Buletin

AKIBAT HUTANG KERETA API LAJU WHOOSH, INDONESIA BERDEPAN RISIKO HILANG LAUT NATUNA UTARA

Bekas Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Mahfud MD, memberi amaran tentang ancaman terhadap kedaulatan Indonesia sekiranya negara tersebut gagal melunaskan hutang projek kereta api laju Jakarta–Bandung, Whoosh, kepada China.

Menurut Mahfud, kegagalan membayar hutang tersebut bukan sekadar risiko ekonomi, tetapi boleh membawa kepada kehilangan wilayah strategik seperti Laut Natuna Utara, yang menjadi kawasan penting dalam peta pertahanan dan sumber hasil laut nasional.

Dalam siaran di YouTube Mahfud MD Official, beliau menyifatkan hutang projek itu sebagai ‘amat besar dan luar biasa pelik’, memandangkan ia berpunca daripada kerjasama ‘Business to Business’ (B2B) antara syarikat milik negara Indonesia dan syarikat milik kerajaan China.

“Bunganya sahaja mencapai 2 trillion rupiah setahun (RM509 juta) sedangkan pendapatan tiket maksimum hanya 1.5 trilion rupiah (RM382 juta) . Setiap tahun hutang makin meningkat, bunga makin berbunga, dan akhirnya negara yang menanggung,” katanya.

Mahfud menjelaskan, jika dikira berdasarkan terma hutang semasa, tempoh pembayaran boleh mencecah 70 hingga 80 tahun, sesuatu yang dianggap tidak masuk akal dan membebankan.

Beliau turut menyokong pendirian Timbalan Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Purbaya Yudhi Sadewa, yang menolak cadangan supaya kerajaan mengambil alih hutang tersebut.

Mahfud mengimbas semula bahawa rancangan awal projek itu sebenarnya dimulakan dengan kerjasama antara Indonesia dan Jepun, dengan kadar faedah hanya 0.1 peratus, hasil kajian pakar daripada Universiti Indonesia dan Universiti Gadjah Mada (UGM).

Namun, selepas Jepun meminta kenaikan kadar faedah, kerajaan berpaling kepada China yang menawarkan kadar 2 peratus, yang kemudian meningkat kepada 3.4 peratus akibat pembengkakan kos.

“Ketika itu, Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan, menolak kerana projek ini tidak relevan. Tapi beliau akhirnya dipecat,” ujar Mahfud.

Selepas itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) memanggil pakar dasar awam Agus Pambagio, yang turut memberi amaran bahawa projek tersebut tidak ekonomik dan bakal merugikan negara.

Namun apabila Jokowi mengakui idea itu datang daripadanya sendiri, Agus akhirnya tidak lagi memberi bantahan.

Meski telah diberi amaran oleh pelbagai pihak, Jokowi tetap meneruskan projek tersebut. Kini, menurut Mahfud, PT Kereta Api Indonesia (KAI) berdepan kesulitan membayar hutang dan faedah, manakala Kementerian BUMN enggan menukar beban itu menjadi hutang kerajaan.

“Kita membangun Whoosh, tapi mengorbankan pembangunan untuk rakyat,” tegasnya.- Agensi

Google ads
Back to top button