Buletin

SUSPEK CURI MOTOSIKAL KENA BAKAR HIDUP-HIDUP

Seorang suspek kes curi motosikal di Desa Duwek Buter, wilayah Bangkalan, Jawa Timur Indonesia menemui ajal selepas dibakar hidup-hidup penduduk setempat.

Menurut Tribun News, seorang saksi dikenali sebagai Abdur Rahman mendakwa pencuri itu dikatakan mencuri sebuah motosikal kira-kira pada 2 petang (waktu tempatan).

“Sekitar pukul empat petang (waktu tempatan), suspek berjaya ditangkap orang ramai dan dibelasah sehingga lembik,” katanya.

Dia memberitahu semakin ramai yang turut serta membelasah suspek sehingga dia akhirnya diseret ke sebuah kawasan tanah kosong dan dibakar hidup-hidup.

“Kemarahan orang ramai semakin memuncak sehingga lelaki itu akhirnya dibakar.

“Ada antara penduduk yang melarang dia dibakar kerana melihatkan keadaannya yang sudah tidak berdaya,” katanya.

Jelas Abdur Rahman, terdapat juga penduduk yang cuba menghubungi ketua kampung dan polis, namun gagal dihubungi.

Kejadian tersebut dirakam dan dimuat naik di media sosial.

Dalam video itu, dapat dilihat mayat suspek yang hangus bersama motosikal yang didakwa dicuri.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kwanyar, Mohammed Mansur mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu bahawa bedah siasat sedang dijalankan terhadap mayat lelaki itu. – TribunNews/KOSMO! 

Google ads
Back to top button