Artikel Pilihan

ADAKAH ADAPTIVE CRUISE CONTROL SESUAI DIGUNAKAN DALAM HUJAN?

Salah satu ciri yang ada pada kereta moden ialah ciri cruise control atau dalam bahasa melayu disebut sebagai pelayaran pemanduan. Cruise control merupakan satu fungsi yang membolehkan halaju kereta dikawal secara tetap dengan bantuan sistem elektronik. Samaada menaiki bukit atau menuruni bukit, waima ketika selekoh ia akan memastikan halaju kereta adalah tetap

Dalam sejarah moden, cruise control dicipta bukan dari jurutera Automotif tapi seorang jurutera mekanikal yang bernama Ralph Teetor. Ralph merupakan seorang cacat penglihatan dan sering menumpang kereta milik peguamnya yang ada perangai pelik ketika memandu iaitu suka melajukan dan memperlahankan kereta sesuka hati ketika memandu.

Bagi mereka yang kurang biasa, perbuatan ini akan menyebabkan penumpang menjadi pening dan mabuk. Salah satu sebab yang mendorong penciptaan cruise control ialah keperluan untuk menjimatkan bahan api dan tayar disebabkan dunia baru sahaja pulih dari perang dunia selama beberapa tahun.

Apabila sistem autocruise diaktifkan, ia membolehkan pemandu melepaskan kaki dari pedal minyak dan membiarkan sistem mengambil alih kawalan enjin. Apabila sistem adaptive autocruise diperkenalkan, ia memiliki satu ciri tambahan iaitu mengawal jarak yang selamat kereta dari kereta yang berada di depan.

Jadi 2 faktor yang perlu diambil kira oleh sistem iaitu halaju yang tetap dan jarak yang selamat. Adaptive autocruise berupaya memastikan jarak yang selamat dengan kawalan brek secara automatik apabila mengesan kenderaan lain di depan. Jika tiada kenderaan lain, ia akan emnyambung semula halaju yang telah ditetapkan oleh pemandu

Bagaimana kenderaan melihat dalam sistem adaptive autocruise?

Secara ringkas terdapat 4 cara bagaimana kenderaan boleh “melihat” persekitaran iaitu:

1. Ultrasonic – sensor ini berfungsi dengan menghantar isyarat bunyi dan mengumpul semula bunyi yang dipantulkan oleh permukaan, sama seperti yang digunakan oleh kapal selam dan juga kelawar. Kaedah ultrasonic boleh menganggarkan jarak namun kelemahan ultrasonic ialah ia hanya berfungsi pada jarak dekat

Jadi ia hanya sesuai digunakan sebagai sensor parkir dan juga sistem amaran titik buta

2. Radar – radio detection and ranging sama seperti uktrasonic tapi menggunakan gelombang radio bagi menggantikan bunyi, tapi isyarat radar boleh diganggu dan diherotkan oleh air. Radar digunakan sebagai sensor utama dalam adaptive cruise control

3. LiDAR – Light Detection and Ranging yang biasa digunakan oleh kereta yang menggunakan teknologi swapandu. LiDAR menghantar gelombang dan akan mengutip pantulan gelombang sebagai imej yang ditafsirkan oleh sistem

4. Kamera Stereo – kamera berfungsi sama seperti mata manusia, mengutip pantulan cahaya dari objek dan mentafsifkan kedudukan objek. Bagi sistem yang canggih ia akan menggunakan 2 kamera stereo sebagai anggaran kedudukan objek.

Sistem brek pra-perlanggaran menggunakan kamera dan radar bagi mengaktifkan brek kecemasan

Bagi sistem adaptive cruise control, ia berfungsi supaya halaju kereta kekal pada jarak yang selamat. Jadi ia menggunakan radar sebagai sensor utama di depan kereta. Namun sistem ini jarang sekali mengambil kira faktor hujan dalam parameter kawalan.

OK, hujan merupakan titisan air yang berterabur dan tidak seragam. Ia menyerap tenaga gelombang yang dikeluarkan oleh radar dari kereta dan kembali semula kepada kereta. Secara umumnya hujan dan salji akan mengganggu gelombang radar dalam 2 cara.

1 ia akan menyerap tenaga elektromagnetik yang dikeluarkan oleh sistem radar dan kedua isyarat elektromagnetik yang dipantulkan dari kereta depan kepada sistem radar. Fenomena ini dikenali sebagai rain clutter dalam pengkaji isyarat radar.

Disebabkan sistem adaptive cruise control bergantung pada radar untuk beroperasi, maka ia akan menggangu operasi sistem. Sistem mungkin gagal mengesan kenderaan di hadapan dan jika pemandu lalai untuk mengenakan brek maka kebarangkalian berlaku kemalangan adalah tinggi

Jadi boleh guna adaptive cruise control ketika hujan?

Jawapan peribadi penulis ialah TAK BOLEH. Ada 2 sebab yang menjadikan memandu dengan adaptive autocruise dalam hujan lebat menjadi bahaya:

1. Sistem radar mungkin terganggu dan ia gagal mengesan kenderaan di depan. Pengalaman penulis ketika memandu uji, kereta ujian gagal mengesan kenderaan di depan ketika hujan dan mendaki bukit. Nasib baik penulis cepat mengenakan brek

2. Adaptive cruise control berperanan mengenakan halaju malar ketika memandu. Jika hujan, tayar mungkin tergelincir jadi sistem akan mengesan halaju kereta berkurangan dan menghantar lebih banyak kuasa enjin untuk mengatasi gelincir (aquaplaning)

Bayangkan anda tengah alami aquaplaning tapi sistem terus menghantar kuasa pada tayar, ngeri kan. Pengalaman penulis dalam situasi ini ketika memandu di LPT2, jika ia mengesan anomali dalam sistem ia akan terus memastikan sistem autocruise dengan serta merta

Kalau kereta anda dilengkapi dengan Electronic Stability Control dengan Traction Control, ia akan menghentikan tayar spin dengan cepat. Jadi ketika hujan lebat, pastikan anda memandu dan bukannya tugasan tersebut diambil alih oleh sistem

Kalau lebat sangat, berhenti di kawasan rehat dan layan Youtube Mekanika lagi bagus.

Google ads
Back to top button