Artikel Pilihan

7 PERKARA MUDAH UNTUK ELAK KEMALANGAN DI MUSIM PERAYAAN.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi, media sosial dibanjiri dengan berita kemalangan maut yang melibatkan mangsa pulang berhari raya ke kampung. Lebih menyedihkan apabila kemalangan tersebut menyebabkan kehilangan ahli keluarga dan menjadikan anak mangsa kemalangan yatim piatu.

Namun dalam sesetengah keadaan, kemalangan ini disebabkan oleh perkara remeh antara pengguna jalan raya. Malah kemalangan ini boleh dielakkan sekiranya semua pengguna jalan raya bertolak ansur antara satu sama lain.

Kami senaraikan beberapa perangai pengguna jalan raya yang boleh menjadi punca kemalangan, dan menjadi pesanan buat penulis, pembaca, dan juga penonton Mekanika Malaysia. Antaranya ialah:

1. Jangan tahan mengantuk – jalan raya akan sesak menjalang hari raya dan pilihan alternatif ialah pulang ke kampung pada waktu malam. Namun secara fitrahnya, manusia akan tidur pada waktu malam menjadikan anda bergelut dengan rasa mengantuk, kelesuan dan letih.

Banyak kes kemalangan terjadi apabila pemandu sedaya upaya cuba bertahan dengan alasan kampung sudah dekat. Akibatnya memang berlaku kemalangan dekat dengan destinasi akibat microsleep. Jika tidak berlaku kemalangan pun, pemandu akan memandu perlahan dan terhuyung hayang.

2. Jangan jadi kepala keretapi – akibat memandu perlahan juga, pemandu di atas akan menyebabkan kesesakan luar biasa di belakangnya. Manakan tidak anda memandu 60km/jam di kawasan 80km/jam dan kawasan tersebut adalah jalan raya dengan garisan berkembar.

Pemandu di belakang nak memotong pun takut disaman oleh polis trafik. Jadi sekali lagi kami menyeru jika anda mengantuk, pilihan yang terbaik ialah berhenti tidur di kawasan rehat, masjid dan stesen minyak. 10 minit pun sudah memadai bagi menghilangkan rasa mengantuk melampau

3. Jangan memotong di garisan berkembar – kerap kali terjadi kemalangan maut terjadi di kawasan ini akibat kemalangan bertembung secara berdepan. Puncanya ialah pemandu gagal memotong kenderaan di depan disebabkan tidak biasa melalui jalan tersebut dan kereta yang kurang berkuasa.

Biasanya jalan dengan garisan berkembar adalah jalan berisiko tinggi yang melibatkan gabungan jalan berbukit, berselekoh dan titik buta dari arah depan. Mungkin sebelum ini anda berjaya mengelakkan kemalangan dan bernasib baik, tapi sekali terlibat dalam kemalangan maut menanti. Potonglah kereta perlahan atau lori di lorong memotong atau laluan lurus.

4. Geng bajet power – biasa yang terjadi bila kereta yang perlahan berdegil dan kekal di lorong kanan apabila tiba di lorong memotong dan berbukit. Keadaan ini akan menyebabkan kesesakan dan akhirnya pemandu di belakang terpaksa memotong di lorong kiri.

Eh bila kena potong dari kiri marah pulak ye.. Tolong la bergerak ke kiri jika kereta anda kurang pikap untuk mendaki bukit dan beri peluang pada kenderaan yang laju untuk memotong anda. Anda mudahkan urusan orang lain, insyaAllah urusan anda pun jadi mudah

5. Tak sabar dan pandu melulu – namun tidak dinafikan wujud juga pemandu yang jenis tidak sabar dan memandu melulu. Mereka akan mencucuk anda serapat mungkin dengan harapan anda mengalah. Namun jika berlaku kecemasan, memang ranap la bampar belakang kereta anda dihimpit oleh khinzir ini.

Jadi cara terbaik jika anda berhadapan dengan pemandu seperti ini ialah, bertenang, lepaskan pedal minyak dan biarkan sahaja mereka memotong anda. Jika dilayan mereka akan bertindak dengan lebih agresif dan boleh menyebabkan kemalangan

6. Bertolak ansur – namun jika anda berhadapan dengan pemandu yang memotong melulu di garisan berkembar, langkah terbaik ialah dengan bertolak ansur, mengelak kemalangan dan beri ruang kepada mangkuk hayun ini untuk memotong.

Jika anda memiliki perakam video digital, rakam sahaja kesalahan yang dilakukan oleh pemandu tersebut dan buat aduan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan serta Polis Trafik. Anda tak perlu menjadi pengawas dan membetulkan kesalahan semua pemandu kerana ia akan menyebabkan pengguna lain menjadi lebih agresif

7. Angkat tangan dan minta maaf – ini adalah cara yang terbaik sekiranya anda tanpa sengaja melakukan kesalahan, dan anda dihon serta diprovoke. Akui sahaja kesilapan anda dan angkat tangan. Tak usah angkat jari tengah kerana ia bagaikan mencurah minyak pada api

Sama sahaja jika orang lain melakukan kesalahan, sekadar hon pendek sahaja sudah mencukupi. Tak payah mencucuk, menghimpit dan melanggar kereta pesalah bagi menunjuk hero. Sekiranya terlibat dalam kemalangan, panjang cerita dia.

Google ads
Back to top button