
390 UNIT NISSAN GT-R DIJUAL DI AS PADA 2023, NISSAN Z 1,771 UNIT!
Nissan GT-R dikeluarkan sejak Disember 2007 dan masih bertahan hingga kini. Di dalam usia berbelas tahun, Nissan telah menaiktaraf GT-R pada bahagian luar, dalam dan rangkaian kuasa.
Di dalam usia tersebut GT-R juga tampil dengan beberapa edisi istimewa seperti Black Edition, Track Edition, NISMO dan pelbagai lagi. Paling unik ialah GT-R50 yang dibuat dengan kerjasama Italdesign.
Dengan usia berbelas tahun, adakah GT-R masih menerima sambutan? Jualan di Amerika Syarikat (AS) pada 2023 menunjukkan angka 390 unit dan meningkat 584.2 peratus berbanding 57 unit pada 2022.
Tahun 2023 juga menyaksikan Nissan mempertingkatkan lagi GT-R dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Premium, T-spec dan NISMO.
GT-R ditawarkan dalam jumlah terhad dan mula dihantar ke pengedar terpilih di AS pada musim luruh (Mac – Jun).
Sebuah lagi model sport iaitu Nissan Z pula dijual sebanyak 1,771 unit dengan peningkatan 573.4 peratus daripada 263 unit pada 2022.
Berbanding GT-R, Z masih baharu dan mula diedarkan di AS pada musim panas 2022 (Jun – September).
Berdasarkan angka tersebut, apakah kesimpulan yang boleh dibuat? Secara asasnya kereta sport dua pintu tidak mempunyai saiz pasaran besar ditambah dengan persaingan dari pengeluar lain di AS.
Tidak kira skala sambutan tinggi, sederhana atau rendah namun yang pasti kereta sport dua pintu dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) tanpa kacukan perkakasan elektrik bakal menjadi khazanah.
Golongan yang membeli GT-R dan Z boleh dianggap sebagai individu yang ‘kenal barang’.
Di sebalik angka GT-R dan Z, jualan keseluruhan Nissan pada 2023 ialah sebanyak 898,796 unit atau peningkatan 23.2 peratus daripada 729,350 unit pada 2022.
Daripada jumlah itu, 64,699 unit mewakili jualan Infiniti dengan pertambahan 38.8 peratus daripada 46,619 unit pada tahun sebelumnya.
Berikut senarai lima kenderaan terlaris Nissan pada 2023:
- Nissan Rouge: 271,458 unit
- Nissan Altima: 128,030 unit
- Nissan Sentra: 109,195 unit
- Nissan Pathfinder: 71,710 unit
- Nissan Kicks: 66,823 unit
Kenderaan elektrik:
- Nissan Ariya: 13,464 unit
- Nissan LEAF: 7,152 unit









