Buletin

405 BEETLE MERIAHKAN ACARA BEETLE, AN ICONIC GATHERING DI PUTRAJAYA

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) pada Sabtu lalu mengalu-alukan kedatangan 405 unit Volkswagen Beetle dari seluruh negara pada acara Beetle, An Iconic Gathering yang diadakan di Putrajaya.

Sambutan dimulakan pada awal pagi dengan konvoi melibatkan 138 buah Beetle yang melalui jalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Putrajaya.

Konvoi itu terdiri daripada Beetle pelbagai warna dan telah diubah suai mengikut personaliti pemiliknya. 

Pengarah urusan VPCM, Erik Winter merakamkan penghargaan kepada semua pemilik Beetle yang datang jauh dari Perlis dan Johor.

“Ini merupakan satu momen yang emosional buat kita semua apabila melihat barisan Beetle yang pelbagai warna. Kereta ini telah menyatukan kita, tanpa mengira apa latar belakang.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemilik Beetle kerana menjayakan acara ini,” kata Winter. 

Daripada ratusan Beetle itu, tiga buah Beetle dipilih sebagai pemenang anugerah Best in Show dan Most Liked Car.

Pemenang anugerah Best in Show ialah Fairul Irwan, Raja Gopal dan Thavanesan A/L Selvaratnam. Manakala post Instagram Siti Aishah Ismail dinobat sebagai penerima gelaran Most Liked Car. 

VPCM turut mengambil peluang untuk mempamerkan Beetle Collector’s Edition yang dilancarkan sehari sebelum Beetle terakhir dikeluarkan dari saluran pengeluaran di kilang Puebla Volkswagen.

Model itu didatangkan dengan senarai aksesori bernilai RM12,000 seperti spoiler belakang, filem dekoratif, ekzos krom, pedal sports aluminium, plat pemijak kaki, VW Tint dan emblem khas. 

Ditawarkan pada harga RM164,390 hanya 75 unit ditawarkan. Semua pelanggan juga akan menerima sijil pemilikan Beetle Collector’s Edition.

GALERI

Google ads
Back to top button