Buletin

NETIZEN DIMINTA HENTI AGUNGKAN BUDAYA REMPIT, SALAHKAN POLIS

Polis Johor meminta agar masyarakat tidak mengagungkan budaya ‘mat rempit’ sehingga menyalahkan polis yang bertugas membanteras kegiatan lumba haram di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, orang awam perlu menghargai pengorbanan pegawai mahupun anggota yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketidakpuasan hati segelintir netizen terhadap polis Johor ketika mengiringi ‘mat rempit’ yang ditahan sambil memasang takbir raya pada pembesar suara kepada mereka.

“Bagi saya, masyarakat perlu faham, sepatutnya masyarakat mengkritik aksi ‘mat rempit’ pada malam raya. Patutnya malam raya mereka duduk rumah dengar takbir raya bukan merempit.

“Jadi kita harap masyarakat jangan memberi komen ‘positif’ atau sokong tindakan ‘mat rempit’, polis pula disalahkan. Terbalik jadinya,” kata Ayob.

Video yang viral pada Ahad berdurasi seminit setengah itu menunjukkan beberapa ‘mat rempit’ menolak motosikal selepas mereka ditahan.

Kereta polis yang berada di belakang mereka kemudian melaungkan takbir raya. “Pada Hari Raya yang mulia ini, marilah kita sama-sama kita bersyukur ke hadrat ilahi kerana limpah dan kurniaNya dapat kita berkumpul sama-sama dan berlumba bersama-sama. 

“Insya Allah pada esok hari, kita akan beraya di lokap..” kata anggota polis terbabit.  

Biarpun dikritik, polis akan meneruskan operasi membanteras kegiatan lumba haram yang semakin menjadi-jadi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – Astro Awani

Google ads
Back to top button