Artikel PilihanBuletin

ANCAMAN KESELAMATAN MODEN; KERETA KALIS PELURU

Anda seorang menteri? Hartawan? Ataupun jutawan seperti saya (dalam matawang Rupiah-sekarang kami di Indonesia). Jika ya, maka anda tergolong dalam golongan yang berisiko dari aspek keselamatan. Beberapa kes tembakan oleh mereka yang dipercayai pembunuh upahan kini mula menular ke negara kita. Ada yang terselamat dan ada pula yang menerima nasib lebih buruk.

Ramai yang mula cuak dengan tahap keselamatan diri masing-masing dan ahli keluarga. Apatah lagi kebanyakan kejadian tembakan ini biasa melibatkan mangsa yang berada di dalam kenderaan, khususnya kereta. Ia sememangnya berasas kerana sejak awal tahun ini sahaja 12 kes tembakan seperti ini berlaku dan telah mengorbankan 14 nyawa. Ada yang masih dalam siasatan dan ada yang telah dibawa ke mahkamah.

Mercedes-benz-S-600-Guard-mekanika (7)

Antara pilihan yang ada untuk keselamatan di dalam kereta adalah menjadikan sebuah kereta kalis peluru. Namun halangan yang terbesar sekali semestinya kos. Teknologi kenderaan kalis peluru sememangnya amat mahal. Atas faktor itu jugalah kebanyakan kereta kalis peluru adalah kenderaan dari kelas mewah. Setakat ini memang kami tidak pernah menemui Perodua Myvi kalis peluru.

Permintaan untuk teknologi kalis peluru memang tinggi namun ramai yang tidak sanggup mendengar kos yang perlu dibayar. Mengikut sumber dari syarikat pengeluar kaca kalis peluru semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan terhadap kaca jenis ini telah meningkat sebanyak 10 kali ganda.

Salah sebuah syarikat yang menawarkan teknologi ini ialah SecuGlass Sdn. Bhd. Menurut sumber syarikat, kos asas yang diperlukan untuk teknologi kalis peluru pada bahagian cermin dan pintu saja mencecah sekitar RM60,000 hingga RM90,000 bergantung pada jenis kereta.

Mercedes-benz-S-600-Guard-mekanika (1)

Disebabkan ini syarikat ini lebih fokus kearah menyediakan perkhidmatan untuk bank, premis kedutaan dan kenderaan syarikat keselamatan. Kalau harga kereta anda sekitar RM30,000 seperti kereta saya? Jauh dari berbaloilah jawabnya.

Ada juga syarikat yang menawarkan material yang lebih ringan tetapi dengan kos yang lebih mahal. RM120,000 berdasarkan model kereta. Permintaan yang tinggi semesti daripada golongan VIP dan ahli perniagaan ternama.

STEC Laminates menawarkan teknologi yang mampu menangkis lima tembakan serentak dengan senjata 9mm. Selain dari itu, ada juga material yang mampu menahan tembakan pistol automatik dari jarak 3 meter. Kos yang dikenakan adalah sekitar RM2,700 untuk sekaki persegi. Itu baru sekaki persegi, belum lagi saiz penuh  sebuah model seperti Toyota Alphard ataupun BMW 7-siri.

Mercedes-benz-S-600-Guard-mekanika (4)

Namun satu perkara yang harus diberi perhatian, berdasarkan kes tembakan seperti ini, komponen yang paling perlu untuk teknologi kalis peluru ialah cermin kenderaan. Baik cermin hadapan, belakang ataupun tingkap sisi. Setakat ini tahap jenayah negara kita juga agak terkawal. Boleh dikatakan hampir kesemua kejadian tembakan dilepaskan menggunakan pistol dan bukannya raifal automatik.

Untuk menjadikan sebuah kereta seratus peratus kalis peluru seperti kenderaan Presiden Amerika Syarikat rasanya agak melampau. Tahap ancaman juga antara langit dengan bumi. Namun jika mampu rasanya saya sendiri pun akan melengkapkan kaca kalis peluru pada kereta saya. Bukan sebab saya rasa saya penting tetapi untuk keselamatan keluarga. Kalau mampu, saya akan beli Mercedes S600 guard ini.

Google ads
Back to top button