
10 PEMANDU DUNGU DI MALAYSIA, PANDU MACAM TAK ADA LESEN
Adalah menjadi kewajipan di negara kita untuk memiliki lesen memandu yang sah sekiranya anda menggunakan sebarang jenis kenderaan samaada motosikal, kereta, lori ataupun bas. Tapi selepas mendapat lesen dan habis tempoh percubaan, semua pengguna jalan raya bagaikan lupa semua teori dan peraturan jalan raya yang ada
Kami senaraikan 10 perangai buruk pemandu yang selalu anda akan jumpa di atas jalan raya:
1. HAZARD LIGHT / DOUBLE SIGNAL – pengguna jenis ini sangat suka menghidupkan lampu isyarat berganda yang sepatutnya dihidupkan sekiranya kenderaan mereka berhenti di lorong kecemasan atau dalam keadaan statik sahaja. Tapi bagi pengguna ini, mereka akan hidupkan lampu isyarat berganda sebaik sahaja melalui jalan yang ditimpa hujan lebat
Alasan mereka ialah menyalakan lampu isyarat berganda ini akan memberikan amaran kepada pengguna jalan raya di belakang mereka. Masalahnya tindakan ini membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan menimbulkan kekeliruan. Sebagai contoh, macam mana nak bagi isyarat membelok?
2. FOGLIGHT DEPAN & BELAKANG – ya golongan ini akan sentiasa menghidupkan lampu kabus depan dan belakang biarpun pada malam tersebut cuaca adalah baik, tidak hujan dan disinari cahaya bulan. Paling menyakitkan hati ialah golongan yang menyalakan lampu kabus belakang sepanjang masa.
3. MASUK SIMPANG TAKDE SIGNAL– ini adalah golongan yang paling tak boleh pakai dan paling dungu kerana menjadikan tuil isyarat membelok sebagai perhiasan semata mata. Pada hemat beliau, semua pengguna jalan raya lain boleh membaca gerak hatinya dan penggunaan isyarat membelok adalah sunat sahaja
4. PETI AIS DUDUK LANE KANAN – ditujukan khas kepada MPV besar gedabak dengan enjin yang lemau tapi suka memandu di sebelah kanan lebuh raya. Keadaan ini diburukkan lagi apabila MPV ini enggan mengalah dan terus memandu di lorong kanan, menyebabkan kesesakan di lebuhraya
5. MAT RESING – merupakan golongan yang sentiasa memandu laju dan ingin terus kekal di lorong kanan dengan 200km/jam sepanjang masa bagaikan lebuhraya ini bapak dia punya. Dia tidak peduli samaada di depan itu ada sebuah kereta kompak 1000cc enjin 3 silinder yang cuba memotong lori ikan, apa yang penting 1km sebelum sampai di kereta kompak tue, dia mesti bagi lampu high beam
6. CARI RUMAH SEWA – golongan ini adalah bertentangan dengan golongan nombor 5 di atas, ini adalah golongan yang gagal melihat cermin belakang dan terus masuk ke lorong kanan lebuh raya atau jalan raya dengan melulu. Selepas itu, golongan ini akan pandu perlahan dengan menjadi polis dan memastikan semua pengguna jalan raya lain mematuhi halaju kebangsaan
7. GENG MOTOBODO – biasa yang berlaku ialah geng yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan handle yang direka tinggi. Seperti yang kita tahu motosikal ini adalah jenis touring yang direka untuk tunggangan santai, tapi apa yang berlaku ialah geng motosikal ini menunggang di lorong kanan lebuhraya dengan halaju 110km/jam.
Memang menyumpah orang kat belakang, sebab kadangkala geng ini suka berkonvoi dan marshall pula buat tak reti dan bukannya memudahkan pengguna jalanraya yang lain. Kalau berhenti di kawasan R&R, geng ini biasa parking di petak kereta, bukannya kawasan motosikal
8. POTONG Q – atau geng suka potong barisan dan jenis tak reti nak beratur. Malah geng ini tiada common sense atau belas ehsan pada pengguna jalan raya lain yang telah lama beratur. Yang penting bagi mereka, boleh sampai rumah cepat.
9. BIAR SAMA-SAMA LAMBAT – ini adalah geng yang tak boleh beransur langsung dengan pengguna jalan raya lain. Sebagai contoh jika ada penutupan jalan dan dari dua lorong menjadi 1 lorong, geng ini tidak akan memberikan peluang kepada kenderaan lain untuk memasuki lorong mereka. Contoh lain ialah geng yang suka berhenti di petak kuning di persimpangan lampu isyarat
10. BANGSA PENGOTOR – ini bangsa yang keji, dimana mereka akan membuang apa saahaja sampah ke ajalan raya. Bagi mereka, apa yang penting ialah pastikan kenderaan mereka bersih. Apa salahnya jika anda bawa pulang sampah dan buang di rumah atau buang di dalam tong sampah di stesen minyak?
Jalan raya adalah kawasan untuk kegunaan orang ramai dan bukannya kawasan peribadi. Selain menjamin keselesaan orang lain, sikap timbang rasa dan bertolak ansur mesti diamalkan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.



