PADAH APABILA TERLELAP SEKETIKA WAKTU MEMANDU PULANG BERHARI RAYA
Baru-baru ini ada sahabat menghubungi penulis, dan membawa khabar kurang baik. Dia baru sahaja mengalami kemalangan yang teruk tapi nasibnya baik kerana tiada kecederaan yang serius. Kereta yang dipandunya terbabas, melanggar objek di tepi jalan dan berakhir dengan roll-over atau semua tayar ke atas.
Nasib beliau baik kerana semua ahli keluarga memakai tali pinggang keledar. Punca kejadian adalah mudah, beliau memandu pulang ke kampung menempuhi jarak perjalanan yang jauh. Kemalangan berlaku pada jam 3 pagi berdekatan dengan destinasi yang ingin dituju.
Tekaan penulis ialah, kawan penulis mengalami microsleep kerana dia mendakwa mengelak binatang liar di atas jalan, gagal mengawal kenderaan dengan cekap serta memandu dalam keadaan letih serta mamai.
Fenomena microsleep selain boleh menyebabkan anda terlelap beberapa milisaat sahaja ketika memandu, ia juga dikaitkan dengan kegagalan otak manusia untik mentafsir input mata dan telinga serta bertindak balas dengan cepat dengan menggunakan tangan dan kaki ketika memandu.
Kalau tangan dan kaki anda gagal bertindakbalas dengan cepat ketika situasi kecemasan, ia boleh berakhir dengan kemalangan sama seperti yang menimpa kawan penulis. Dan anda perlu mempersiapkan mental anda untuk prosedur seterusnya seperti laporan polis, keputusan kes, membawa kenderaan untuk dibaiki dan sebagainya yang amat memenatkan otak anda.
Kami telah beberapa kali mengingatkan pembaca Mekanika berkenaan dengan isu microsleep ini. Keadaan lebuh raya yang terlalu lurus juga turut menyumbangkan kepada kepada microsleep dan highway hypnosis. Dan kami menjangkakan sambutan hari raya Aidilfitri tahun 2022 ini akan menyebabkan ramai pengguna jalan ray pulang ke kampung setelah 2 tahun tidak dibenarkan pulang.
Keadaan jalan akan menjadi sesak dan masa perjalanan pulang akan menjadi lebih panjang daripada biasa. Perjalanan 5 jam boleh jadi 10 jam dan pengalaman penulis ialah 12 jam memandu tanpa henti. Ketika anda muda, 12 jam tiada masalah. Tapi jika umur telah meningkat, ia menjadi masalah besar
Badan akan menjadi cepat lesu dan penat menyebabkan anda mudah mengantuk. Cara mudah untuk menghilangkan mengantuk ialah dengan memandu laju sedikit, menyebabkan deruan aliran hormon adrenalin ke dalam badan. Ia seolah-olah menipu badan bahawa anda sedang dalam bahaya.
Tapi AWAS, memandu laju di lebuh raya adalah kesalahan tidak boleh dikompoun dan anda boleh didakwa di mahkamah. Halaju maksima di jalan persekutuan direndahkan daripada 90km/jam kepada 80km/jam. Jika anda memandu pulang dengan kereta segmen C dan ke atas, halaju 80km/jam ini ibarat memanggil-manggil anda untuk tidur.
Tapi merendahkan halaju juga akan mengurangkan risiko berlakunya kemalangan maut. Kami kongsikan beberapa tip untuk anda kekal cergas dan mengurangkan risiko microsleep ketika pulang ke kampung:
1. Rehat secukupnya – jika pulang pada waktu siang, pastikan anda dapat rehat yang cukup pada waktu malam sebelum memulakan perjalanan
2. Ada pemandu ganti – kalau perjalanan melebihi 6 jam, cari pemandu ganti yang boleh menggantikan tempat anda. Mungkin boleh bergilir-gilir dengan isteri. Lagi banyak isteri lagi bagus. Kalau bujang padan muka.
3. Rehat dan rawat – jika tiada pemandu ganti, rancang perjalanan dan rancang tempat rehat bagi setiap 2 jam. Cari stesen minyak, R&R atau masjid bagi berehat 10 minit. Anak anda yang ada dalam kerusi bayi pun boleh meregangkan badan sekejap.
Ingat kawasan rehat bukan tempat sampah, kutip balik sampah anda. Jangan jadi sampah masyarakat
4. Kopi dan kafein – ya menjadi teman baik penulis, diminum ketika bersahur atau selepas berbuka ketika dalam perjalanan. Kajian menunjukkan pengambilan 80mg minuman kopi atau mengandungi kafein meningkatkan tahap kecergasan pemandu mengurangkan mengantuk sehingga 2 jam.
5. Berhenti tidur – kalau anda gagal berfikir dengan jelas dan hilang memori untuk 10 minit yang lepas, adalah lebih baik berhenti dan tidur untuk 5 minit di kawasan R&R, stesen minyak dan masjid.
6. Bawa bekal – untuk keselesaan anda, anggap sahaja semua kedai makan telah habis. Bawa sahaja bekal makanan dan minuman yang ringkas untuk berbuka dan bersahur dalam kereta ketika perjalanan. Jadi tak perlu berebut-rebut ke kedai makan, sebab belum tentu sedap.
Apa-apa pun kami doakan agar perjalanan anda selamat sampai ke destinasi dalam keadaan yang baik, tiada kemalangan berlaku dan ketibaan anda dalam keadaan gembira. Bukan ditangisi oleh ahli keluarga.