Artikel Pilihan

VIDEO LAMBORGHINI AVENTADOR BAHARU – DARI BELAKANG PUN DAH GANAS

Nampaknya pengganti Aventador bakal muncul sedikit hari lagi dan pautan video risikan ini adalah buktinya. Sebelum ini pun sudah banyak video dan imej seumpama ini ditunjukkan kepada umum tapi yang ini boleh dikatakan antara terbaik. Rekaan baharu ini memang cukup berbeza tapi identiti Lamborghini memang jelas ketara.

Prototaip ini dikesan berhampiran dengan fasiliti Lamborghini di Sant’Agata, Itali cuma sayangnya ia hanya memaparkan bahagian belakang. Kalau dapat gambar depan lagi ngam tapi belakang pun belakanglah. Dah namanya Lambo, belakang pun boleh buat tulang betis bergetar.

Kalau fikiran korang sama macam kami semestinya paling menarik perhatian ialah hujung paip ekzos yang terletak tinggi sebaris dengan lampu belakang. Empat semuanya dan berbentuk heksagon. Rasanya bentuk macam ni belum ada dekat kedai ekzos Wei Yip. Lampu belakang pun kali ini nampak cukup tipis je.

Bahagian bumper belakang nampak lebih ganas dan kerana bahagian hujung ekzos berada agak tinggi, kini para jurutera mampu menghasilkan rekaan diffuser yang lebih dramatik menampakkan tayar belakangnya yang cukup besar tu. Harga tayar tu tak payah tanya la. Kalau ada brand Linglong pun rasanya tak murah.

Bahagian lain yang boleh diperhatikan ialah penutup enjin dengan enam liang sejukan selain lampu brek ketiga yang kelihatan mengikut kontur badan. Ini semestinya trend baharu dan bukannya berbentuk bar seperti pada peringkat awal lampu brek ketiga diperkenalkan masa korang kecik-kecik dulu.

Walaupun ini dikira sebagai video risikan tapi hasilnya nanti rasanya tak jauh berbeza. Kalau korang rasa buah pinggang dan usus korang masih dalam keadaan tiptop boleh dah buka iklan untuk kumpul modal. Ataupun segera daftar jadi ejen produk kolagen oksigen hidrogen timbang kilo. Mana tahu kan?

Google ads
Back to top button