Artikel Pilihan

5 BUAH KERETA DENGAN REKAAN PINTU YANG PELIK

Kebanyakan kereta mempunyai bukaan pintu yang konvensional iaitu dibuka dari belakang ke hadapan tetapi ada beberapa buah kereta yang mempunyai pintu yang dibuka dengan cara yang agak lain daripada yang lain. Ada yang kata hebat, ada yang kata aneh dan ada pula yang kata kelakar. Ini kami senaraikan lima buah kereta dengan bukaan pintu yang unik.

1-tesla-model-x

1. TESLA MODEL X

Ia digelar Falcon Doors kerana bentuknya seperti sayap burung helang yang sedang terbang. Tesla Model X ialah sebuah SUV berkuasa elektrik dan dipenuhi dengan pelbagai ciri teknologi terkini.

Pelopor syarikat ini, Elon Musk melah mencadangkan agar syarikat ini mendahului kehendak pasaran dari segi teknologi kenderaan.

Bagusnya, kerana para pereka Tesla nampaknya tidak lupa memasukkan elemen kelakar sewaktu mereka menghasilkan rekaan pintu belakang Model X ini. Pintu yang dipanggil falcon wings ini akan naik secara dramatik sewaktu dibuka seperti kepak helang yang sedang terbang.

Tentu sekali ia tidak praktikal jika berada di ruang meletak kereta bawah tanah pasaraya yang agak sempit dan mempunyai bumbung yang rendah. Ia bagaimanapun mempunyai sensor agar tidak melanggar sebarang objek bila dinaikkan.

2-aventador

2. LAMBORGHINI AVENTADOR

Aventador merupakan model Lamborghini terbaru yang dilengkapkan dengan pintu yang dinamakan scissor doors (gunting). Ia merupakan rekaan klasik Lamborghini pada peringkat awal mereka menghasilkan supercar seperti Lamborghini Countach pada tahun 1974.

Ia digelar scissor doors keranaa bentuknya seperti gunting yang sedang digunakan dengan engsel di bahagian pintu. Pintu pula diangkat ke bahagian atas depan kereta.

Pada masa kini pintu ini cuma dipasang pada model terhebat Lamborghini seperti Aventador V12. Malah Lamborghini Gallardo pun tidak mempunyai pintu gunting yang tersohor ini, begitu juga dengan Huracan.

Jadi sekarang anda faham kenapa Bruce Wayne memandu Aventador dan bukannya Lamborghini lain. (Bruce Wayne pun tak kenal baik kau pergi main pistol air je)

3-wraith

3. ROLLS-ROYCE WRAITH

Rolls-Royce pula menampilkan bukaan pintu yang hampir menyerupai pintu konvensional lain tetapi dibuka dalam keadaan terbalik iaitu dari hadapan ke belakang. Pintu hadapannya pula dibuka secara konvensional.

Ia akan membolehkan pemandu anda membuka pintu dan berdiri agak jauh supaya anda boleh keluar dengan bergaya lagi elegan. Ia membolehkan anda dan pasangan masuk dan keluar dengan mudah apatah lagi jika pasangan anda memakai pakaian yang sarat dengan batu permata seperti Datuk Seri Qu Puteh.

Apa nak hairan sangat kerana semua mata akan memandang jika anda tiba di satu-satu majlis dengan menaiki Rolls-Royce.

Menariknya Rolls-Royce turut melengkapkan pintu terbalik ini kepada model coupe seperti Wraith. Aneh tetapi pada masa yang sama menaikkan lagi imej retro-futuristik yang ada padanya.

Ia juga untuk memberitahu semua orang yang melihat bahawa ini adalah Rolls-Royce yang terkenal. (Tidak mustahil berlaku kerana ada yang menyangka kereta mereka sendiri kereta mewah bila memasang aksesori bling-bling yang dibeli di kedai Abang’s)

4-i8

4. BMW i8

Model konsep asal BMW yang dinamakan Vision Efficient Dynamics adalah seperti yang dipandu Tom Cruise dalam filem Mission Impossible: Ghost Protocol. Bagaimanapun model sebenar BMW i8 yang dikeluarkan oleh BMW tidak mempunyai pintu berkaca jernih seperti model konsep sebelumnya.

Tetapi pintu asal yang dinamakan butterfly system masih dikekalkan. Ia dikatakan menyerupai kepak rama-rama yang sedang terbang (nasib baik arboq tak ada kepak, kalau tak mesti ada yang gunakan konsep sayap arboq).

Engsel pintunya juga terletak di bahagian hadapan tetapi berbeza dengan pintu Lamborghini yang terangkat secara tegak, pintu i8 diangkat ke atas dan dipusingkan untuk bukaan yang lebih luas. Ia boleh dilakukan kerana pintu i8 adalah lebih ringan dan diperbuat daripada campuran gentian karbon dan resin plastik yang diperkuatkan.

5-mercedes-sls

5. MERCEDES-AMG SLS

Rasanya kalau anda peminat mercedes klasik, mesti kenal dengan SLS. Ia dihasilkan dari inspirasi model klasik 300SL tahun 1954. Sewaktu diperkenalkan pada masa tu pun, pintu yang dikenali dengan nama gullwing ni mengejutkan ramai orang dalam industri automotif.

Ia kelihatan sangat aneh. Bukan itu sahaja, sebenarnya agak susah mobiliti keluar-masuk kereta bagi model asal gullwing 1954 tu. Lantai masuk jadi tinggi dan bumbung rendah. Tapi itulah yang ikoniknya tentang gullwing.

Pada 2010, Mercedes memperkenalkan SLS dengan pintu yang sama. Setengah abad kemudian sudah tentu teknologinya lebih baik. Tapi, ia tetap diingati sebagai antara rekaan pintu pelik yang pernah dicipta dalam industri automotif.

BACA – YAMAHA R1 MENANG ANUGERAH REKABENTUK

BACA – REKAAN PELIK CHEVROLET FNR

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button