
HERO MUMBAI SELAMATKAN KANAK-KANAK DARIPADA DIGILIS KERETA API
Tindakan pantas dan berani petugas stesen berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang terjatuh di landasan kereta api di Mumbai, India.
Kanak-kanak itu bersama ibunya yang mempunyai masalah penglihatan sebelum terjatuh. Kanak-kanak itu cuba untuk bangun dan naik semula ke pelantar. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang lelaki berlari pantas ke arah kanak-kanak berkenaan dan mengangkatnya.
Dalam hanya beberapa saat, sebuah kereta api meluncur laju dan kedua-dua mereka akhirnya terselamat.
Rakaman CCTV berdurasi kurang satu minit yang menunjukkan pekerja Indian Railways, Mayur Shelke berlari dan mengangkat kanak-kanak berkenaan tular di media sosial. Malah netizen menggelarnya sebagai seorang adiwira atas keberaniannya itu.
Tindakan Mayur yang mempertaruhkan nyawanya itu mendapat penghargaan daripada Indian Railways dan Kementerian Pengangkutan Kereta Api India. Mayur turut menerima ganjaran sebanyak 50,000 rupee (RM2,800).
“Apa yang anda lakukan ini mungkin tidak mampu dilakukan oleh orang lain. Tiada apa yang lebih besar selain daripada menyelamatkan nyawa manusia. Indian Railways berasa bangga kerana mempunyai kakitangan sepertinya.
“Tabik hormat atas keberanian serta dedikasinya kepada tugas,” kata seorang wakil Indian Railways kepada Mayur yang diraikan dalam satu majlis khas.
- BACA: NAIK KERETA API LAJU, JAKARTA-BANDUNG HANYA 45 MINIT. TAMBANG RM70 SEHALA
- BACA: STESEN KERETA API DI JEPUN DINAMAKAN DETECTIVE CONAN
- BACA: KERETA API LALU BAWAH JAMBATAN RENDAH, NILAI KEROSAKAN KERETA FORD CECAH RM8.2 JUTA
- BACA: POLIS SWITZERLAND CARI PENUMPANG KERETA API TERTINGGAL JONGKONG EMAS BERNILAI RM1 JUTA