Buletin

BYD SEAL BERASAP BERPUNCA DARIPADA GIGITAN HAIWAN, BUKAN MASALAH TEKNIKAL

PT BYD Motor Indonesia akhirnya memberikan penjelasan rasmi berhubung kejadian tular yang menunjukkan sebuah unit BYD Seal mengeluarkan asap ketika diparkir di kawasan Jakarta Barat.

Berdasarkan siasatan bersama yang dijalankan bersama Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT), punca kejadian disahkan berpunca daripada gangguan luar, dipercayai gigitan haiwan, yang menjejaskan sistem bateri voltan rendah kenderaan berkenaan.

Menurut Ketua Bahagian Pemasaran, Perhubungan Awam & Kerajaan BYD Indonesia, Luther Pandjaitan, asap berkenaan bukan berasal dari bateri utama berteknologi tinggi, sebaliknya daripada bateri 12 volt yang menjalankan sistem elektronik asas.

“Ia bukan kerosakan sistem dalaman atau penggerak utama. Kami temui tanda-tanda gangguan luaran seperti gigitan tikus atau serangga yang menyebabkan litar pintas,” katanya.

Luther turut menekankan bahawa bateri utama BYD Seal menggunakan Blade Battery berasaskan teknologi Lithium Iron Phosphate (LFP) yang selamat dan tidak menunjukkan sebarang tanda kecacatan dalam kejadian tersebut.

Sebaliknya, hanya bateri kecil 12V, seumpama ‘aki’ dalam kereta biasa, yang mengalami isu kecil hingga menghasilkan asap.

Menjelang penganjuran GAIKINDO Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025, BYD Indonesia turut mengumumkan penyertaan berskala besar.

Seluruh barisan model popular akan dipamerkan termasuk BYD Dolphin, Atto 3, Seal, M6 dan model mewah Denza D9. Tambahan pula, sebuah model baharu juga bakal diperkenalkan kepada umum, namun butirannya masih dirahsiakan.

Dengan penjelasan ini, BYD ingin memberi keyakinan bahawa sistem keselamatan dan kehandalan produk mereka tetap menjadi keutamaan, sambil terus memperkukuh kehadiran mereka di pasaran Indonesia.

Google ads
Back to top button