Buletin

MALAYSIA POTONG JUALAN KERETA INDONESIA, TOYOTA RESAH

Pasaran automotif Indonesia kini berdepan cabaran besar apabila Malaysia berjaya memintas dari segi jualan kenderaan pada suku kedua 2025.

Berdasarkan laporan Nikkei Asia, jualan kereta di Malaysia sepanjang April hingga Jun hanya susut 1 peratus kepada 183,366 unit berbanding tempoh sama tahun lalu. Sebaliknya, Indonesia mengalami penurunan lebih besar, iaitu 12 peratus kepada 169,578 unit.

Keadaan ini mengejutkan memandangkan populasi Malaysia hanya sekitar 34 juta orang, jauh lebih kecil berbanding Indonesia yang melebihi 280 juta.

Pengarah Pemasaran PT Toyota Astra Motor (TAM), Jap Ernando Demily, berkata pihaknya berharap pasaran akan pulih pada separuh kedua 2025, dibantu insentif kerajaan serta momentum musim percutian hujung tahun.

“Beberapa hari kebelakangan ini, timbul khabar bahawa dominasi Indonesia dalam pasaran automotif ASEAN mula goyah. Ini sepatutnya menjadi isyarat jelas untuk semua pihak bekerjasama menghidupkan kembali pasaran,” katanya.

Data Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo) menunjukkan, dari Januari hingga Julai 2025, jualan kenderaan secara wholesales mencecah 435,390 unit, turun 10.1 peratus berbanding 484,250 unit dalam tempoh sama 2024.

Jualan runcit pula menyusut 10.8 peratus kepada 453,278 unit daripada 508,041 unit.

Toyota mencatatkan jualan wholesales sebanyak 142,751 unit dan jualan runcit 147,078 unit bagi tempoh tersebut, dengan model popular termasuk Kijang Innova, Avanza-Veloz, dan Agya.

Laporan turut mendedahkan kejayaan pasaran Malaysia banyak dipacu oleh dua jenama nasional, Perodua dan Proton, yang menyumbang 63 peratus daripada jumlah jualan separuh pertama tahun ini.

Perodua mendapat sokongan teknologi daripada Daihatsu, manakala Proton mendapat pelaburan besar daripada Geely China yang memiliki hampir separuh pegangan saham.

Selain perlindungan industri oleh kerajaan, pertumbuhan ketara kenderaan elektrik (EV) dan hibrid juga menjadi pemacu utama.

Jualan EV di Malaysia melonjak 91 peratus kepada 12,733 unit, manakala jualan hibrid meningkat 12 peratus kepada 17,480 unit dalam enam bulan pertama 2025.

Sebaliknya, pasaran Indonesia tertekan akibat faktor ekonomi seperti penurunan kuasa beli, pengetatan pinjaman, serta penyusutan saiz golongan kelas menengah.

Data Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan peratusan kelas menengah merosot daripada 21.4 peratus populasi pada 2019 kepada hanya 17.1 peratus pada 2024, memberi kesan langsung kepada industri automotif dan sektor lain.

Google ads
Back to top button