,
Artikel Pilihan

10 REKAAN DALAMAN KERETA PALING MENAWAN

Selain memberikan pengiktirafan terhadap 10 rekaan enjin paling canggih, Wards Auto turut memberikan pengiktirafan terhadap rekaan kabin dalaman yang dihasilkan oleh syrikat automotif pada produk mereka. Pengiktirafan ini merangkumi pelbagai model daripada SUV, crossover, sedan dan juga sedan premium dari 10 jenama daripada 32 pencalonan.

Ini bermakna dari 32 pencalonan, hanya 10 rekaan yang paling menarik yang disenarai pendek. Juri memberikan markah pada semua calon berdasarkan rekabentuk, keselesaan, ergonomik, kualiti bahan, kemasan pemasangan dan juga cara penggunaan perlatan yang mesra pengguna. Berikut ialah senarai penerima anugerah Wards Auto bagi rekaan dalaman mengikut susunan abjad:

1. Bentley Continental GT – rekaan dalaman kereta ini memerlukan 1000 pekerja selama 100 jam bagi menyiapkan keseluruhan kemasan dalaman Grand Tourer ini. Kemasan kulit pada kusyen pula memerlukan 10 ekor lembu dan 310,675 jahitan bagi menyempurnakan balutan kulit pada bahagian dalaman kereta ini.

9 jam lagi diperlukan bagi menyiapkan kemasan kayu pada bahagian papan pemuka. Elemen klasik lain termasuklah penggunaan krom pada bahagian corong penyaman udara namun diserikan dengan meter paparan digital. Padanlah dengan harga USD 276,730, kalau ditukar pada RM mungkin ia sama angka dengan no telefon ex-teman wanita anda.

2. BMW 850i – menggabungkan elemen kulit sebenar dan juga kemasan krom bagi menghasilkan suasana yang selesa (warmth) dan hebat (cool) pada masa yang sama. Gabungan warna coklat Tartufo dan juga warna hitam, kusyen pemandu yang sangat menyokong struktur belakang, serta kulit Merino berkualiti tinggi benar-benar membuatkan Grand Tourer ini dalam kelas tersendiri.

Unit bantuan pemandu iDrive yang dihasilkan daripada aluminium menghasilkan tekstur yang terasa mewah apabila digunakan. Tombol gear pula menggunakan kristal menambahkan lagi citrasa mewah pada model ini. Juri juga memuji ergonomik kusyen pemandu dan juga sistem arahan suara yang cekap bagi mengawal unit penyaman udara, hiburan dan navigasi.

3. Hyundai Genesis G70 – kualiti kereta buatan Korea tidak dapat dinafikan lagi, terutama pada unit yang dijual untuk pasaran Amerika. Segalanya mesti premium bermula dengan penggunaan suede pada bahagian bumbung, fabrik lembut pada bahagian pintu, kemasan pemasangan dan juga sistem arahan suara bagi mengawal unit penyaman udara dan hiburan.

Malah juri juga memuji elemen kemasan aluminium yang ditambah, tekstur pada unit pembesar suara, sistem pemanas kusyen pada bahagian belakang, serta ditawarkan pada harga USD 45,000.

4. Jeep Galdiator – barang buatan Amerika pun menang juga pada anugerah ini. Juri Wards Auto memberikan markah kerana Jeep telah mereka tempat simpanan bagi tujuan aktiviti luar dan lasak. Unit simpanan tambahan telah dimuatkan di bawah kusyen barisan kedua. Terdapat satu pembesar suara sambungan Bluetooth yang boleh dikeluarkan bagi tujuan hiburan ketika aktiviti berkhemah bersama si Nopal.

5. Lincoln Nautilus – Hmm bagi kami rekaan yang ditawarkan oleh crossover Nautilus ini hanya nampak biasa sahaja, lebih lebih lagi ia banyak menggunakan warna krim putih bagi kusyen, stering dan juga panel pintu. Namun ia dipasang dengan kemasan krom, pilihan lampu LED yang boleh ditetapkan, dan juga sistem arahan suara bagi unit Audio.

Pelik jugak citarasa Mat Saleh ni. Macam apam balik kosong ja.

6. Mercedes Benz A200 – kami telah memandu uji kompak premium INI tahun lepas dan kami akui ia memang memiliki rekaan papan pemuka yang paling futuristik yang pernah dipandu oleh kami. Ia menggunakan skrin bersaiz besar, ibarat 2 ipad yang disambung bersama. Semuanya digital. Jika anda leka bermain skrin sesentuh, mungkin anda akan sesat dalam sistem infotainmen ini.

Pada waktu malam pula, ia menawarkan 32 pilihan warna lampu LED untuk dipadankan dengan mode pemanduan anda ketika itu. Mungkin boleh pilih warna merah ketika bergaduh dengan bini-bini anda. Sistem arahan suara disediakan namun arahan suara agak sukar diikuti. Mungkin penulis terlampau banyak makan budu dan tenpoyak.

7. Nissan Kicks – siapa kata kereta kategori murah tidak boleh menang anugerah kabin terbaik kerana Nissan Kicks membuktikan, walaupun hanya berharga sekitar USD 23,000. Juruhias Nissan berusaha menggunakan rekaan terbaik bersama dengan kualiti pemasangan yang bagus bagi membuktikan walaupun terdapat usaha penjimatan kos, kretaiviti mereka boleh dipuji.

Gabungan benang berwarna oren pada kusyen dan papan pemuka memberikan feel yang mahal. Juri juga memuji keselesaan kusyen (ini memang kepakaran Nissan), kamera 360 darjah dan juga ergonomik susun atur suis yang senang dicapai.

8. Toyota RAV4 – menawarkan kelainan rekabentuk yang biasa dikaitkan sebagai kereta untuk pegawai kerajaan yang baru pencen. Ia dimulakan dengan dengan rekaan funky dan geometri bersegi pada papan pemuka dan juga 2 tempat meletak minuman serta kemasan 2 tona. Ia dikemaskan lagi dengan balutan kulit pada roda stering, 5 poin USB, lampu pencahayaan berwarna biru lembut serta sistem audio dengan navigasi.

9. Volvo V60 – kami telah memandu uji XC40 dan pada pandangan kami ia mempamerkan kelas rekaan Scandinavian tersendiri. Ia tidak cuba menjadi seperti kereta buatan Jerman yang kelihatan kompleks ataupun buatan Jepun yang nampak seperti menonton kartun anime. Gabungan warna krim, kemasan aluminium sebenar, balutan kusyen rekaan retro dan juga corong penyaman udara nampak klasik namun premium.

Pada waktu malam papan pemuka akan memancarkan cahaya menghasilkan suasana yang tenang dalam kereta. Semua kualiti bahan daripada plastik, kulit, alumnium akan menghasilkan rasa yang mahal bila disentuh.

10. Hyundai Sante Fe – kami telah memandu uji kereta INI tahun lepas selepas ia dilancarkan dengan falsafah rekaan baru. Hyundai turut menaiktaraf rekaan dalaman dengan sentuhan kulit Nappa serta papan pemuka yang unik, sedap dipandang serta moden. Sangat berbeza dengan model yang lama.

Antara elemen rekaan yang dipuji ialah kualiti kulit yang digunakan untuk kusyen, rekaan struktur permukaan unit pembesar suara, kemasan pada pintu serta ia merupakan satu-satunya model yang datang dengan sistem amaran sekiranya pemandu tertinggal anak kecil yang diletakkan dalam kerusi keselamatan (Rear Occupant Alert).

Tags
Google ads
Back to top button