
PELAKON BENGANG BUDAYA ‘COP PARKING’ MASIH WUJUD – NETIZEN CADANG LAPORKAN KEPADA POLIS
Masalah tempat letak kereta sering terjadi di mana sahaja terutama pada waktu puncak atau di kawasan tumpuan.
Baru-baru ini, sebuah video di TikTok hasil rakaman pelakon tempatan, Elvina Mohamad mendedahkan seorang wanita ‘cop parking’ untuk kereta rakannya.
Walaupun ia adalah salah satu kesalahan di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun budaya ‘cop parking’ masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

“Tak sangka eh masih ada orang buat macam ni, nak COP2 PARKING! Kita ni punya laa 3 4 kali round cari dan tunggu parking. Lepas tu senang-senang dia je dia berdiri situ nak cop parking untuk kawan dia,” tulis Elvina pada.
Menerusi video tersebut, wanita berkenaan hanya mendiamkan diri sambil memberikan bantuan untuk rakannya meletakkan kereta di situ, sebuah Perodua Bezza berwarna biru yang turut dibantu oleh seorang rakannya.
“Dia kemudian berbohong dan mengatakan bahawa dia telah lama berdiri di situ tetapi kami sudah menunggu untuk meletak kereta di tempat itu selepas kereta lain keluar,” jelas Elvina.
Video itu mendapat lebih tiga juta tontonan di TikTok dan netizen mencadangkan untuk melaporkan perbuatan wanita itu kepada polis.
“Ada sesetengah orang terlalu mementingkan diri sendiri, park je betul-betul di sebelah kereta supaya tidak siapa boleh keluar,” komen seorang netizen.
Memetik kenyataan PDRM, “Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan.”
Di bawah Seksyen 119, penalti untuk kesalahan ini adalah denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya selepas disabit kesalahan, denda akan meningkat sehingga RM4,000 atau penjara sehingga 12 bulan. – The Sun Daily









