Artikel Pilihan

5 FILEM AKSI KERETA TERBAIK PILIHAN KAMI

Kali ini kami nak lari sikit dari kebiasaan. Jika sebelum semua artikel bersangkut paut dengan permotoran secara langsung, kini kami nak jadi pengulas filem pula. Maklumlah Festival Filem Malaysia kan dah dekat. Di sini kami ingin senaraikan lima filem terbaik pilihan kami, aspek yang dinilai bukannya lakon layar terbaik, pengarah terbaik ataupun sinematografi terbaik tapi semestinya model-model kereta dan aksi yang ditampilkan. (Mana layak kami nak komen pasal aspek lain).

 1. NEED FOR SPEED

 Filem yang berada pada tempat pertama dalam senarai kami ialah Need for Speed keluaran tahun 2014. Kenapa? Sebab hanya dalam filem ini kita dapat saksikan puluhan kereta hypercar eksotik beraksi di jalan raya. Daripada Bugatti Veyron, Koenigsegg Agera R (bukan satu tapi, Tiga!), Ford Shelby Mustang, McLaren P1, Saleen S7 (tiada kena mengena dengan Saleem Iklim) Lamborghini Vaneno dan banyak lagi.

Walaupun jalan cerita boleh dikatakan ala kadar saja tapi untuk menghimpunkan sebanyak ini model-model eksotik bukannya tugas yang senang. Filem ini diasaskan daripada permainan komputer Need For Speed yang amat popular sejak seawal tahun 90-an.

Ada yang mengatakan filem ini terlalu banyak menggunakan Imej Grafik Berkomputer (CGI) tapi bagi kami ia bukannya satu masalah. Kalau asyik nak tengok filem yang banyak menggunakan logik, lebih baik tengok drama swasta atau Upin dan Ipin.

2 gone in 60s

2. GONE IN 60 SECONDS

 Kedudukan tempat kedua pula kami berikan kepada filem Gone in Sixty Second lakonan Nicholas Cage dan Angelina Jolie. Filem ini merupakan terbitan semula daripada filem asal yang dihasilkan pada tahun 1973. Lama sangat tu, kami pun tak ada lagi pada masa itu.

Ada beberapa sebab kami suka filem ini. Satu, disebabkan kecintaan yang mendalam terhadap kereta seperti yang dialami oleh watak utama dalam filem ini, seorang pencuri kereta bernama Randall “Memphis” Raines lakonan Cage. Dua, Ford Shelby GT500 1967 yang digelar “Eleanor” oleh Memphis dan sebab yang ketiga dan yang terkuat, Angelina Jolie!

3 fnf tokyo drift

3. THE FAST & THE FURIOUS; TOKYO DRIFT

Filem yang ketiga ialah The Fast and The Furious: Tokyo Drift. Berbeza dengan The Fast and The Furious sebelumnya, filem ini tidak ada watak Paul Walker. Malah Vin Diesel juga cuma muncul sebagai cameo di akhir cerita. Keistimewaan filem ini semestinya budaya drift yang menjadi kegilaan semua kaki kereta di kala itu.

Bahangnya sudah agak berkurangan namun sampai sekarang kami masih tak pendai melakukan aksi drift. Jika dua filem teratas mengetengahkan kereta-kereta eksotik dan mewah, filem ini pula membawakan kepada kita senario dunia modifikasi kereta-kereta Jepun seperti Mitsubishi Lancer Evolution, Nissan Fairlady, Nissan Silvia, Mazda RX-7, RX-8  dan macam-macam lagi. Tapi yang tak bestnya satu je, penghujung cerita si hero menang dengan menggunakan kereta Ford Mustang 1967 yang dikacukkan dengan enjin Jepun. (mana-mana cerita pun Amerika mesti nak menang kan?)

 

4 transformers

4. THE TRANSFORMERS

 Tempat keempat jatuh kepada filem-filem Transformers. Nampak macam tak kena dan kami tahu mereka banyak menggunakan CGI tapi tengoklah barisan model yang ditampilkan. Chevrolet Camaro baru dan lama. Jangan komen masa bertukar jadi robot. Corvette Stingray konsep, Pagani Huayra, Lamborghini Aventador, SLS AMG dan banyak lagi. Semua berkilat-kilat dan ingat bukan selalu kita dapat tengok kereta bercakap, last sekali pun masa zaman Knight Rider dulu.

 5 transporter

5. TRANSPORTER

Kedudukan kami berikan kepada filem The Transporter, asalnya kami mahu masukkan filem Cars keluaran Pixar Animation tapi nampak agak keanak-anakan. Tapi ia masih filem berkisarkan kereta yang baik dengan bahasa yang sopan.

Okey, berbalik kepada The Transporter. Filem lakonan Jason Statham ini berkisahkan seorang penghantar barangan yang sanggup menghantar apa saja barangan yang diarahkan. Mesti la kena bayar, mana boleh free.

Jika anda perasan hanya filem pertama watak utama memandu BMW 7-siri, filem seterusnya beliau bertukar kepada Audi A8 W12. Bayangkan harga cukai jalannya di Malaysia… letih tuan-tuan. Jarang ada kereta aksi yang menampilkan kereta sedan mewah untuk prestasi dan sebab itu kami menyukaimya.

Kekuatan filem ini semestinya pada teknik pemanduan The Transporter itu sendiri. Dari awal hingga hujung penuh dengan adegan kejar-mengejar baik dengan pihak polis mahupun dengan dengan watak-watak jahat. Apapun kesemua filem The Transporter ini tidak pernah menghampakan penonton.

 

Itulah antara lima filem yang menjadi pilihan kami. Anda mungkin ada pilihan anda. Itu bukan satu masalah. Itulah keistimewaan manusia, minat kita sama tapi tak semestinya kita beli kereta yang sama.

Hmmm. Macam iklan hotel pulak.

 

 

Google ads
Back to top button