Artikel Pilihan

10 SUPERCAR HEBAT YANG TELAH PERGI DAN HANYA TINGGAL NAMA

Supercar memang menjadi idaman semua tapi ada diantaranya yang hanya kekal sebagai konsep dan tidak pernah diproduksikan. Walaupun saban hari ada sahaja model supercar baru diperkenalkan hakikat sebenar tidaklah seindah dijangkakan. Semua bergantung kepada faktor pasaran dan kekuatan jenama itu sendiri. Ini ada sepuluh supercar hebat yang pernah muncul di atas muka bumi tetapi kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Audi R8 Le Mans Concept

Pada asalnya ia dinamakan Audi R8 V12 TDI dan kemudian ditukar kepada Le Mans Concept. Ia merupakan generasi pertama Audi R8 yang dikuasakan dengan enjin 6.0-liter turbodisel V12 yang mampu menjana 493 hp kuasa dengan tork setinggi 1000 Nm. Walaupun idea supercar berkuasa disel ini agak aneh tetapi berdasarkan kemampuan Audi menguasai Le Mans dengan menggunakan jentera berkuasa disel ia memang berada pada landasan yang betul.

Ia mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4.2 saat dan mempunyai kelajuan maksima 300 km/j. Namun begitu projek ini diabaikan Audi dalam tahun 2009 kerana kos untuk mengubahsuai enjin petrol kepada disel pada Audi R8 adalah terlalu tinggi.

Jaguar C-X75

Jaguar mungkin mempunyai pewaris kehebatan XJ220 jika model ini menjadi kenyataan. Ia dihasilkan dengan kerjasama pasukan Williams F1 dan diperkenalkan kepada umum buat pertama kali pada tahun 2010. Ia menggunakan motor elektrik berkuasa 778 hp yang digandingkan dengan turbin disel. Pada peringkat awal 250 unit dirancang untuk pengeluaran tetapi krisis kewangan yang berterusan sehingga 2012 menyebabkan projek ini dibekukan. Namun 5 unit prototaip berjaya dihasilkan dengan satu unit berjaya ditampilkan dalam filem James Bond, Spectre.

Lamborghini Miura Concept

Konsep Lamborghini Miura tidak pernah disasarkan untuk produksi tetapi ia tetap mengujakan peminat dunia automotif. Ia dihasilkan sebagai memperingati ulang tahun ke 40 Miura asal. Ia dihasilkan berdasarkan rekaan Murcielago dan hanya untuk memperingati sejarah Lamborghini. CEO Lamborghini ketika itu menjelaskan mereka tidak berhasrat mengeluarkan kembali model lama tetapi hanya akan mengeluarkan model-model terbaru untuk masa depan.

Lotus Esprit Concept

Tahun 2010 merupakan tahun revival Lotus. Bertempat di Paris Motor Show, mereka memperkenalkan model konsep Esprit. Sebuah supercar enjin di tengah yang mampu menyaingi Ferrari 458 Italia. Ia menggunakan enjin Lexus 5.0-liter V8 yang diubahsuai dan mampu menghasilkan 611 hp kuasa dan dipadankan dengan kotak gear 7-kelajuan dan pilihan sistem KERS hibrid. Ia tidak diproduksikan dan pada tahun 2014 Lotus mengumumkan yang Esprit terpaksa dibatalkan untuk memberi laluan kepada kereta sports yang lebih ringan.

Chrysler ME FourTwelve (4-12)

Chrysler telah menghasilkan sebuah konsep supercar pelik pada 2004 bernama ME Four Twelve yang merujuk kepada format Mid-Engined dengan 12 selinder dan 4 pengecas turbo. Ia menggunakan casis gandingan gentian karbon dan aluminium ringan berbentuk sarang lebah yang kemudiannya digandingkan dengan enjin 6.0-liter Mercedes V12 dan ubahsuai sehingga mampu menghasilkan 850 hp kuasa. Ia dijadualkan untuk pengeluaran sebelum dibatalkan oleh pihak atasan Chrysler. Khabar angin menyatakan Mercedes tidak gembira bila Chrsyler menggunakan enjin mereka untuk sebuah kereta yang sangat hebat.

Chevrolet Aerovette

Ini sebuah model konsep lama dari era 60-an dan dinamakan Experimental Project 882 dan menggunakan enjin rotary Wankel sebagai nadi utama. Tapi pada tahun 1976, ia kemudian ditukar kepada enjin Chevrolet V8 dan dinamakan Aerovette. Konsep ini kemudian diluluskan untuk pengeluaran tetapi kehilangan sokongan bila salah seorang bos GM bersara.

Lamborghini/Zagato Roadster

Zagato Roadster juga dikenali dengan nama Lamoborghini Roadster ialah sebuah supercar dengan enjin V12 yang diasaskan daripada model Diablo. Ia merupakan hasil rekaan Zagato dan Alain Ricki. Raptor menampilkan bumbung beralun rekaan Zagato selain cara masuk ke dalam kabin ala kanopi pesawat pejuang. Ramai menjangkakan yang ia akan menjadi pengganti kepada Diablo tetapi ia tidak pernah berlaku.

Detroit Electric SP:01

Detroit Electric merupakan sebuah syarikat pengeluar kereta elektrik dari tahun 1907 hingga 1939. Jenama ini kemudian diberi nafas baru oleh CEO Lotus dalam tahun 2013 dan segera memperkenalkan SP:01 kepada dunia. Ia merupakan sebuah kereta elektrik yang diasaskan daripada Lotus Elise dengan perancangan awal sebanyak 999 unit bakal dikeluarkan. Tapi sehingga hari ini habuk pun tarak.

Lamborghini Cala

Semasa Lamborghini dijual kepada Megatech (dari Indonesia) pada tahun 1994, Italdesign telah menyumbang kepada pembangunan Cala yang dikatakan bakal menjadi pengganti kepada Jalpa. Ia menggunakan enjin 4.0-liter V10 dengan rekaan badan menggunakan gentian fiber oleh Giorgetto Giugiaro. Tapi model konsep ini telah dibatalkan bila Audi membeli Lamborghini dan kemudiannya mengeluarkan Gallardo yang menyumbang kepada kejayaan terbesar Lamborghini.

BACA: MCLAREN MAHU JADI RAJA SUPERCAR, SUDAH TENTU DENGAN BANTUAN CHINA

Apollo Arrow

Apollo Automobil sebelum ini dikenali dengan nama Gumpert yang mengeluarkan supercar dengan nama Apollo. Macam juga namanya, keretanya juga tidaklah secantik mana. Syarikat ini diistiharkan bengkrap pada tahun 2013 sebelum ia dihidupkan kembali pada tahun 2016. Hanya beberapa bulan selepas itu, Apollo Arrow diperkenalkan di Geneva Motor Show. Ia merupakan sebuah model konsep dengan enjin 1,000 hp menggunakan enjin 4.0-liter V8. Ia dirancang untuk dikeluarkan tetapi senyap terus sebelum digantikan oleh Intensa Emozione yang lebih baru dan diperkenalkan kepada umum pada tahun 2017.

Google ads
Back to top button