
VOLKSWAGEN PASSAT VARIANT 2024 DIPERKENAL, R LINE NAMPAK SEGAK!
Volkswagen Passat telah terjual lebih 34 juta unit di serata dunia sejak 1973 dan model Volkswagen kedua terlaris selepas Golf.
Passat generasi kelapan (B8) diperkenal pada November 2014 dan dilancarkan di pasaran tempatan dua tahun kemudian dan seperti sebelumnya dipasang di Pekan, Pahang.
Kini tiba giliran Passat generasi kesembilan (B9) dan ditawarkan dalam gaya badan wagon yang dikenali sebagai Passat Variant dan Passat Estate bergantung kepada pasaran.
Passat Variant 2024 dipertontonkan buat kali pertama di hadapan umum di Munich, Jerman pada 5 September dan dilancar secara rasmi pada 2024.
Dari segi reka bentuk, Passat masih kekal seperti sebuah Passat dengan gaya bersahaja namun tampil menarik pada bahagian depan.
Bukaan bampar dibuat lebar dan tampil lebih menyerlah pada Passat R Line. Bahagian sisi tampil ringkas tanpa drama manakala bahagian belakang pula nampak kemas dengan lampu yang bersambung.
Resepi Passat ialah malar segar (timeless) dan seperti yang dikatakan wajah depan model terbaru ini berjaya membangkitkan elemen keseronokan.
Passat ditawarkan dengan enjin eTSI hibrid sederhana, dua eHybrid plug-in dan TSI turbo. Maknanya enjin pembakaran dalaman (ICE) masih lagi relevan.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa 150 ps hingga 272 ps bergantung kepada varian dan dipadan bersama transmisi DSG sebagai ciri asas.
Rangkaian kuasa Passat 2024 Eropah:
1.5 eTSI evo2 dengan sistem 48V (hibrid sederhana)
- Enjin 1.5 liter evo2 110kW (150 ps), tork 250Nm
- Bateri litium-ion 48V dan penjana penghidup tali sawat (BSG)
- Memberi kuasa 15kW dan tork 25Nm
- Sistem nyahaktif silinder – Active Cylinder Management (ACTplus)
1.5 TSI evo2 eHybrid (hibrid plug-in)
- 110kW (150 ps) dengan motor elektrik 85kW (115 ps)
- 204 ps dan tork 350Nm
- 130kW (177 ps) dengan motor elektrik
- 200kW (272 ps), tork 400Nm
- Bateri 19.7kWj
- Jarak pemanduan elektrik sehingga 100 km
2.0 liter turbo petrol dan diesel
- 2.0 liter turbo EA888 evo4
- 150kW (204 ps), 320Nm
- Pacuan depan
- 195kW (265 ps), 400Nm
- Pacuan semua roda 4MOTION
- 2.0 liter turbo diesel EA2888
- 90kW (122 ps), tork 320Nm
- 110kW (150 ps), tork 360Nm
- Pacuan depan
- 142kW (193 ps), tork 400Nm
- Pacuan semua roda 4MOTION
Dari segi pemanduan, Passat R Line menggunakan kawalan casis mudah suai baharu (DCC Pro) dan dijadikan pilihan untuk Passat Life dan Elegance.
Kerusi ergoActive baharu dengan urutan tekanan pneumatik juga dijadikan ciri asas dan pilihan pembelian. Lagi teknologi yang digunakan seperti parkir automatik dan bantuan pemanduan.
Pada bahagian dalam, Passat 2024 tipikal sebuah Volkswagen dengan susur atus dan rekaan kemas dan kali ini diserlahkan dengan skrin besar dari 12.9 inci hingga 15 inci.
Dari segi saiz, Passat 2024 mempunyai jarak roda 50 milimeter (mm) lebih panjang dan juga penambahan ruang kaki belakang sebanyak 50 mm. Saiz muatan dengan kerusi belakang dilipat seluas 1,920 liter!
BACA: APA BEZA VOLKSWAGEN R-LINE DENGAN VOLKSWAGEN R?
BACA: VOLKSWAGEN GOLF R 333 LIMITED EDITION – 328HP, HARGA RM375K, 333 UNIT SAHAJA
BACA: VOLKSWAGEN ID, APAKAH MAKSUD ID? INTERIOR DESIGN?




























