Buletin

ADVANCE CRUISE CONTROL PORSCHE TERBARU AKAN MEMBUATKAN JANTUNG BERDEBAR KENCANG

Porsche kini dalam proses memperkenalkan sistem cruise control termaju mereka yang dinamakan InnoDrive. Ia dikatakan akan membolehkan pemandu mengambil selekoh dengan lebih pantas berbanding sebelumnya tetapi beberapa pelarasan masih perlu dilakukan sebelum ia boleh digunakan di atas jalan raya.

Berbeza dengan pengeluar kereta lain yang memfokuskan usaha mereka dalam membangunkan sistem kenderaan autonomi yang kadang-kadang menjadi dan kadang-kadang ke laut, Porsche lebih berminat menyerahkan kawalan stereng kepada anda sepenuhnya tetapi pada yang sama mengoptimakan kawalan minyak dan brek dengan InnoDrive.

Sistem ini menggunakan peta, radar dan data yang dikumpulkan dari beberapa sensor untuk memberikan anda sistem cruise control termaju di kala ini. Peliknya InnoDrive tidak berfungsi untuk menjimatkan petrol anda tetapi ia akan memberi anda pengalaman seperti menaiki roller-coaster dengan memecut laju ke selekoh buta dengan kelajuan yang tidak pernah anda lakukan.

Tapi ia sememangnya mengambil masa untuk dibiasakan. Bayangkan anda memandu Panamera 4S berkuasa 440 kuasa kuda dengan dial pada stereng ditetapkan pada Sport+ dan InnoDrive pula ditetapkan pada 100 km/j. Selekoh buta dan tajam pula berada di hadapan anda, stereng masih dalam kawalan anda tetapi pedal minyak dan brek di kawal oleh InnoDrive.

Tiba-tiba anda sedang mengambil selekoh pada kelajuan 100km/j sambil memutarkan stereng dan berharap semuanya okey. Semudah ABC Porsche yang anda pandu berjaya mengambil selekoh pada kelajuan dua kali ganda kelajuan biasa anda tidak kira hujan ataupun panas.

BACA: PORSCHE NYATAKAN MINAT UNTUK JADI PEMBEKAL ENJIN KERETA FORMULA SATU

InnoDrive berfungsi tanpa memerlukan sambungan internet tetapi menggunakan peta dan data lengkap terkini untuk meramalkan apa yang berada di hadapan, beberapa kamera dan radar untuk mengelakkan terlanggar sebarang halangan dan maklumbalas daripada sensor untuk mengukur gelinciran tayar. Kelajuan akan dilaraskan secepat mungkin berdasarkan kepada keadaan jalan raya yang sebenarnya.

Ideanya ialah untuk mengekalkan keseronokkan memandu kepada pemandu. Sistem ini akan merancang dan membuat perkiraan sehingga ke hampir 3 kilometer di hadapan. Malah ia juga akan mengesan jika terdapat zon halaju di hadapan seterusnya melaraskan enjin dan kotak gear agar bersesuaian  dengan kelajuan dan berfungsi dengan lebih efisyen.

Dalam mod biasa, sistem akan memaksimakan tahap kecekapan dengan bertukar ke mod melahu untuk penjimatan lebih cepat dari reaksi pemandu biasa, seterusnya memberikan pemanduan paling lancar. Dalam mod Sport+ pula, sistem yang sama akan menukar perwatakan anda dan gaya pemanduan seperti watak utama filem-filem perlumbaan di jalan raya. Malah, tetapan S+ ini terpaksa dilaras kembali oleh Porsche sebelum dilepaskan ke tangan pengguna kerana ia berpotensi menaikkan tekanan darah mereka (nak pulak yang jenis hati tisu).

Namun tidak kira berapa kelajuan yang anda tetapkan, InnoDrive akan meneliti papan tanda jalan dan mengurangkan kelajuan bila diperlukan agar anda tidak akan disaman pihak berkuasa. Anda juga perlu menekan brek dengan sendiri ketika lampu isyarat merah.

Sistem ini juga hanya akan berfungsi di negara-negara yang mempunyai sistem pemetaan yang menyeluruh dan sistematik. Tetapi secara keseluruhan ia masih satu sistem yang baik untuk anda bermain-main di jalan raya terbuka yang tidak sibuk dengan lalulintas. Ia juga alat bantuan memandu yang membuktikan kereta anda lebih dari mampu untuk pergi lebih laju jauh melampaui keupayaan kita sebagai pemandu biasa.

Google ads
Back to top button