Buletin

ALFA ROMEO GIULIETTA SPRINT ZAGATO – TERBIAR SELAMA 35 TAHUN, DIJUAL PADA HARGA LEBIH RM2.6 JUTA

Hanya ada 217 unit Alfa Romeo Giulietta Sprint Zagato dihasilkan di seluruh dunia.

Jentera dengan badan aluminum untuk perlumbaan itu dibina di antara tahun 1960 hingga 1962. Tidak banyak yang berjaya hidup hingga ke hari ini.

Tetapi, baru-baru ini sebuah daripadanya diberi nyawa kedua selepas diselamatkan dari sebuah rumah di Itali setelah berada di sana selama 35 tahun. Ia kemudian dijual pada harga lebih AS$640,000 (RM2.6 juta).

Foto-foto bagaimana kereta lama itu diselamatkan dikongsi oleh laman Facebook peminat Alfa Romeo.

Sepasukan lelaki dilihat terpaksa menggunakan sebuah kren untuk mengangkut Alfa Romeo Giulietta SZ buatan tahun 1962 dengan penuh hati-hati.  

Kereta itu dikatakan terperangkap di sana kerana lifnya sudah rosak sejak sekian lama.

Menurut maklumat yang diperolehi, pemiliknya ialah seorang mekanik tua yang sudah meninggal dunia tahun lalu tanpa meninggalkan sebarang wasiat atau maklumat waris.

Ini membuatkan Alfa Romeo yang rare itu dilelong dalam satu acara lelongan awam. Harga setinggi itu sebenarnya selari dengan sasaran pasaran pengumpul kereta.

Sebagai contoh pada tahun 2015, sebuah model sama dilelong oleh Gooding & Company’s Scottsdale pada harga $577,000 (RM2.35 juta).

Model ini dilihat berada dalam kondisi lebih baik, walaupun diselaputi debu tebal dan beberapa alat gantinya perlu ditukar.

Seperti namanya, Giulietta SZ lahir hasil kerjasama di antara Alfa Romeo dan Zagato. Zagato yang merupakan pembuat koc tiba-tiba terkenal selepas mendapatkan sejumlah model Giulietta Sprint Veloce dan membinanya semula menggunakan badan aluminum yang cantik bagi tujuan perlumbaan.

Kejayaan kereta itu memberi inspirasi kepada Alfa Romeo untuk menghasilkan model produksi yang mula dikeluarkan pada tahun 1960.

Jentera itu hadir dengan chasis lebih pendek, ruang kabin kosong, kaca tingkap jenis plexi, enjin empat selinder 1.3 liter dan badan aluminum.  

Biarpun dibina untuk boleh dipandu di atas jalan biasa, kereta itu turut mencatat kejayaan dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans.

Google ads
Back to top button