MERCEDEZ A200-UNTUK PEMANDU EKSEKUTIF MUDA BERSTATUS BANGSAWAN
Apabila Mercedez Benz melancarkan kereta kompak A Class pada tahun 1997 ramai pihak mendakwa langkah yang dibuat oleh Mercedez adalah tidak tepat. A Class datang dengan pelbagai ciri baru yang bertentangan dengan rekabentuk konservatif Mercedez yang asal iaitu cesi kompak 5 pintu dan enjin pacuan roda depan. Namun strategi Mercedez ialah menjadikan A Class sebagai kenderaan kompak eksekutif sebagai produk termurah dan disasarkan kepada eksekutif muda dan juga anak taukeh balak.
Model A Class berkembang dengan dalam dunia sendiri dan diterima baik oleh pasaran semasa sehingga ia melahirkan 4 generasi. Generasi pertama A Class sedikit kelam kerana ia gagal ujian Moose test dengan cemerlang dan memaksa pihak Mercedez kembali ke peringkat kajian dengan membetulkan geometri suspensi dan memasanga sistem ESP pada A Class generasi pertama. Model generasi kedua menyaksikan Mercedez mengemaskinikan rekabentuk A Class terutama pada bahagian dalaman agar ia kelihatan lebih gah dan menarik.
Model ketiga pula hadir dengan gaya ranggi dan sporti meninggalkan gaya feminin A Class generasi pertama dan kedua. Malah Mercedez juga memperkenalkan versi A45 AMG yang datang dengan enjin yang lebih berkuasa. Mana boleh biarkan Golf GTi bermain seorang diri di litar jalanan, nanti dia besar kepala. Model generasi keempat diperkenalkan pada tahun 2018 dan mula dipasarkan untuk pasaran Malaysia bermula Oktober 2018. Ia datang dengan 2 varian iaitu A200 Progressive Line (RM227,888) dan juga A250 AMG (RM 263,888).
Spesifikasi
Varian | A200 Progressive Line |
Enjin | M282 4 silinder 1332cc dengan Turbo |
Kotak Gear | 7G Dual Clucth Tranmission |
Jarak Antara Roda | 2729mm |
Panjang | 4419mm |
Lebar | 1796mm |
Tinggi | 1440mm |
Berat | 1375kg |
Saiz Tayar | 225/45 R18 |
Suspensi | McPherson / Torsion Beam |
Fitur Keselamatan | 7 beg udara, Brek Kecemasan Automatik Sistem Pemantauan Tekanan Tayar Sistem Bantuan Parkir |
Tangki Petrol | 51 Liter |
Cesi / Platform
A200 datang dengan platform Modular Front Architecture (MFA) yang telah ditambah baik. MFA merupakan platform yang telah diberi tumpuan khusus untuk pembangunan model enjin dan pacuan roda depan. Platform ini dibuat lebih fleksibel agar mampu memuatkan pelbagai rekaan sistem suspensi pada bahagian belakang (Torsion beam untuk A200 Progressive) ataupun (Multilink Suspension untuk A250 AMG). Ia juga berupaya menerima pelbagai jenis enjin dari 1332cc turbo petrol, 2000cc turbo petrol, 1500cc turbodiesel dan juga 2000cc turbodiesel. Terdapat juga satu varian pacuan semua roda yang digandingkan dengan sistem 4Matic.
Rekabentuk
Buat pertama kali, Mercedez memperkenalkan prinsip “Sensual Purity Design Language” pada A200 yang terbaru sama seperti barisan model lain yang lebih mewah. Prinsip ini menekankan 6 falsafah utama dalam rekabentuk iaitu:
- Unexpected moments
- Stimulating Contrast
- Stunning Proportions
- Freeform Geometry
- Significants Graphics
- Natural Attractions
Jika dibandingkan secara bersebelahan dengan model lama, rekaan hadapan A200 ini datang dengan rekaan yang lebih sofistikated dan tajam. Rekaan ini diperkuatkan dengan bentuk lampu utama yang lebih kecil, tajam dan bersudut yang menggunakan teknologi LED sebagai punca pencahayaan. Lampu LED ini akan mengapit bukaan grill radiator yang mirip dengan Mercedez CLS. Namun bukaan ruang kemasukan udara di bahagian bampar sedikit hambar dan tidak agresif seperti model AMG. Lebih cantik jika model ini datang dengan lampu kabus depan.
Rekaan bahagian sedikit bulat pada bahagian belakang mengingatkan penulis akan Myvi generasi pertama dengan rekaan bampar dan profail sisi yang tidak serius. Ia seakan akan lebih feminin berbanding maskulin. Cubaan Mercedez untuk menaikkan seri di bahagian belakang dengan menampilkan diffuser ekzos boleh dipuji kerana tanpa diffuser tersebut bahagian bampar belakang sedikit kosong. Maaf diffuser tersebut hanya hiasan semata-mata dan tidak bersambung dengan paip ekzos
Rekaan bahagian sisi menampilkan bentuk yang lebih ringkas berbanding dengan model terdahulu. Model lama yang menampilkan 2 garisan yang menganjur dari lampu depan dan perumah tayar hadapan telah digantikan dengan satu garisan lembut dari bahagian bawah. Ya ia nampak kurang sibuk, tapi pada masa yang sama mengurangkan karekter rekaan sisi.
Sesetengah orang berpendapat bahawa rekaan “Sensual Purity” menyebabkan Mercedez hilang identiti dalam rekaan terutama rekaan lampu hadapan yang mirip pada Audi dan lampu belakang yang seperti rekaan KIA. Mungkin faktor penerimaan model lama yang laku keras menyebabkan Mercedez menjadi terlalu yakin dan berani dalam rekaan terbaru mereka sehingga ia menjadi terlalu sesuai untuk digunakan oleh seorang pustakawan dan Mat Jargon yang sukakan ensiklopedia berbanding komik Dragon Ball
Enjin
Mercedez A200 Progressive Line datang dengan enjin 1332 dengan kod M282 DE14 LA yang dipadankan dengan unit pendesak turbo. Enjin ini merupakan enjin yang dihasilkan secara kerjasama antara Daimler dengan pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi. Pada asasnya, enjin ini dibuat berdasarkan enjin Renault H5HT lengkap dengan aci sesondol berkembar DOHC dan juga sistem pancitan bahan api terus.
Walaupun enjin ini dibuat dan diasaskan dari enjin Renault namun jangan pandang enjin ini sebelah mata. Ia datang dengan teknologi nyahaktif silinder (1 dan 3) jika kuasa penuh enjin tidak diperlukan, permukaan dinding silinder dilapisi dengan lapisan nano khas untuk mengurangkan geseran dan juga penapis partikel khas untuk enjin petrol yang membolehkan enjin ini melepasi piawaian Euro 6.
Ye, walaupun saiz kapasiti enjin ini sama dengan Bezza dan juga Myvi anda namun jangan harap anda berupaya mencucuk angin di belakang A200 sesuka hati. Enjin ini menghasilkan 163 kuasa kuda pada 5500 RPM dan 250Nm tork pada 1620-4000 RPM. Satu angka yang cukup untuk membuatkan A200 seronok dipandu. Sebagai perbandingan, Civic 1.5 turbo menghasilkan 174 kuasa kuda pada 5500 RPM dan 220Nm tork pada 1700 RPM.
Enjin A200 mengahsilkan lebih tork, tapi kurang 11 kuasa kuda berbanding dengan enjin Civic L15B. Perbezaan cukai jalan antara 2 enjin ini ialah RM20 sahaja dimana cukai jalan A200 hanya RM70 setahun.
Kotak Gear
A200 Progressive Line dipadankan dengan kotak gear 7 kelajuan Klac Berkembar yang dibekalkan oleh Getrag. Jika dibandingkan dengan kotak gear CVT, unit ini sebenarnya 9% lebih cekap dan menjimatkan petrol sementara mampu menggalas tugas menerima 250Nm tork daripada enjin. Dengan panjang 367mm dan juga seberat 86kg, unit kotak gear DCT ini sangat kompak dan ringan bagi kelasnya. Bagi memastikan unit ini berupaya beroperasi dalam keadaan mencabar unit ini menggunakan minyak hidraulik digunakan sebagai cecair penyejukan.
Mercedez membekalkan kotak gear ini dengan 2 pam minyak hidraulik yang berbeza iaitu satu pam mekanikal dan satu lagi pam dikuasakan dengan elektrik. Pam elektrik mengekalkan tekanan minyak hidraulik ketika enjin dimatikan semasa fungsi “Start-Stop” beroperasi. Ia menghasilkan pergerakan yang sangat lancar apabila enjin dihidupkan dan membantu pam mekanikal semasa dalam operasi “high load”.
Rekabentuk Dalaman
Kusyen pemandu dan penumpang dibalut dengan kemasan kulit berwarna hitam dan pada pandangan peribadi penulis tema retro patut diterapkan bagi menampilkan sifat keremajaan A200. Menjadi kebiasaan untuk model kontinental yang biasa digunakan untuk Mat Saleh yang biasa berbadan besar, kusyen yang digunakan oleh Mercedez terasa sedikit keras jika anda biasa menggunakan kereta buatan Jepun yang empuk. Walaubagaimanapun kusyen ini bagus dan selesan untuk perjalanan jarak jauh.
Bercakap berkenaan kusyen, ia datang dengan teknologi “Kinetic Seat” dan pada pendapat penulis ia bertujuan untuk urutan. Tapi pelaksaan sistem ini sedikit menjengkelkan tidak seperti kerusi urut Ogawa. Tempat duduk belakang jauh lebih baik bebanding model terdahulu dengan ruang kaki dan ruang kepala lebih luas. Seperti biasa perehat tangan boleh ditarik daripada bahagian tengah penyandar belakang lengkap dengan ruang meletak bekas minuman. Malah bahagian tengah juga boleh dilipat untuk membawa muatan panjang
Panel Instrument yang disediakan oleh Mercedez sedikit luar biasa berbanding dengan pengeluar lain. Mungkin juga Mercedez ingin menjadi ikon fesyen terbaru melalui A200 dengan memperkenalkan skrin 10.25 inci sebagai medium utama penyampaian maklumat. Oh ya bukan satu, tetapi 2 skrin utama dengan saiz utama bagaikan anda memasang Ipad atau skrin komputer riba pada papan pemuka kereta anda.
Fadahnya jelas, ruang depan menjadi semakin luas dan selesa. Mercedez Benz User Experience atau MBUX singkatannya merupakan sistem operasi yang digunakan bagi mengakses sistem ini. Operasinya lancar dan paparanya tajam seperti telefon pintar anda. Ia akan memaparkan halaju, berapa tekanan sistem turbo, berapa tork yang dijana, berapa kuasa kuda yang dihasilkan, sistem infotainment, peta dan pemanduan arah, RPM meter, mengakses sistem cesi ataupun mengubah pencahayaan dalam kabin kereta.
Pilihan warna yang disediakan sangat banyak, melebihi pensel warna luna milik anak anda ataupun melebihi warna tudung milik isteri anda sebanyak 2 almari. Rekaan corong penyaman udara inspirasi turbin memang sangat menginspirasikan, cantik dilihat, senang digunakan dan sedap dipegang. Jika anda menaikkan suhu penyaman udara, corong penyaman udara berubah menjadi warna merah seketika dan menjadi warna biru jika anda menurunkan suhu.
Kemasan Pintu pula seperti mengalami krisis identiti. Poket yang disediakan cukup dalam untuk pintu depan namun sedikit kecil pada bahagian belakang. Plastik yang digunakan adalah bagus dengan kemasan kulit pada ruang perehat tangan dan kemasan aluminum pada pemegang pintu dan tombol pintu. Namun kemasan berunsurkan kayu pada bahagian pintu dan papan pemuka sedikit menghairankan kerana tema yang digunakan seperti tidak tepat mungkin hanya mampu mengagumkan bakal mertua anda
Pengalaman Pemanduan
Setelah diberi taklimat ringkas berkenaan fungsi-fungsi A200 oleh wakil Mercedez, penulis memandu keluar dari kesesakan bandaraya menuju ke lebuhraya. Sebagai sebuah kereta kompak yang sebenar, pemandu akan duduk lebih rendah dan dekat dengan jalan raya berbanding sebuah kereta sedan. Sebagai seorang yang agak “noob” berkenaan dengan Mercedez, apabila melihat tanda nama A200 maka pandangan pertama penulis ialah kereta ini dikuasakan dengan enjin 2000cc. Kuasa dan pecutan yang dipamerkan oleh enjin ini nampak sangat meyakinkan dan persis sebuah enjin berkapasiti 2000cc
Kuasa yang dihasilkan oleh unit M282 ini sudah mencukupi untuk menggerakkan A200 seberat 1375kg ini dengan mudah. Tork setinggi 250Nm yang masuk pada 1600 RPM memudahkan pemanduan di dalam bandar walaupun penulis hanya memandu secara santai. Namun jika penulis terus memaksa enjin bekerja melebihi 5500 RPM, respon enjin terasa sedikit kosong melainkan kotak gear menurunkan gear dengan segera.
A200 memecut dengan lancar di lebuh raya dan menukar gear tanpa sebarang kelewatan. Tekan saja pedal minyak dan 250Nm tork dihantar dengan segera pada roda depan melalui kotak gear klac berkembar. Sensasi pecutan boleh dirasai namun pada mode pemanduan “Comfort” melembutkan pergerakan gear tetapi masih meninggalkan Honda di belakang dengan mudah. Operasi unit DCT ini masih terasa kurang lancar jika dibandingkan dengan kotak gear automatik dengan “torque converter” tetapi operasinya lebih baik berbanding unit DCT buatan Korea.
Operasi brek A200 juga meyakinkan baik untuk pemanduan perlahan di dalam bandar mahupun ketika memandu laju di lebuh raya. Sistem operasi Brek Kecemasan Autonomi boleh dikatakan sedikit sensitif namun penulis sangat menghargai fungsi ini kerana ia sentiasa dalam keadaan bersedia memberhentikan kereta jika ia mengesan mana mana situasi yang boleh menyebabkan kemalangan
A200 datang dengan sistem cesi yang pada pandangan penulis sudah cukup baik namun sistem suspensi untuk roda belakang merupakan sedikit kecacatan terhadap jenama Mercedez. Ya benar, tidak salah untuk menggunakan sistem “Torsion Beam” untuk roda belakang namun ia harus ditala dengan amat baik dari segi kekerasan spring (spring rate), kekerasan penyerap hentakan (rebounce rate) dan juga geometri susunan komponen torsion beam
Tidak seperti pembuat kereta Jepun yang sudah lama menggunakan “torsion beam” mereka tahu semua helah dan muslihat untuk menjadikan sistem suspensi mereka berfungsi dengan baik dan seimbang antara keselesaan dan juga keupayaan untuk mengambil selekoh pada halaju tinggi. Malah pilihan tayar “Run Flat Tyre” yang digunakan oleh A200 bukanlah pilihan yang selesa untuk membantu melembutkan pergerakan pada jalan yang tidak rata. Dan bunyi tayar jenama Hankook ini sesekali merimaskan telinga penulis.
Segala kecacatan permukaan jalan akan disampaikan pada pemandu dengan jelas dan penulis menyarankan agar pihak kontraktor jalan menggunakan kereta ini untuk mengenalpasti jalan yang baru diturap. Penulis 100% yakin tidak semua bakal pembeli mahukan sebuah kereta berharga RM228K dipasang dengan suspensi sama seperti sebuah kompak yang berharga RM30K.
Namun pada halaju tinggi A200 berfungsi dengan cemerlang terutama di laluan lebuh raya. Ia stabil pada halaju tinggi dan tiada pergerakan liar pada bahagian ekor kereta ketika halaju kereta sudahpun mencecah 170km/h. Proses penukaran gear samaada menaikkan atau menurunkan gear dilakukan dengan baik menggunakan penukar gear di roda stering. Kotak gear DCT amat patuh pada arahan penulis memberi isyarat seolah olah kereta ini gemarkan pemanduan laju.
Fungsi “start stop” yang dipasang pada A200 memang boleh dipuji. Sistem yang dipasang sangat senyap sama seperti ketika anda mencuri-curi membaca facebook gadis gadis cantik di belakang isteri anda. Pelaksanaan proses pemberhentian enjin dan menghidupkan semula enjin dilakukan tanpa ada sebarang gegaran pada cesi ataupun kusyen pemandu. Anda hanya tahu ia befungsi kerana sebaik sahaja enjin dimatikan RPM meter akan menunjukaan bacaan 0 dan sebaik sahaja pedal minyak dilepaskan, A200 meluru ke depan seperti biasa.
Secara purata, penggunaan petrol A200 ialah sekitar 11kilometer per liter petrol bagi perjalananan bandar, laluan jalan kampung dan juga memecut di lebuh raya dengan halaju purata 140km/h selama 4 jam.
Ciri-Ciri Istimewa A200
1. Enjin M282 membekalkan cukup kuasa untuk memacu A200 di laluan laju lebuh raya ataupun memandu secara santai. Walaupun hanya datang dengan enjin bersesaran 1332cc dan kereta anda mungkin ada 1500cc, jadi jangan cuba cuba untuk mencucuk A200 di lebuh raya. Ia mungkin kelihatan lembap ataupun sekadar menyindir usaha anda untuk menduga kekuatan. Sebaik sahaja ia diperah habis, maka ucapkanlah selamat tinggal pada A200
2. Kotak gear klac berkembar DCT sangat lancar pada kelajuan tinggi dan berupaya mengekstrak kuasa dari enjin dengan pantas. Jika anda beri perhatian penuh, barulah anda dapat mengesan terdapat sikit kecacatan jika memandu di dalam kesesakan
3. Fungsi “start-stop” enjin sangat lancar, senyap dan ini melambangkan kualiti kejuruteraan Jerman
4. Paparan papan pemuka ringkas, mewah dan pada masa yang sama sangat sofistikated. Semua butang disusun rapi dan sistem operasi skrin boleh diakses dengan pad sesentuh. Pemandu pula boleh menggunakan butang dan suis sesentuh pada roda steering. Anda boleh meletakkan pelbagai informasi atau menukar tetapan paparan maklumat mengikut citarasa anda.
5. Pencahayaan pada waktu malam sangat mengagumkan seolah-olah anda sedang lepak di kelab hiburan atau bersantai di ICT Shah Alam. Suasana yang dihasilkan nampak hidup dan mahal. Malah lampu kabin dibuat seolah olah ia direka bagaikan kristal
6. Lampu pencahayaan sisi atau “puddle lamp” dan menerangi persekitaran gelap sebaik sahaja kunci ditekan. Amat bagus bagi mengelakkan anda terpijak lumpur atau najis kucing anda pada persekitaran gelap
Perkara yang perlu Diperbaiki
1. Penukar gear berada di sebelah kanan roda steering dan dipasang pada “steering column”. Ia mengingatkan penulis pada van C20 milik datuk penulis satu ketika dulu
2. Suis lampu, lampu isyarat membelok, dan juga pencuci cermin dipasang pada tombol di sebelah roda steering. Jadi ia perlukan sedikit latihan untuk menggunakan kedua dua suis.
3. Sistem arahan suara MBUX tidak selancar yang disangka. Ia masih tidak dapat memahami arahan penulis yang gemar makan ulam petai dengan sambal belacan.
4. Sistem pelayaran automatik adaptif tidak disediakan walaupun ia mempunyai radar untuk mengesan kenderaan di hadapan
5. Suis mekanikal untuk sistem penyaman udara terasa seperti dibuat untuk kereta model kompak jenama biasa. Ia kasar dan terasa murah.
6. Tiada fungsi Sistem Amaran Titik Buta disediakan untuk model ini amat menghairankan penulis kerana sedan segmen B telah menyediakan ciri ini untuk kereta mereka
7. Pada pandangan penulis, untuk sebuah kereta berharga RM 228K, amat pelik kerana mereka hanya menggunakan sistem suspensi “torsion beam” adalah perbuatan yang tidak boleh diterima waima mereka menerbitkan thesis kenapa sistem ini lebih baik
Pandangan Akhir
Samaada pasukan pemasaran global Mercedez gagal menjalankan tugas menyelidik apa kemahuan sebenar pasaran ataupun pasukan rekabentuk terlebih yakin dengan produk mereka, masih lagi menjadi satu misteri. Mercedez mahukan sebuah kompak yang menarik perhatian golongan muda, tetapi falsafah rekaan lebih mesra untuk golonngan berumur 35tahun dan ke atas.
Logo 3 bintang Mercedez yang terpapar pada kereta masih lagi menjadi simbol status dan kejayaan seseorang mungkin akan menarik perhatian individu yang amat setia dengan jenama. Malah pemandu tidak perlu segan untuk meletakkan A200 di depan hotel, valet parkir mahupun cafe.
Namun untuk penyokong jenama yang bersifat lalang seperti penulis, ada banyak lagi kereta yang berpadanan dengan harga, rekabentuk yang sporti, tahap keselamatan yang lebih baik, dinamik pemanduan yang mengiurkan dan juga menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan.