Buletin

ARMORMAX HASILKAN VW GOLF GTI DENGAN TAHAP PERLINDUNGAN B4 – KALIS PELURU PISTOL, SENAPANG PATAH

Syarikat pengeluar kenderaan mewah berperisai dari Afrika Selatan, Armormax mendedahkan projek terbaharu mereka yang mengambil bentuk Volkswagen Golf GTI (Mk8).

Ia mampu menawarkan perlindungan balistik tahap B4 yang mampu menangkis serangan peluru pistol dan senapang patah.

Untuk permulaan, kesemua kaca standard kilang Golf telah digantikan dengan kaca balistik Optima, sementara pintu, panel pintu, tiang, tempat duduk belakang dan pintu belakang telah diperkukuh dengan perlindungan armor sintetik ringan.

Perlindungan yang sama turut diaplikasikan pada bumbung dan juga kaca bumbung, sebelum segala modifikasi itu disudahkan dengan sistem interkom PTT.

Proses penambahan perisai itu hanyalah menambah 180 kg sahaja kepada berat keseluruhan Golf, dan anda tidak perlu risau akan tahap penggunaan bahan api dan prestasi hot hatch ini selepas proses ubahsuai selesai.

Menurut Michael Broom, pengurus pemasaran Armormax berkata, pemasangan perisai ini amat popular di dalam sektor sekuriti swasta, di mana Golf kebanyakannya digunakan sebagai kenderaan pengejar, dan respons pantas. – Motor1

Google ads
Back to top button