Motosikal

YAMAHA MT-15 SUDAH TIBA DI KEDAI. HARGA SAMA MACAM R15, BERMULA RM11,988 SEUNIT

Pada September lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) ada memperkenalkan dua model naked iaitu MT-25 dan MT-15 ke pasaran tempatan.

Namun, pada ketika itu hanya MT-25 yang boleh dibeli pada harga tawaran bermula RM21,500 seunit. 

Seperti yang dijanjikan, HLYM mengumumkan bahawa pengguna sudah boleh membeli MT-15 kerana jentera itu kini berada di pusat jualan para pengedarnya di seluruh negara.

Apa yang menarik, MT-15 ditawarkan pada harga cuma RM11,988 seunit, sama seperti harga untuk kembarnya R15. 

MT-15 digerakkan oleh enjin siliner tunggal bersesaran 155cc dengan teknologi VVA berkuasa sekitar 18.5hp dan tork 14.7Nm.

Dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist dan slipper, model naked itu mempunyai tangki bahan api lebih kecil iaitu hanya berkapasiti 10 liter.

Jentera tersebut dibina di atas kerangka jenis diamond. Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik terbaik berwarna emas di hadapan dan swingarm untuk roda belakang. Tugas membrek diserahkan kepada brek cakera pada kedua-dua roda. 

MT-15 menggunakan rim bersaiz 17 inci dengan saiz tayar berbeza, 110/70 di depan dan 140/70 di belakang. Anda boleh memilih di antara dua warna iaitu putih atau biru. 

Motosikal itut turut hadir dengan beberapa ciri moden lain seperti butang penghidup enjin, paparan meter digital, sistem lampu hadapan dan belakang LED.

Bagi memudahkan tunggangan, ia hanya seberat 133kg dengan tinggi tempat duduk 810mm dan jarak kelegaan tanah sekitar 155mm. 

Bagi para pembeli terawal, anda akan dihadiahkan dengan kunci brek cakera Yamaha bernilai R 100 dan rantai kunci MT-15 First Edition. 

GALERI

Google ads
Back to top button