Buletin

KERAJAAN SEDIA PERTIMBANG DASAR BAHARU, BINA LALUAN KHAS UNTUK PENUNGGANG MOTOSIKAL DI LEBUH RAYA

Kerajaan sedang mempertimbang untuk memperkenalkan dasar baharu yang mewajibkan pembinaan laluan khas bagi penunggang motosikal di lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kewajipan menyediakan laluan khas itu bagaimanapun hanya akan membabitkan projek pembinaan lebuh raya baharu, sekiranya dilaksanakan.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

“Saya sudah berbincang dengan pihak kementerian, termasuk Ketua Setiausaha, kerana mendapat maklumat dan maklum balas daripada rakyat, khususnya pengguna jalan raya.

“Sepatutnya, lebuh raya ada lorong khas untuk penunggang motosikal. Mungkin lebuh raya yang sedia ada ini rekaannya lama… kita tidak boleh buat apa-apa sebab sudah dibina. Kita tidak boleh lebarkan.

“Oleh itu, kita sudah bincang… untuk akan datang, siapa yang rancang lebuh raya sama ada ‘request for proposal’ ataupun projek kerajaan, mesti mempertimbangkan supaya (penyediaan) lorong khas untuk pengguna motosikal menjadi satu dasar, kewajipan. Ini boleh saya usahakan,” katanya.

Mengenai tempat berteduh untuk penunggang motosikal di lebuh raya pula, Alexander memaklumkan setakat ini, ada sebanyak 472 unit di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 119 lokasi baharu dikenal pasti untuk penyediaan tempat berteduh berkenaan di sepanjang lebuh raya melalui kerjasama dengan syarikat konsesi pada 2023 dan 2024.

“Ini lebih kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat lebuh raya dan LLM. Tidak ada satu sen pun (peruntukan) daripada kerajaan,” katanya sambil menekankan kepentingan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button