Buletin

PERODUA CATAT JUALAN TERTINGGI 250,795 UNIT DARI JAN-NOV 2022. NAIK 50% BERBANDING TAHUN 2021

Prestasi pengeluaran, jualan bulanan dan tahunan Perodua setakat ini mencapai paras tertinggi pada November apabila syarikat kereta kompak nasional itu bergerak pantas dalam memenuhi setiap permintaan.

Dari segi jualan, Perodua menjual 250,795 unit antara Januari dan November tahun ini, melepasi sasaran tahunan keseluruhannya sebanyak 247,800 unit yang diumumkan pada awal. Ini merupakan jualan tertinggi bagi Perodua.

“Angka ini seiring dengan pencapaian pengeluaran kami setakat tahun ini yang berjumlah 258,960 unit. Kami juga berjaya mencapai pengeluaran bulanan tertinggi sejak penubuhan Perodua iaitu sebanyak 29,149 unit.

“Pencapaian ini memberi makna pada semua peringkat. Pertama, ia menunjukkan keupayaan kami dalam memaksimumkan sumber semasa, baik di Perodua mahupun para pembekal di dalam ekosistem. 

“Keduanya, melalui pencapaian ini, kami kini menyedari bahawa kami boleh meningkatkan lagi operasi dalam jualan dan pengeluaran tanpa perlu melabur untuk kilang baharu atau mendapatkan kawasan tanah yang luas bagi operasi pembuatan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ SriZainal Abidin Ahmad.

Justeru, Perodua akan terus melabur untuk menaik taraf operasi sebagai satu kumpulan dengan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kemahiran warga kerjanya. Perodua juga akan bekerjasama rapat dengan para pembekal dan pengedar untuk memastikan operasi mereka mampu memenuhi permintaan dan cabaran-cabaran yang mendatang.

Sebagai perbandingan tahun ke tahun, jualan Perodua meningkat sebanyak 50 peratus kepada 250,795 daripada 167,250 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas. Peningkatan jualan berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah

disebabkan oleh penutupan operasi akibat Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun 2021.

Jualan bulanan juga mencatatkan rekod baharu dengan 28,592 unit pada November 2022, naik 40.9 peratus berbanding 20,299 unit pada November 2021. Ia merupakan peningkatan 10.6 peratus jika dibandingkan dengan 25,849 unit yang dijual pada Oktober tahun ini.

Tiga model teratas Perodua yang dijual pada November ialah Bezza dengan 8,089 unit, diikuti Myvi (6,624 unit) dan Axia (5,812 unit).

Perodua akan meneruskan momentum jualan dan pembuatan untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan  mereka dengan lebih cepat. Ia juga mahu memastikan pelanggan yang menempah kenderaan Perodua dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan mendapatkan kereta mereka sebelum 31 Mac 2023.

Mengenai penetapan semula sasaran baharu tahun ini, Zainal memberitahu pihaknya akan mengumumkan jumlah sebenar tahunan keseluruhan pada Januari depan.

Google ads
Back to top button