Artikel Pilihan

5 SEBAB KENAPA MCLAREN 720s MASIH RELEVAN.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang sebuah jentera “Supercar” dari UK. Kebiasaannya peminat “Supercar” di Malaysia cenderung untuk memiliki jentera dari Itali dan Jerman. Namun begitu, “Supercar” dari UK ni sebenarnya tudak kurang hebatnya. Silap. Sangat hebat sebenarnya. Jentera yang dimaksudkan ialah McLaren 720s.

McLaren 720s merupakan salah satu projek dari McLaren yang dipanggil “Super Series”. Jentera ini merupakan pengganti kepada mode McLaren 650s yang sudah dihentikan produksinya pada tahun 2017.

McLaren 720s mula diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2017 di Geneva Motor Show. Sedar tak sedar, sudah 5 tahun sebenarnya jentera ini di pasaran. Apabila sudah 5 tahun ? Adakah ia masih relevan ?

Dengan nilai jutaan ringgit, terdapat banyak lagi “Supercar” yang boleh dimiliki, namun disini kita senaraikan beberapa faktor kenapa jentera ini harus menjadi pilihan.

𝐂𝐄𝐒𝐈

Jentera ini dilengkapi dengan cesi yang diperbuat daripada “Carbon Fibre”. Cesi ini mengambil ilham daripada teknologi yang diaplikasikan pada jentera McLaren P1.

Cesi yang dipanggil MonoCage II ini melalui proses pembuatan yang sangat rumit. Hal ini bagi memastikan cesi yang dihasilkan ialah sangat tegar dan juga ringan. Proses pembuatan cesi ini juga sangat unik dimana ia merupakan proses baru menggantikan cesi tradisional seperti “Body On Frame” dan “Unibody Steel Construction”. Cesi ini menjadikan berat keseluruhan jentera ini sangat ringan. Lebih ringan dari pesaingnya iaitu Lamborghini Aventador SVJ dan Ferrari 488.

Badan jentera pula dibuat daripada alumunium dan beberapa komponen komposit untuk meliputi keseluruhan cesi “Carbon Fibre” ini. Disebabkan kombinasi ini, McLaren masih mendahului pencabarnya di dalam teknologi pembuatan cesi. Dan faktor ini juga yang membuatkan jentera ini kekal relevan. Ia dibuat dengan menggunakan teknologi termaju melangkaui zamannya.

𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐆𝐀𝐍𝐓𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍

Jentera ini dilengkapi dengan sistem gantungan yang kompleks. Sistem yang digunakan ialah jenis “Double Wishbone” bagi setiap penjuru jentera dan berintegrasi sekali bersama sistem “Proactive Chassis Control II”. Sistem ini menampillan penggunaan “Accelerometers” pada bahagian atas penyerap hentak dan “Pressure Sensor” pada bahagian bawah penyerap hentak.

Penggunaan “sensor” ini bertujuan untuk mendapat data tentang keadaan jalan dan juga keadaan jentera pada waktu semasa. Data yang diambil dari pada “sensor” kemudian di proses oleh “Control Unit”. “Control Unit” seterusnya melaras redaman penyerap hentak sesuai mengikut keadaan semasa. Sistem ini membenarkan aspek keselesaan dan pengendalian mantap dapat dicapai pada waktu serentak. Bukan mudah Tuan-Tuan.

McLaren 720S Super Series

Kajian ini didapati melalui kajian PhD di University Of Cambridge. Pihak McLaren menaja kajian yang dilakukan oleh calon PhD iaitu kajian yang dinamakan “Optimal Control Theory”. Kajian ini menggunakan algoritma untuk mengira dan mencerap data dari brek, pendikit, dan bermacam-macam lagi. Semuanya dilakukan dengan satu tujuan. Memastikan titik sentuhan tayar pada permukaan jalan pada kadar maksimum pada setiap saat. Dari sini datangnya cengkaman.

Penggunaan sistem ini juga secara tidak langsung memansuhkan penggunaan “Anti Roll Bar”. Ye Tuan-Tuan, jentera ini tidak perlukan “Anti Roll Bar” sebagai komponen sokongan sistem gantungan. Sistem ini sudah sedia ada baik. Sistem ini juga membenarkan kawalan sistem gantungan dikawal secara automatik atau manual oleh pemandu.

𝐄𝐍𝐉𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐓𝐀𝐊 𝐆𝐄𝐀𝐑

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 8-Silinder V8 berkod M840T bersesaran 3,994cc(4.0L). Enjin ini merupakan evolusi daripada enjin M838T bersesaran 3,798.6cc(3.8L) dari model McLaren 650s. Pembangunan enjin ini dibuat sendiri oleh pihak McLaren bersama dengan firma pembuatan enjin dari UK iaitu Ricardo PLC.

Konfigurasi enjin ini ialah “90° Flat Plane V8” dan mempunyai nilai “Bore x Stroke” sebanyak 93mm x 73.5mm. Enjin ini menerima 2 unit pendesak turbo dari Mitsubishi Heavy Industries (MHI) berkod TD05H. Unit turbo ini merupakan unit “Twin Scroll” dimana ia dibuat khusus untuk enjin ini. Walaupun kodnya sama, ia bukanlah unit turbo yang digunakan pada jentera Mitsubishi Lancer Evolution.

Sesaran enjin ini tidaklah besar mana, namun ia mampu untuk menghamburkan kuasa sekuat 710hp pada 7,500rpm dan daya kilas sekuat 770Nm pada 5,500rpm. Talaan yang dibuat membolehkan 80% kuasa enjin dihamburkan seawal 2,000rpm. Hampir tiada “Lag” ! Bayangkan dengan kuasa sebesar ini digunakan untuk menggerakkan jentera seberat 1,419kg sahaja. Untuk perbandingan Nissan GT-R R35 mempunyai berat sebanyak 1,703kg. Lagi berat !

Kuasa yang hebat ini kemudian dihantar ke kotak gear 7-Kelajuan Seamless-Shift Gearbox(SSG) yang dibuat oleh Dana Graziano iaitu firma pembuatan kotak gear dari Itali. Talaan yang dibuat pada kotak gesr ini sungguh menakjubkan sehinggakan alat uji seperti VBOX Sport tidak mampu menangkap data kecepatan penukaran gear kotak gear ini. Hal ini bermakna proses penukaran gear berlaku kurang dari 50 milisaat. Sangat cepat Tuan-Tuan.

Berapa laju jentera ini ?

Sangat laju. Jentera ini hanya mengambil masa sekitar 2.9 saat untuk memecut dari 0-100km/h dan kelajuan tertinggi yang dicatatkan ialah 348km/h. Boleh tercirit pada yang tak biasa.

𝐑𝐄𝐀𝐑 𝐖𝐇𝐄𝐄𝐋 𝐃𝐑𝐈𝐕𝐄 ❗

Ketika pesaingnya Lamborghini Aventador sudah menggunakan pacuan semua roda, pihak McLaren membuat keputusan untuk mengetahui konfigurasi pacuan roda belakang bagi jentera ini. Mungkin ada yang beranggapan bahawa jentera ini sukar dikawal kerana keseluruhan kuasa dihantar ke tayar belakang.

Tidak Tuan-Tuan.

Ini McLaren. Berbalik kepada sistem gantungan tadi, cengkaman jentera ini berada di dalam keadaan yang terbaik. Kuasa dihantar ke tayar belakang melalui “Open Differential”. Cukup mengejutkan sebenarnya. Menurut pihak McLaren, jentera ini tidak memerlukan “Limited Slip Differential”(LSD). Sekiranya mereka menggunakan LSD, hal ini bermakna berat jentera akan bertambah. Tak berbaloi. Oleh itu, apa yang mereka lakukan ialah bergantung kepada teknologi “Brake Based Torque Vectoring”.

Boleh percaya ke sistem “Brake Based Torque Vectoring” ni ?

Tak perlu percaya Tuan-Tuan. Hal ini kerana pihak McLaren lah yang mencipta sistem ini dan pertama kali digunakan pada jentera Formula One. Mereka yang mencipta dan mereka lah yang paling mahir dalam sistem ini.

Rekaan aerodinamik badan jentera ini juga secara tidak langsung memberikan kasar seretan yang rendah sekaligus membuatkan jentera ini lebih stabil pada kelajuan tinggi. Kesimpulannya, tiada masalah langsung untuk jentera ini beroperasi dengan hanya menggunakan pacuan roda belakang. Ia stabil dan ada cengkaman yang cukup.

𝐓𝐄𝐊𝐍𝐎𝐋𝐎𝐆𝐈 𝐅𝐎𝐑𝐌𝐔𝐋𝐀 𝐎𝐍𝐄

Apabila bercerita tentang teknologi, lebih-lebih lagi yang diaplikasikan pada jentera Formula One, ia bermakna teknologi tersebut berada pada tingkat tertinggi.

Antara teknologi Formula One yang diaplikasikan pada jentera ini ialah penggunaan sistem “Drag Reduction Sistem” atau DRS. Sistem ini memanipulasi aspek aerodinamik jentera melalui “Spoiler” belakang jentera ini. Unit “Spoiler” jentera ini boleh dikawal secara elektronik. Apabila jentera bergerak laju, “Spoiler” belakang akan naik sedikit demi sedikit bertujuan memberikan “Downforce” kepada jentera.

Apabila kelajuan tinggi, “Spoiler” belakang akan naik sekitar 30% sahaja bagi memberikan kestabilan kepada jentera dan pada masa yang sama mengurangkan seretan serta “Downforce”. Namun ketika membrek, “Spoiler” akan terjungkit 100% bertujuan meningkatkan daya seretan, sekaligus membantu brek untuk memperlahankan kenderaan. Bukan biasa-biasa.

Selain itu, sistem lain yang diaplikasikan ialah sistem brek jentera ini. Sistem brek jentera ini menerima set brek “Carbon Ceramic”. Set brek ini sangat efisyen dimana ia mampu untuk menghentikan jentera ini dari 100km/h ke 0 dalam hanya 2.8 saat dan mengambil jarak 29.7meter sahaja. Kereta power brek mestilah power !

Jadi Tuan-Tuan, diatas merupakan 5 senarai utama yang membuatkan jentera ini masih relevan dan kekal relevan setidak-tidaknya untuk 5-10 tahun lagi. Hal ini kerana teknologi pada segenap sudut yang ada pada jentera ini merupakan teknologi termaju dan melangkaui zaman.

Carian di atas talian mendapati jentera ini dijual dibawah tanda harga RM2 juta. Sekiranya anda seorang yang mampu dan mahukan keunikan, jentera ini merupakan pilihan terbaik. Sebuah jentera “Supercar” buatan UK yang sangat hebat dan setaraf dengan pesaingnya dari Itali.

Google ads
Back to top button