Artikel PilihanPandu Uji

PANDU UJI: VOLVO XC40, SUV RASMI UNTUK THOR DAN ASGARD

Masyarakat Jepun mempunyai jatidiri dan semangat patriotisme yang sangat tinggi selepas kekalahan perang dunia kedua. Mereka bangkit menjadi kuasa ekonomi dunia yang besar dan salah satu cabang perniagaan mereka ialah undustri pembuatan elektronik dan juga automotif yang dieksport ke merata ceruk dunia.

Bagi menghargai pemain industri automotif di Jepun, Japan Car of The Year 2018 telah diadakan dan dibarisi oleh 60 panel penulis automotif pada tahun lepas dan mereka secara majoriti bersetuju untuk menamakan Volvo XC40 sebagai Japan Car of The Year. Setahun sebelumnya, pada tahun 2017 mereka menamakan Volvol XC60 sebagai pemenang.

Volvo sebagai satu jenama yang berasal dari Sweden memenangi anugerah tersebut dua tahun secara berturut – turut merupakan satu kejutan bagi penganalisa automotif di sana.

Tambah mengejutkan Volvo XC40 mempunyai senarai menunggu selama 12 bulan untuk pasaran Jepun dan 8 bulan senarai menunggu bagi pasaran Eropah.

Mekanika diberi peluang untuk memandu uji model XC40 R Design ini selama beberapa hari dan kami akan memberikan kupasan terperinci berkenaan model ini dan adakah harga jualan yang diletakkan berbaloi untuk dibayar.

Spesifikasi

VarianVolvo XC 40 R Design
HargaRM 255,888.00
EnjinT5 2000cc Turbocaj 252 kuasa kuda @ 5500 RPM,
350Nm @ 1800 RPM
Kotak Gear8 kelajuan, Pacuan Semua Roda AWD
Jarak Antara Roda2702mm
Panjang4425mm
Lebar1863mm
Tinggi1658mm
Saiz Tayar235/50 R19 Pirelli PZero
SuspensiTopang McPherson (depan) / MultiLink
(belakang)
Fitur KeselamatanKawalan Pemanduan Separa Automatik –
Pilot Assist
Kawalan
Pelayaran Adaptif Brek Kawalan Automatik –
Mitigation
and Avoidance
Amaran Trafik Lintasan Belakang
Sistem Amaran Titik Buta Bantuan
Penetapan Lorong
PemasanganShah Alam – Pek CKD

Cesi

XC40 diasaskan berdasarkan platform terbaru yang dinamakan Compact Modular Architecture Platform iaitu platform serba baru yang direka secara kerjasama antara Volvo dan juga Geely.

Objektif pembangunan cesi CMA ini ialah untuk menghasilkan satu platform yang sangat fleksibel yang boleh memuatkan enjin 1500cc, 2000cc, 2000cc turbodiesel dan juga sistem hibrid yang boleh dicaj menggunakan kuasa elektrik.

Cesi ini juga telah direka bersama sama konsep kereta elektrik yang membolehkan jurutera mengadaptasikan sistem trenkuasa elektrik jika diperlukan.

Rekabentuk

Thomas Ingenlath, seorang warganegara Jerman merupakan individu yang diberi tanggungjawab dalam konsep penghasilan Volvo XC40.  Semasa rekabentuk XC40 diperkenalkan pada tahun 2016 oleh Thomas, ia dinamakan Volvo Concept 40.1.

Semasa pembentangan idea, Thomas menegaskan Volvo tidak akan mengikut jejak langkah pembuat kereta Jerman yang terperangkap di dalam rekabentuk aestatik yang sama bermula dari model sedan bersaiz besar, sederhana dan kecil.

Apa yang ingin dibuat oleh Thomas ialah rekabentuk yang menyasarkan minat golongan muda.

Thomas turut menegaskan apa yang dipasarkan oleh pembuat kereta Jerman ialah menjual kasut hitam yang sama tetapi berlainan saiz.

XC40 bagi beliau ibarat kasut sneaker atau kasut sukan yang sesuai dipakai oleh orang muda untuk berjalan dan beliau pasti orang muda tidak akan memakai kasut hitam berjalan jalan di taman, pasaraya atau menunggang basikal.

Volvo mengetengahkan konsep fesyen, seni dan arkitektur kontemporari bagi model ini.

XC40 masih lagi menggunakan beberapa rekabentuk korporat Volvo yang dipinjam dari XC90 seperti lampu DRL LED Tukul Thor, lampu belakang dengan konsep “waterfall”, dan juga bukaan grill hadapan dengan warna hitam sebagai imej korporat Volvo.

Bahagian tepi XC40 datang dengan rekabentuk tersendiri bermula dari tiang C yang direka agar ia condong ke atas membentuk separa segitiga.  Manakala tiang A, tiang B dan juga bumbung diwarnakan dengan warna hitam seolah ia hilang dari pandangan. 

Pendekatan ini amat berbeza dengan pembuat kereta lain di mana mereka lebih suka menggelapkan tiang C seolah olah bumbung ini terapung. Bagi menampilkan model ini supaya kelihatan ranggi untuk orang muda, bahagian sisi terutama bahagian pintu menampilkan 2 bentuk berlekuk tersendiri pada pintu.

Bahagian depan XC40 masih mengekalkan bentuk yang serius dan tegap tetapi diimbangi dengan bentuk lampu tukul Thor manakala pada bahagian  belakang dibuat dengan menghasilkan corak bagaikan berlekuk pada bahagian pintu kargo.

Ia menghasilkan bentuk yang sekata antara tepi dan belakang. Tidak seperti rekaan jenama lain yang direka tegak, bahagian belakang XC40 dibentuk seperti memiliki “shoulder” line tersendiri dan rekaan dia kemas tanpa sebarang unsur yangdibuat oleh budak tadika.

Tulisan tanda nama VOLVO berada di tengah pintu dan bampar pula memuatkan sepasang lampu kabus belakang dan sepasang paip ekzos yang diintegrasikan dengan pemasangan bampar.

Jika dibandingkan dengan rekaan Volvo yang terdahulu seperti direka berasaskan kotak kasut dan diminati oleh peguam, akauntan bermuka masam, atau pensyarah berjanggut panjang,rekaan sekarang nampak lebih sensual, lebih sasa dan mempunyai penegasan fesyen.

Rim sport untuk XC40 diberikan dalam saiz 19 inci dan nampak sepada dengan XC40. Ia datang dengan rekaan 5 bilah berkembar dan 2 tona warna iaitu hitam dan juga perak. “Youthful Sport” itulah tema dan objektif rekaan XC40.

Rekaan Dalaman.

Disebababkan XC40 disasarkan pada pasangan muda dan keluarga muda, maka pilihan yang selamat ialah menggunakan tona hitam sebagai asas warna bahan untuk panel instrument, panel pintu, perumah untuk tombol gear dan juga bumbung.

Namun plastik yang lembut digunakan untuk membentuk panel instrument dan ia diserikan dengan hiasan bertemakan krom pada tombol suis audio, corong penyaman udara, pembuka pintu, dan juga pada roda steering.

Penulis pada awalnya berasa kurang berkenan dengan dengan hiasan tema aluminium berbentuk segi empat yang berada pada panel pintu dan juga papan pemuka.

Namun sebaik sahaja lampu utama terpasang secara automatik, maka lampu LED yang dipasang secara strategik berderkatan hiasan aluminium akan menerbitkan suasana selesa dan mengalu-alukan penulis untuk terus memandu. Ibarat anda memandu di dalam hotel 5 bintang.

Balutan kusyen pula menggunakan gabungan kulit pada bahagian sokongan tepi badan dan “Nubuck” pada bahagian tengah mengurangkan risiko tubuh penulis menggelongsor dari kusyen.

Roda steering, tombol gear, perehat tangan bahagian tengah dan juga perehat tangan pada sisi pintu menggunakan balutan kulit menghasilkan rasa yang mahal setiap kali deria rasa kulit bersentuh. Sporti elegen menjadi tema rekaan dalaman XC40. Warna hitam akan mengurangkan risiko ia cepat kotor apabila anak anda membesar dan pandai menulis dan melukis.

Ergonomik, Keselesaan dan Fitur yang Ditawarkan

– Kusyen yang disediakan sebenarnya lebih sesuai untuk berat, rangka dan susuk tubuh Mat Saleh. Jadi ia akan besar, lebih keras dari kusyen kereta Asia dan juga besar.

Jadi untuk saya yang berat sekitar 68kg, ia menyebabkan saya duduk di atas kusyen dan bukannya di dalam kusyen. Walaupun begitu ia tetap selesa. Kebiasaannya saya berasa tidak selesa di bahagian bahu, namun untuk XC40 ini masalah ini tidak timbul.

-Kusyen untuk pemandu dan penumpang hadapan menggunakan kuasa elektrik untuk penyelarasan. Hanya pemandu mempunyai tetapan memori. Kedua dua kerusi mempunyai fungsi untuk membolehkan pelapik bawah dipanjangkan bagi keselesaan

-Terdapat satu laci rahsia di bawah kusyen penumpang hadapan untuk anda menyimpan barang barang berharga seperti baju pasukan bola Manchester United

-Seperti kelaziman kereta moden yang lain, XC40 datang dengan skrin sebesar 9 inci yang berperanan untuk mengawal mode pemanduan, sistem penyaman udara, unit audio, sistem navigasi, memberi input kamera pandang belakang, akses kepada sistem keselamatan, pelbagai aplikasi terbina dalam dan juga akses untuk buku manual.

-Paparan meter menggunakan teknologi LCD dan memaparkan secara jelas meter RPM, meter kelajuan, anggaran jarak perjalanan untuk bahan api, kedudukan gear semasa, suhu dan juga amaran. Malah sekiranya perlu ia akan memaparkan nama stesen radio dan sistem navigasi terbina dalam.

-Walaupun corong penyaman udara kelihatan sedikit bergaya, namun ia sangat berkesan menghalakan angin sejuk ke semua arah yang dikehendaki tanpa sebarang halangan. Penumpang belakang juga turut memiliki corong udara tersendiri

– Terdapat 2 akses USB yang berada di bawah skrin gergasi XC40 dan penulis boleh mengecas telefon atau menggunakan USB untuk mengakses fail lagu. Kalau anda rasa tidak cukup, ada satu pengecas telefon tanpa wayar yang disediakan, satu punca kuasa 12v dan penumpang belakang mempunyai satu akses USB jenis C.

-XC40 menggunakan “sub-woofer” aliran udara yang dipasang pada perumah tayar menjadikan panel pintu mempunyai ruang yang sangat besar. Cukup besar untuk anda menyimpan botol air mineral 1.5 liter, komputer riba, dan selaras senapang mesingan pendek Heckler&Koch MP5.

-Ruang simpanan perehat tangan di bahagian tengah berupaya menelan sekotak tisu serta dilengkapi lampu LED untuk memudahkan anda mencari barang pada waktu malam, satu kotak utiliti untuk anda membuang sampah serta boleh ditanggalkan, satu ruang duit syiling berhampiran pengecas telefon tanpa wayar, slot untuk meletakkan kad tol, dan ruang untuk meletakkan tiket parkir di hadapan cermin.

-Ruang kaki dan kepala penumpang belakang adalah bagus dan sangat selesa untuk perjalanan jauh. Sekiranya anda memuatkan 2 penumpang, kerusi di bahagian tengah boleh digunakan sebagai perehat tangan lengkap dengan 2 tempat meletak bekas minuman. Ia juga membenarkan penumpang belakang mengakses ruang kargo sebesar 460 liter dari tempat duduk belakang

-Pemandu mempunyai akses untuk membuka ruang kargo dengan menggunakan suis pada panel instrument, menggunakan kunci pintar atau pun jika anda dibedung sewaktu bayi, gunakan kaki anda untuk membuka pintu ruang kargo

-Panel rak yang digunakan untuk menutup ruang kargo boleh ditanggalkan jika anda bercadang untuk membawa pulang bekas air atau baldi bagi menyimpan air sempena gangguan air. Rak tersebut boleh disimpan di bahagian bawah lantai ruang kargo

-Panel lantai ruang kargo boleh dilipat untuk membahagikan ruang kargo kepada 2 dan ia akan mewujudkan 3 penyangkut bagi membolehkan anda meyangkut pelbagai barangan dapur, barang basah dan mana mana gadis yang tersangkut dengan anda sewaktu memandu XC40

Pengalaman Pemanduan

-Sebaik sahaja enjin dihidupkan, enjin 4 silinder ini terasa agak kasar jika dibandingkan dengan SUV buatan negara Jepun. Namun apabila ditanya kepada wakil Volvo, perkara ini adalah biasa dan akan hilang sebaik sahaja kita memandu.

-Sistem Auto Pilot turut disediakan dan ia boleh diaktifkan dengan menekan butang pada roda stering. Apabila beroperasi ia akan memantau garisan putih di lebuh raya dan memastikan kita memandu di dalam lorong yang ditetapkan.

Sebarang perubahan lorong hendaklah dibuat dengan menggunakan signal terlebih dahulu atau sistem ini tidak akan membenarkan anda menukar lorong sesuka hati

-Sistem Pelayaran Auto Adaptif turut disediakan dimana jika diaktifkan ia akan menggunakan radar bagi mengesan kenderaan di hadapan, membrek secara automatik jika halaju kenderaan hadapan kurang dari kelajuan kereta dan memecut apabila kenderaan di hadapan sudah ke tepi

-Kedua dua sistem di atas jika diaktifkan akan mengurangan beban pemanduan pada pemandu untuk jarak jauh bukan untuk mengambil alih tugas pemandu. Jika steering dilepaskan melebihi 30 saat, penggera akan dihidupkan untuk mengingatkan pemandu agar meletakkan tangan di roda steering. Kedua dua fungsi “AutoPilot” dan Sistem Pelayaran Adaptif ini mebolehkan XC40 dikategorikan sebagai kenderaan pandu sendiri kelas ke dua.

-Penggunaan bahan api bagi XC40 agak tinggi sebenarnya bagi saya yang biasa memandu sedan kategori B yang pernah memberikan bacaan 20km/liter, kerana walaupun memandu secara “maqasid syariah” dan menggunakan mode pemanduan ECO, bacaan semasa bahan api ialah sekitar 9.8km per liter petrol.

-Bacaan ini sebenarnya tidak jauh sangat dengan bacaan petrol Proton X70. Jika dibandingkan dengan berat XC40 sekitar 1700kg dan kuasa yang dibekalkan sekitar 252 kuasa kuda dan 350Nm tork ia sebenarnya berpatutan.

Tambahan pula ia menggunakan konfiguirasi pacuan semua roda AWD dan penggunaan minyak ini boleh dimaafkan. Kalau dah mampu pakai Volvo, anda tak akan berkira dengan penggunaan petrol melainkan anda seorang YB yang suka menaikkan harga RON 97 setiap minggu.

-Walaupun ia seberat Proton X70, namun dengan kuasa enjin dan tork yang tinggi menjadikan XC40 ini lincah di jalanan dan juga lebuh raya. Hanya ketika memulakan perjalanan di lampu merah atau ketika keluar parking baru terasa SUV ini seberat Thor yang buncit dalam watak Endgame.

Selepas ia bergerak pada halaju lebuh raya, sistem AWD dan enjin turbo bekerja dengan erat untuk memastikan anda tersenyum sendirian kerana pecutannya lebih baik dari X70.

-Terdapat 4 mode pemanduan yang ditawarkan pada XC40 iaitu “Off Road”, ECO, Dynamic dan juga Comfort. “Off Road” yang dicuba ketika sesi penggambaran meringankan sedikit roda stering dan memberikan fungsi “Hill Decent Control” ketika menuruni cerun. Mode Dynamic memberikan pemanduan yang agresif dengan respon enjin yang pantas dan ECO mode jika anda terasa ingin memandu secara santai.

-Kualiti audio yang dihasilkan dari sistem infotainment juga boleh dipuji dengan penghasilan suara adalah jelas, seimbang antara bass dan juga treble. Sistem radio akan sentiasa cuba mencari frekuensi terbaik yang sedang digunakan dan mencari frekuensi tersebut di mana kita berada

-Ujian ketika melalui jalan kampung dengan selekoh berbelit belit bagaikan menteri yang membuat kenyataan U-Turn membuktikan gandingan sistem pacuan semua roda dan enjin turbo meberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Pecutan yang dibuat oleh XC40 ketika memotong kereta dan lori perlahan memberikan keyakinan untuk membelasah pedal minyak secukup rasa tanpa ada rasa takut.

-Sistem pacuan semua roda membuatkan selekoh tajam kelihatan seperti menyeronokkan ibarat kanak kanak bermain gelungsur. Gabungan kawalan cesi dan cengkaman yang dibekalkan oleh sistem AWD menjadikan pemanduan tenang walaupun pemandu lain nampak kita sedang memandu laju.

-Kotak gear 8 kelajuan walaupun terasa berat apabila mula bergerak namun memberikan respon yang cukup pantas apabila bergerak. Penukaran gear dibuat lancar walaupun saya menggunakan mekanisma penukar gear di belakang steering untuk memberikan “engine braking” sebelum selekoh.

Gear diturunkan dengan pantas tanpa sebarang mesyuarat antara ECU dan kotak gear. Dah macam hatchback pula penulis layan XC40 ni. Sedikit “brake tap” diperlukan sekiranya XC40 mula mengalami understeer dan muncung XC40 akan mula masuk balik ke dalam selekoh

-Pemanduan ketika hujan untuk jarak yang dekat juga memberikan keyakinan untuk memandu dengan sedikit laju dari kereta milik penulis. Gabungan berat, pacuan semua roda dan tayar yang bagus adalah faktor yang menyumbangkan kepada kestabilan pemanduan. Malah ujian penukaran lorong (lane changing test) yang dijalankan pada jalan tertutup juga membuktikan bahagian ekor belakang menerima arahan stering dan mengikut arah tayar depan dengan pantas tanpa  cesi menjadi terhuyung hayang.

-Sistem brek yang dibekalkan oleh Volvo memang boleh dipuji, tidak terlalu menyentap dan juga tidak terlalu lembut. Rasa membrek yang diberikan adalah secukup rasa walaupun memandu laju dan tidak mudah panas sehingga menyebabkan fenomena “brake fade”

Beberapa Ciri Tambahan menjadikan ia berbaloi dengan Tanda Harga

-Cermin sisi akan turun ke bawah setiap kali gear undur dimasukkan dan memberikan pandangan jelas pada bahagian bawah mengurangkan risiko perlanggaran . Cermin ini akan kembali kepada kedudukan asal selepas gear D dimasukkan

-Cermin sisi dan cermin pandang belakang datang dengan teknologi monokromik yang akan menjadi sedikit gelap bagi mengelakkan silau pada pemandu .

-Lampu ruang kargo disediakan pada bahagian kiri, kanan dan pada panel pintu ruang kargo menjadikan ruang kargo terang benderang

-Amaran semasa seperti papan tanda sekolah jika memandu berhampiran sekolah, amaran halaju berhampiran kamera AES dan kawasan kegemaran polis buat perangkap halaju akan diberikan dari masa ke semasa bergantung pada lokasi pemanduan

-Lampu utama datang dengan teknologi Active Bending Light, iaitu sudut lampu akan mengikut input yang diberikan pada roda stering. Malah lampu kabus depan turut berfungsi sebagai cornering lamp

-Fungsi child lock yang menggunakan mekanikal digantikan dengan suis butang elektronik dan boleh dikawal oleh pemandu

-Fungsi welcome light akan dihidupkan pada waktu malam secara automatik dengan menghidupkan lampu pada 4 pemegang pintu, lampu belakang dan lampu depan

Sistem Keselamatan

-Terdapat 7 beg udara disediakan, ABS, ESC, BA dan semua alat keselamatan yang bermula dari huruf A dan berakhir dengan Z

-XC40 akan memberikan amaran jika ia mengesan pejalan kaki, penunggang basikal, haiwan malah motosikal yang dikesan oleh sistem radar

-Sistem Amaran Titik Buta memberikan amaran pada cermin sisi serta jika anda mula memberi signal untuk menukar lorong, amaran bunyi akan diaktifkan

-sistem Cross Traffic Alert datang dengan fungsi Auto Brake akan memberikan amaran jika anda sedang mengundurkan kereta dan brek automatik diaktifkan jika ia mengesan kereta lain yang bergerak

-Fungsi Lane Keeping Aid memastikan anda sentiasa memandu di dalam lorong laluan dan anda perlu menggunakan lampu isyarat untuk menukar laluan

Beberapa Perkara yang boleh Ditambahbaik

-Laci yang berada di sebelah kiri adalah sangat kecil, boleh meletakkan beberapa keping saman AES, resit petrol atau 5 keping biskut Marie. Penulis merasakan proses penukaran tempat memandu sebelah kiri ke kanan tidak dilakukan dengan sepenuhnya.

– Operasi sistem “start-stop” masih terasa kasar dan terdapat sedikit gegaran yang boleh dirasai pada kusyen pemandu dan penumpang hadapan.

-Poket pintu belakang adakah kecil dan hanya mampu memuatkan telefon pintar atau bekas cermin mata hitam

-Material fabrik (felt) yang digunakan untuk membalut bahagian panel dalam pintu dan “Transmission tunnel” terasa murah dan tidak sedap disentuh. Saya mencadangkan warna yang lebih terang digunakan untuk menyerlahkan sifat keremajaan XC40.

-Bahagian penyandar untuk kusyen belakang adalah sedikit tegak dan sokongan kaki adalah pendek. Mungkin Volvo menjangkakan tempat duduk belakang adalah untuk anak-anak bagi pasangan muda.

-Pilihan mode manual bagi tombol stering adalah sedikit pelik, kerana anda perlu menolak tombol ke kanan untuk menaikkan gear atau ke kiri untuk menurunkan gear

-Muncung hadapan sedikit tinggi dan ketiadaan kamera depan sedikit menyukarkan proses memarkir kereta

-Volvo mencadangkan tayar diisi dengan tekanan 260kpa untuk menjimatkan petrol dan 230 untuk keselesaan. Walaupun pihak Volvo telah merendahkan tekanan tayar sebelum memberikan XC40 kepada saya, namun saya tersilap dengan mengisi semula angin kepada 230. Ia membuatkan pemanduan terasa sedikit keras dan melantun lantun.

-Penukar gear yang digunakan pada roda stering terasa tidak cukup mahal dan dibuat dari plastik biasa

-Pada halaju 190km/h, terdapat sedikit “pitch movement” yang akan membuatkan bahagian belakang XC40  melompat dan ditambah dengan tayar Pirelli P Zero yang keras keadaan ini menyebabkan pemanduan menjadi kurang selesa.

Kesimpulan

Filem Avengers Endgame baru sahaja ditayangkan dan watak superhero Thor dalam filem Ifinity War berjaya mencederakan Thanos dengan kapak Stormbreaker dan dalam filem Endgames Thor sekali lagi berjaya membunuh Thanos untuk kali pertama.

Selain watak Kapten Amerika, saya meminati watak Thor dengan tubuh yang sasa dan suara yang cukup maskulin. Malah lampu depan DRL Volvo mendapat nama panggilan rekaan tukul Thor.

Namun Thor berubah menjadi lelaki gempal dengan perut boroi dan menjadi kaki botol selepas mengalami tekanan akibat kehilangan planet Asgard. Perlawanan terakhir antara Thanos dengan Kapten Amerika, Thor dan Ironman menyaksikan kesemua mereka dibelasah sebelum Ironman (yang suka memakai Audi) mengambil peluang merampas kesemua batu Infiniti.

Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah, X40 telah datang dengan pakej yang hampir sempurna dari segi rekabentuk, sistem keselamatan, suite Volvo Intellisafe, praktikal dan prestasi.

Namun ia bukanlah sempurna terutama dari segi enjin yang sedikit bising ketika dihidupkan, tayar yang keras dan sistem “auto start-stop” yang sedikit kasar ketika beroperasi. Jadi untuk menerima kelebihan XC40, anda harus menerima kekurangannya juga.

Tapi saya lagi bengang dengan pengarah Endgame, kenapa Thor harus menjadi gemuk?

Tags
Google ads
Back to top button