Buletin

AKTIVITI BERBASIKAL DI LEBUH RAYA DILARANG. BOLEH KENA DENDA SEHINGGA RM2,000

Aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya tetapi masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias menasihatkan kepada penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Beliau berkata ia bagi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.

“JSPT mendapati isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya seluruh negara kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Azisman berkata mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 “Apabila disabitkan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya. – Bernama

Google ads
Back to top button