Artikel Pilihan

1,000 KG, 10,000HP. SEGALANYA TENTANG TOP FUEL DRAGSTER!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan perihal jentera buatan manusia paling laju di dunia iaitu Top Fuel Dragster.

Apa benda Top Fuel Dragster ni ? Top Fuel Dragster merupakan jentera yang bersaing di peringkat tertinggi perlumbaan Drag. Kenapa jentera ini berada di hierarki tertinggi ? Hal ini kerana jentera ini sangat laju. Terlalu laju. Kebiasaannya jentera ini mampu mencapai kelajuan lebih kurang 530km/h dan hanya memerlukan masa lebih kurang 4 saat untuk sampai ke garisan penamat trek sepanjang 1,000 kaki(305meter).

Yang body panjang tu ke ? Ye saya. Yang body panjang tu. Tapi tak semua jentera yang mempunyai cesi panjang ini diklasifikasikan sebagai Top Fuel Dragster. Ada lagi satu kelas yang menggunakan cesi panjang iaitu Top Alcohol Dragster. Bezanya, kuasa yang dihamburkan Top Alcohol Dragster adalah suku atau separuh dari apa yang mampu dihamburkan oleh Top Fuel Dragster. Berapa tu ? Tak banyak mana pun. Top Fuel Dragster lebih kurang 10,000hp. Top Alcohol Dragster lebih kurang 4,000hp.

Baiklah, sekarang kita pergi ke ciri-ciri jentera ini. Cesi jentera ini dibuat daripada Chromoly Steel Tube dan Carbon Fibre Composite. Panjang jentera ini pula dihadkan kepada 25kaki/300inci/7,620mm. Berat jentera dengan enjin kebiasaannya dalam lingkungan 1,000kg. Lebih kurang berat Myvi je ni Tuan-Tuan.

Seterusnya kita pergi kepada jantung jentera ini iaitu enjin. Pihak (National Hot Rod Associations) NHRA telah menetapkan bahawa kapasiti maksimum enjin adalah 500 Cubic Inches ataupun 8.2L. Jadi, antara enjin yang terbaik untuk mematuhi peraturan ini adalah enjin V8 426 Hemi “Elephant Engine” generasi kedua yang dibuat pada tahun 1964-1971 oleh Chrysler. Sebenarnya mereka tak pakai pun enjin ini, tetapi lebih kepada mengikut tetapan, rekaan serta susun atur enjin ini sahaja.

Walaupun berkuasa, kalau dah ikut tetapan enjin lama maka segalanya adalah klasik. Konfigurasi asas enjin ini adalah 2 injap bagi setiap silinder dan injap digerakkan oleh unit “push rod”. Aci sesondol pula berada di tengah-tengah enjin.

Kita pergi pula pada spesifikasi enjin, unit blok enjin dibuat daripada “Forged Alumunium” melalui proses (Computer Numerical Control) CNC. Ia kemudian menerima “Liner” yang dibuat daripada besi. Nilai Bore X Stroke ialah 106mm x 114mm.

Unit blok enjin yang dibuat ini tidak mempunyai rongga air. Hal ini kerana jika rongga dibuat, kekuatan blok akan berkurang dan keberangkalian blok pecah ketika beroperasi adalah tinggi. Tak overheat ke ? Tidak Tuan-Tuan, bahan bakar serta minyak silinder jentera ini sudah cukup untuk menjadi ejen penyejukan. Lagipun enjin ini hanya beroperasi maksimum 8 saat sahaja.

Unit kepala silinder enjin ini dibuat khas dengan menggunakan Aluminium Billet melalui proses CNC. Seperti unit blok enjin, tiada rongga air dibuat pada kepala silinder ini. Kepala silinder ini memuatkan unit injap serta pegas injap. Saiz injap yang digunakan adalah 62.2mm bagi injap masukan dan 48.9mm bagi injap ekzos. Material yang digunakan adalah Titanium bagi injap masukan dan Nimonic 80A bagi injap ekzos. Dudukan injap(Valve Seats) dibuat daripada besi tuang(Cast Iron).

Diantara kepala silinder dan blom enjin ini, terdapat sekeping gasket tembaga dan O-Ring yang dibuat daripada Stainless Steel. Bukan getah ye. Seterusnya, kedua-dua unit ini diikat dengan stud bergred tinggi.

Unit Aci Sesondol(Camshaft) bagi enjin ini dibuat daripada bahan khas seperti 8620 Carbon atau keluli gred S7. Ia terletak di tengah-tengah enjin dan dipacu oleh gear pemasaan. Bukan Timing Belt dan bukan juga Timing Chain. Tapi Timing Gear. Kemudian, ia dilengkapi dengan “Lifter” mekanikal yang bertindak sebagai medium penolak “Push Rod”

Unit Aci Engkol(Crankshaft) dibuat daripada Billet Steel melalui proses CNC. Konfigurasi Aci Engkol ini bersudut 90 darjah atau lebih dikenali dengan “Cross Plane”. Korang biasa dengar Yamaha punya enjin Cross Plane kan. Ini lah dia maksud Cross Plane. Kenapa pakai 90 darjah dan bukan 180 darjah ? Kan 180 darjah lagi power ? Sebenarnya mereka dah cuba dah pakai Aci Engkol bersudut 180 darjah. Tak dinafikan kuasa juga meningkat. Akan tetapi berlaku masalah gegaran yang terlalu kuat. Sehinggalah ada satu insiden dimana enjin pecah ketika perlumbaan disebabkan penggunaan Aci Engkol bersudut 180 darjah ini. Kalau setakat bawah 1,000hp tu takde apa lah sangat kan. Ni dah melebihi 10,000hp. Jadi, setiap perkara walaupun kecil perlu diambil kira risikonya.

Kita pergi pula kepada unit piston. Piston enjin ini melalui proses “Anodize” iaitu proses menyalut permukaan dengan lapisan pelindung elektrolisis. Kemudian, piston ini juga diselaputi oleh lapisan teflon. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan dan mengurangkan keberangkalian dinding piston atau calar ketika operasi. Piston ini kemudiannya diikat pada rod penghubung dengan pin bersaiz 29.4mm X 83.8mm. Besar ni Tuan-Tuan.

Rod Penghubung bagi enjin ini dibuat daripada Forged Alumunium. Kenapa Alumunium dan bukan Titanium ? Hal ini kerana alumunium mempunyai sifat menyerap tekanan/kejutan/hentaman. Jika material Titanium digunakan, ia akan menyebabkan segala daya tekanan diterima oleh Crankshaft Bearing, Crankshaft serta blok enjin secara terus. Perkara ini sangat bahaya kerana daya serta kuasa yang dihamburkan adalah sangat tinggi. Bukan biasa-biasa jurutera mereka ni. Nampak tak, tak semestinya semua kena pakai dari jenis billet. Tak semestinya semua kena keras. Material biar bersesuaian dengan fungsi. Baru betul.

Untuk pengetahuan, enjin Top Fuel Dragster ini dibantu dengan sistem pendesak “Supercharger”. Namun, pihak NHRA telah menetapkan spesifikasi unit Supercharger ini. Bukan sesuka hati je boleh masuk. Ada spesifikasinya. Menurut pihak NHRA, hanya Supercharger bersaiz 14-71 jenis Roots Blower sahaja yang dibenarkan. Melalui pendesak Supercharger ini, tekanan di dalam manifold(Absolute Manifold Pressure) berada dalam lingkungan 3.9-4.6 bar. Tekanan ini mampu meningkat sehingga 5.1 bar ketika operasi.

Sistem pelinciran enjin ini menggunakan sistem “Wet Sump”. Sama sahaja seperti kenderaan biasa. Spesifikasi minyak yang digunakan adalah gred SAE 70 Mineral ataupun Sintetik. Eh, takde 5w,10w,15w ke ? Tak payah. Pakai pun 4 saat je. Lepastu buang. Buat apa nak pakai minyak “Multigrade”. Kapasiti minyak enjin yang digunakan adalah dalam lingkungan 15 liter. Lagi satu, ketika proses pemanasan enjin, minyak enjin akan tercemar disebabkan oleh bahan bakar jentera ini. Jadi, sebelum ke garisan permulaan, minyak enjin akan ditukar sekali lagi. Kalau 15 liter sekali pakai. Maknanya satu perlumbaan enjin ini memerlukan 30 liter minyak enjin.

Sistem bahanapi jentera ini telah ditetapkan oleh pihak NHRA. Setiap pasukan hanya dibenarkan menggunakan maksimum 90% Nitromethane. Selebihnya adalah Methanol atau Ethanol. Ada juga pasukan yang menggunakan kurang daripada 90% Nitromethane. Tidak menjadi masalah selagi tidak melanggar undang-undang NHRA.

Apa Nitromethane ni ? Tak pakai petrol RON100 je ke ?

Tidak Tuan-Tuan. Nitromethane ni umpama campuran petrol bersama Nitrous Oxide(N2O) atau lebih dikenali sebagai NOS. Bahan bakar ini mempunyai atom oksigennya sendiri untuk memudahkannya terbakar. Senang cakap, lagi senang terbakar dan kuasa yang dihasilkan. Definisi senang terbakar disini ialah ia tidak memerlukan udara untuk terbakar.

Bila sifatnya sudah agak berlainan daripada petrol, maka nilai “Air Fuel Ratio”(AFR) juga adalah berbeza. Kebiasaannya nilai “Stoichiometric” AFR bagi petrol ialah 14.7 nisbah 1 (14.7:1). Jika nilai ini lebih bermakna pembakaran dalam keadaan “Lean”. Jika nilai ini lebih bermakna pembakaran dalam keadaan “Rich”. Namun, bagi Nitromethane, nilai “Stoichiometric” AFR adalah 1.7 nisbah 1(1.7:1). Nak dekat sama nilai dah nisbah udara dan bahan bakar. Oh ya, sebelum pihak NHRA menghadkan penggunaan Nitromethane kepada 90%, ada pasukan yang menggunakan Nitromethane 100% dan menala AFR kepada 0.5 nisbah 1(0.5:1). 0.5 udara dan 1 bahan bakar. Punya gila mereka ni. Tahu apa mereka selalu cakap ?

“Petrol for washing parts. Alcohol is for drinking. Nitro is for Racing!”

Penafian : Meminum minuman yang mengandungi alkohol serta memabukkan adalah dilarang bagi umat Islam.

Bila jentera ini mampu memerah lebih 10,000hp, takkanlah bahan bakarnya pakai sikit sahaja. Bahanapi jentera ini dipam oleh unit pam mekanikal. Pam ini mampu mengepam 380 liter bahanapi seminit ! Pam Walbro yang biasa orang pakai tu pun 255lph yang bermakna 255 liter sejam. Kemudian, tekanan di dalam sistem adalah pada kadar 34 bar. Bahanapi yang dipam ini seterusnya disalurkan ke 42 unit pemancit bahanapi(Injector). 10 pemancit terletak di corong masukan di atas “Supercharger”. 16 pemancit terletak di “Intake Manifold”. 2 pemancit terletak pada kepala silinder bagi setiap silinder. Hahaha, 42 pemancit bahan api beb. Bukan apa, selain memang bertujuan untuk memancitkan bahanapi, kita kena ingat yang enjin ini tiada rongga air. Bermakna tiada radiator. Nitromethane + Methanol ini lah yang menjadi ejen penyejuk untuk enjin ini.

Sistem penyalaan enjin ini diberikan kepada 2 unit “44-Ampere Magneto”. Unit ini mampu memberikan sehingga 50,000 Volt dan 1.2 Ampere. Nilai ini kemudiannya disalurkan ke 16 biji palam pencucuh dimana 2 biji bagi setiap silinder. Nak tahu apa yang best ? Palam pencucuh akan berhenti berfungsi ketika jentera sudah separuh jalan. Hal ini kerana elektrod palam pencucuh ini telah habis/hilang/hancur akibat tekanan di dalam silinder yang terlalu kuat dan arus serta voltan yang terlalu kuat.

Selepas palam pencucuh berhenti berfungsi, enjin masih hidup. Kenapa ? Hal ini kerana ketika beroperasi, injap ekzos sudah berada dalam keadaan merah menyala. Ditambah lagi dengan sifat Nitromethane yang memang mudah terbakar. Senang cakap, umpama sistem pembakaran enjin diesel. Jadi, walaupun anda sudah matikan sistem penyalaan, enjin akan terus berfungsi. Hanya dengan menyekat sistem bahanapi sahaja mampu untuk mematikan enjin ini.

Sekarang kita pergi pula pada sistem ekzos. Ekzos bagi jentera ini dibuat dari keluli. Satu ekzos bagi setiap silinder, bermakna ada 8 corong ekzos. Jika anda lihat, konfigurasi ekzos mereka semua tembak ke langit. Ini bukan kosmetik semata-mata, daya tujahan dari paip ekzos inilah yang memberikan sumbangan besar kepada “Downforce” jentera ini selain spoiler bapak besar tu.

Tayar. Besar kan tayar dia. Antara jenama yang biasa dipakai adalah Mickey Thompson, BF Goodrich dan Goodyear. Saiz bagi yayar belakang adalah 36.0 x 17.5-16. Bagi depan pula, ia dipanggil Frontrunners dan ada banyak pilihan. Salah satunya bersaiz 22.0 x 4.0-17. 16 dan 17 diakhir bermakna saiz rim. Saiz tayar adalah di dalam inci. Bagi tekanan udara tayar, pihak NHRA menetapkan bahawa 7 psi adalah takat minimum. Kebiasaannya pasukan akan letak pada 10-11 psi. Kenapa tekanan rendah ? Traction !

Dah sampai sini mesti ada yang tertanya-tanya, dia pakai kotak gear apa untuk salurkan kuasa dari enjin ke tayar ? Jawapannya tiada kotak gear. Yang ada hanyalah gabungan mekanisma klac. Mekanisma ini hanya berfungsi untuk menggerakkan jentera kedepan, laju dan kebelakang. Unit klac ini terdiri daripada 5-6 cakera, plat tekanan, galas dah perumah. Ia dikawal secara tuil mekanikal dan juga “Timer”. Pakai timer beb. Bila pakai timer ni, memang dah sah-sah kena tala. Kalau cepat sangat traction tiada, tayar berpusing(spin). Kalau lambat sikit, kalah lah jawabnya. Talaan harus sempurna. Punya gila mat saleh ni boleh fikir sampai kesini. Oh ya, ketika perlumbaan selesai, suhu di dalam perumah klac sangat panas dan ada kalanya cakera klac akan ter-kimpal antara satu sama lain dan melekat.

Jadi Tuan-Tuan, inilah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan berkenaan Top Fuel Dragster ini. Saya harap, sukan lumba drag di Malaysia ini akan semakin berkembang sehinggalah kita mampu menghasilkan Top Fuel Dragster sendiri.

Google ads
Back to top button