231.

4. Dacia Sandero – merupakan jenama koloborasi antara Renault dengan kerajaan Romania. Namun kami tidak pasti apakah model yang digunakan bagi membangunkan Sondero dan kami pasti ia bukanlah salinan Savvy. Tapi ia agak murah untuk dibaiki dengan kos purata RM 1145 bagi masalah komponen elektrik. Kos paling besar untuk pembaikan model ini adalah berkaitan dengan enjin yang memerlukan sehingga RM 2500.

3. Mitsubishi ASX – merupakan model yang dilancarkan pada tahun 2010 dan masih lagi dijual sehingga hari ini. Daripada 106 pemilik yang melanggan perkhidmatan Warrantywise, hanya 1 pemilik sahaja yang membuat tuntutan jaminan bagi masalah pam petrol dengan kos RM4894.

2. Honda Jazz GK 2015 – atau lebih juga dikenali dengan nama Honda Fit. Amat jarang sekali pemilik Honda Jazz membuat tuntutan jaminan namun jika ada ia berkait rapat dengan sistem penyaman udara dengan kos RM 5314.

1. Lexus RX generasi ke 3 2012-2015 – merupakan model yang paling lasak dan tak ada masalah. Walaupun ada pemiliki membeli model ini di pasaran terpakai dan melanggan jaminan Warrantywise, tiada seorang pun daripada mereka pernah menuntut jaminan kerosakan. Untuk pasaran terpakai Malaysia, ia dijual antara RM 120,00-RM 160,000. Tapi cukai jalan sakit sikit la sebab enjin 3500cc.