Buletin

5 BUAH KERETA DISEWA OLEH JOE BIDEN TERBAKAR

Lima buah kereta yang disewa oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden musnah dijilat api di Lapangan Terbang Nantucket Memorial.

Kenderaan yang musnah terdiri daripada Chevrolet Suburban, Ford Explorer, Infiniti QX80, Ford Expedition dan Jeep Gladiator.

Kebakaran tersebut berlaku kira-kira jam 5.22 pagi ketika kakitangan lapangan terbang itu melakukan pemeriksaan melalui Sistem Litar Tertutup (CCTV) lapangan terbang.

Rakaman yang diambil dari tempat kejadian turut dikongsikan ke media sosial, menunjukkan bahagian hadapan kesemua lima buah kereta rosak teruk. Tetapi api berjaya dipadamkan sebelum ia menyambar sepenuhnya semua kenderaan terbabit.

“Kakitangan mengaktifkan sistem amaran dan bertindak balas terhadap kebakaran di Lapangan Terbang-3 sebelum pihak bomba datang memberi bantuan,” jelas pihak Lapangan Terbang Nantucket Memorial menerusi Twitter.

Mereka juga mengatakan bahawa api merebak dalam lingkungan 12 meter dari tangki bahan api jet berkapasiti 25,000 gelen. Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Kelima-lima kenderaan itu dimiliki oleh Hertz. Laporan menyatakan sepatutnya Ford Expedition terlibat dalam panggilan semula bateri tetapi ketika kebakaran berlaku, mereka mendapati bateri masih belum lagi ditukar.

Biden berada di Nantucket bersama keluarganya untuk meraikan hari Thanksgiving dan melawat Jabatan Polis Nantucket semasa perjalanannya.

Google ads
Back to top button