
ADAKAH PEMANDU PERLU MENDAPATKAN LESEN KHAS UNTUK MEMANDU KERETA ELEKTRIK?
Setelah kereta elektrik keluaran syarikat Xiaomi mendapat perhatian warga maya dengan rekaan yang sporti dan prestasi yang menarik, tular pula 2 video yang berasingan kemalangan oleh kereta elektrik ini. Satu kemalangan berlaku di Shanghari Tianma Circuit dan satu lagi berlaku di jalanraya biasa.
Untuk pengetahuan pembaca, Xiaomi SU7 Max adalah varian tertinggi yang ditawarkan oleh Xiaomi datang dengan kelajuan tertinggi 265km/jam selepas berjaya memecut 0-100km/jam dalam masa 2.78 saat. Secara purata, prestasi ini adalah hampir menyamai sebuah kereta sport prestasi tinggi
Sekiranya anda pernah cuba memandu kereta elektrik, anda akan faham bagaimana kuasa pecutan yang ditawarkan oleh kereta elektrik terutama tork yang dihantar tersedia pada RPM yang sangat rendah. Apatah lagi kereta elektrik tiada gear dan motor elektrik boleh berputar sehingga 16,000 RPM
Untuk Xiaomi SU7 Max, sistem dua motor elektrik ini menyediakan sehingga 664 kuasa kuda dan 838Nm tork seawal 0 RPM. Penulis pernah memandu uji Hyunda Kona Electric yang ditawarkan dengan 201 kuasa kuda dan 395Nm tork, prestasi yang diberikan oleh kereta elektrik ini sudah cukup untuk mempermainkan hati dan perasaan Toyota Camry 2.4
Anda boleh memecut dari 110km/jam ke 170km/jam dalam masa yang sangat singkat, sedangkan kereta petrol pada ketika itu baru sahaja cuba mengejar anda. Pecutan luar biasa ini menjadikan anda ketagih dan sebaik sahaja anda mula bertukar ke kereta enjin pembakaran dalam, anda akan rasakan pecutannya seakan hambar
Tapi dengan power yang ada, persoalan utama adalah adakah semua pemandu bersedia dengan prestasi luar biasa ini? Tragedi yang berlaku dan membabitkan pemandu muda pada 11 April yang lepas membuktikan tidak semua pemandu tahu dan mempunyai pengalaman yang cukup untuk mengawal kereta elektrik berkuasa tinggi
Bayangkan jika anda tersilap menekan pedal dengan agresif, tayar kereta elektrik ini terutama jika dipasang dengan tayar murahan akan “berkokok” di laluan lurus untuk mencari cengakaman tambahan. Bayangkan jika anda menekan pedal minyak rapat ke lantai sewaktu mengambil selekoh dengan pacuan roda belakang
Untuk rekod Xiaomi SU7 Max ini sangat berat, mencecah 2205kg dengan berat ini menyamai sebuah lori kecil. Untuk BMW i7 M60 pula, berat kereta sedan mewah ini mencapai 2715kg bagaikan sebuah lori dengan muatan penuh.
Walaupun diberikan 2 motor elektrik yang menjana 536 kuasa kuda dan 745Nm tork serta tiada masalah dalam pecutan, masalah utama kereta elektrik ini ialah momentum. Momentum dihasilkan apabila jisim (berat kenderaan) didarab dengan halaju kenderaan.
Semakin berat kenderaan dan semakin laju kenderaan dipandu, semakin tinggi nilai momentum yang terhasil. Momentum ini akan mematuhi Hukum Gerakan Newton Pertama, sebuah objek yang bergerak dalam garisan lurus akan kekal bergerak melainkan terdapat daya luar yang mengubah arah pergerakan objek.
Jadi kenderaan yang berat ini sangat sukar dikawal di selekoh disebabkan isu momentum ini, ia menyebabkan kereta elektrik sukar untuk mendengar kata pemandu melalui input stering dan cuba kekal di laluan lurus biarpun anda sudah memberikan input stering
Jika anda biasa membawa kenderaan berat, anda boleh menjangkakan yang perangai kenderaan berat tidak sama dan tidak lincah seperti membawa kenderaan ringan. Tidak semua pemandu boleh mengawal kuasa dengan baik, mengawal pecutan luar biasa kereta elektrik dan mengawal kereta elektrik yang berat di selekoh dengan baik.
Salah satu punca yang menjadikan kereta elektrik menjadi berat ialah bateri kereta elektrik itu sendiri. Untuk memudahkan pembaca memahami isu ini, sebagai anggaran kereta petrol biasa hanya memerlukan sekitar 40 liter sahaja petrol untuk bergerak sejauh 400km. Dengan anggaran ketumpatan petrol adalah 1, maka berat petrol hanyalah 40kg sahaja.
Bagi kereta elektrik, bateri yang perlu dibawa datang dengan berat sekitar 400kg – 600kg bagi jarak perjalanan yang sama. Isu di sini ialah walaupun teknologi bateri ion lithium semakin maju, ketumpatan tenaga bateri masih lagi rendah jika dibandingkan dengan ketumpatan tenaga petrol dan diesel
Maka tidak hairanlah jika ada pengeluar masih lagi mengeluarkan kereta hibrid dan plug in hibrid sebagai alternatif kepada kereta elektrik. Bak kata Colin Chapman ” tambah power anda boleh laju di jalan lurus, kurangkan berat anda boleh laju di mana mana termasuk selekoh”
Berbalik pada isu di atas, anda rasa pemandu perlukan lesen khas ke untuk memandu kereta elektrik prestasi tinggi?

