
XIAOMI NAK BANGUNKAN KENDERAAN ELEKTRIK PULA?
Pengeluar China, Xiaomi yang cukup sinonim dengan pembikinan telefon dalam perancangan jangka panjang berkecimpung dalam industri automotif.
Menurut laporan media tempatan, syarikat terbabit memberi gambaran bahawa akan membangunkan kenderaan elektrik (EV).
Begitupun, tidak banyak perincian yang dapat didedahkan tetapi mengikut penerbitan tempatan, LatePost, projek berkenaan masih dalam peringkat awal dan masih belum jelas apakah Xiaomi ingin melancarkan kenderaan sendiri ataupun bertindak sebagai pengeluar untuk syarikat berbeza.
Dalam laporan itu lagi, projek berkenaan dipantau sendiri oleh Pengasas dan CEO syarikat terbabit, Lei Jun.
Ia sekali gus menunjukkan bahawa Xiaomi mempertimbangkan pengeluaran EV dalam jangka panjang.
Ini bukanlah kali pertama Xiaomi meneroka industri automotif kerana telah membangunkan prototaip dikenali sebagai Micar pada tahun 2018 dalam percubaan menguji teknologi pengeluaran EV.
Bahkan, ada laporan mengatakan CEO Xiaomi telah berjumpa dengan pengasas Tesla, Elon Musk beberapa tahun lalu dalam membincangkan pengeluaran EV tetapi tidak pernah berkongsi perincian berhubung pertemuan terbabit.
Xiaomi turut melabur dalam beberapa syarikat EV terutama berpangkalan di China termasuk Xpeng Motor dan Nio.
Tidak mustahil, Xiaomi akan mengikut jejak langkah pesaing mereka, Apple dalam membangunkan EV sendiri walaupun bertindak dengan baik sebagai pengeluar kepada syarikat-syarikat terbabit.
Menurut sumber dalam industri, Apple kini sedang mencari rakan kongsi untuk membangunkan Apple Car berikutan gagal dalam rundingan bersama Hyundai dan Nissan.
Kemungkinan besar, Xiaomi akan bergabung tenaga dengan pengeluar kenderaan dari China dalam pembikinan EV sendiri malah ia masih dalam peringkat awal dan perlu mendapat pengesahan daripada syarikat terbabit. – autoevolution