Buletin

AUDI R8 EDISI GREEN HELL TERHAD 50 UNIT. ENJIN V10, 612 HP

Syarikat pengeluar supercar, Audi R8 memperkenalkan edisi khas jentera berkenaan dengan dikenali sebagai Green Hell.

Model edisi khas ini dibangunkan untuk memperingati kehebatan jentera R8 LMS yang meraih lima kemenangan pada perlumbaan 24 Hours Nurburgring sejak tahun 2012.

Jentera ini mendapat inspirasi daripada R8 LMS digunakan pasukan Audi Sport Team Phoenix yang menampilkan rekaan luaran berwarna hijau gelap.

Begitupun, para pelanggan boleh juga menempah warna lain seperti putih (Ibis White), kelabu (Daytona Grey) ataupun hitam (Mythos Black) mengikut cita rasa masing-masing.

Selain itu, apa sahaja pilihan warna yang dipilih nanti, model berkenaan didatangkan bersama hud, bumbung dan pillar-A berwarna hitam matte.

Bahagian cermin, sisi skirt dan difuser belakang  turut mendapat sentuhan warna hitam berkenaan bagi menyerlahkan lagi sifat sporty jentera ini.

Audi R8 Green Hell dilengkapi rim 20 inci berwarna hitam matte dengan gabungan merah. Logo Green Hell R8 turut terletak rapi di bahagian sisi dan banner cermin hadapan.

Memasuki bahagian kabin, jentera ini menawarkan tempat duduk bucket dibaluti fabrik upholsteri Alcantara. Jika diperhatikan dengan teliti, terdapat jahitan biru dan hijau.

Ia turut didatangkan dengan roda stereng Alcantara serta pelindung lantai istimewa.

Green Hell mendapat khidmat enjin 5.2 liter V10 yang mampu menjana 612 hp dengan transmisi S-tronic tujuh kelajuan menyalur kuasa pada sistem quattro pacuan semua roda.

Jentera ini berupaya memecut 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 3.1 saat dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 331 km/j.

Audi R8 Green Hell terhad kepada 50 unit sahaja dan ia dijual pada harga bermula €233,949.59 (RM1.1 juta) di Jerman. – carscoops.

Google ads
Back to top button