Buletin

PROTON WIRA CURI DITEMUI DI MENTAKAB. SUSPEK DITAHAN POLIS KURANG 12 JAM

Polis berjaya menyelesaikan satu kes curi kereta yang berlaku di daerah Jempol daalam masa kurang 12 jam. Kereta berwarna hijau itu berjaya dilarikan sejauh kira-kira 100 kilometer ke Mentakab, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek berusia 20 tahun itu dikatakan melarikan sebuah kereta Proton Wira milik seorang lelaki dari sebuah rumah di Kampung Baru Ayer Hitam, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian disedari mangsa berusia 31 tahun yang terdengar enjin keretanya dihidupkan ketika bangun dari tidur.

“Mangsa kemudian bergegas keluar untuk melihat keadaan sebelum ternampak kereta Proton Wira berwarna hijau miliknya dilarikan suspek tidak dikenali. Mangsa cuba mengejarnya namun tidak berjaya.

“Hasil siasatan mendapati kenderaan itu tiada hutang dengan pihak bank memandangkan ia dibeli secara tunai pada 2017,” katanya. Hoo memberitahu tiada saksi lain yang melihat kereta itu dicuri dan tiada liputan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Bagaimanapun, kes itu dimaklumkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jempol untuk hebahan. Dalam masa kurang 12 jam, suspek berjaya ditangkap bersama kenderaan dicuri oleh anggota balai polis Mentakab, Pahang pagi semalam. 

Suspek kemudian dibawa ke IPD Jempol untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Google ads
Back to top button