Buletin

AIRASIA TERIMA SEMULA PEKERJA BERCUTI DAN DIBERHENTIKAN

AirAsia Group akan menerima semula kakitangannya yang dibenarkan bercuti daripada tugas masing-masing pada Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes, berkata AirAsia juga dalam proses bagi pengambilan semula khidmat pekerjanya yang diberhentikan sebelum ini.

“Matlamat saya adalah untuk memastikan gaji pekerja dapat kembali seperti asal dalam bulan seterusnya manakala mereka yang diberi cuti pula dapat berkhidmat semula pada Januari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam majlis pengumuman pelantikan Colin Curie sebagai Ketua Pegawai Komersial kumpulan itu.

Sementara itu, beliau berkata AirAsia menyasarkan untuk kembali meraih pendapatan yang menyamai tahap sebelum pandemik Covid-19 dalam tempoh seawal enam bulan berikutan langkah Malaysia membuka semula sempadan secara berperingkat.

Tony berkata, prospek itu turut didorong oleh kadar vaksinasi yang terus meningkat, perkembangan berkaitan penghasilan pil Covid-19, imuniti berkelompok selain pembukaan semula sempadan di Singapura dan Thailand.

“Apa yang saya jangkakan, kami memerlukan tempoh enam bulan hingga sembilan bulan untuk kembali ke tahap sebelum pandemik Covid-19.

“Bukan saya yang tentukan pembukaan semula sempadan. Namun, jika sempadan dibuka sepenuhnya dan tiada ketetapan bagi ujian pengesanan pantas PCR dan kuarantin, kami mungkin dapat kembali kepada keadaan itu dalam masa kira-kira tiga bulan.

“Permintaan sememangnya ada, tetapi terpulanglah kepada kerajaan untuk mengambil langkah berani,” katanya – Bernama

Google ads
Back to top button