Buletin

ANDA BOLEH DAPATKAN SmartTAG PELBAGAI JENAMA MULAI OKTOBER – ADAKAH HARGANYA LEBIH MURAH & TAHAN LAMA?

Baru-baru ini, Touch ‘n Go Sdn. Bhd. telah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penjualan peranti SmartTAG menerusi rangkaiannya.

Perkembangan itu nyata kurang disenangi oleh ramai pengguna di Malaysia kerana berasakan mereka tiada tempat untuk dituju sekiranya timbul sebarang masalah berkaitan perkhidmatan bayaran elektronik tol tersebut.

Jangan bimbang, kerana penyedia teknologi Sistem Kutipan Tol Infra-merah di lebuhraya EFKON Asia Sdn. Bhd. (EFKON Asia) memberi jaminan kepada lebih empat juta pengguna di negara ini bahawa ia akan terus menyediakan sokongan jualan dan perkhidmatan sistem SmartTAG.

Justeru, EFKON Asia akan membina rangkaian jualan dan perkhidmatan di seluruh negara bagi memudahkan pengguna membeli atau mendapatkan servis bagi peranti TAG Infra-merah mereka.

 

Bermula Oktober 2018, anda boleh mendapatkan peranti TAG Infra-merah dalam pelbagai jenama yang sesuaikan dengan sistem tol di Malaysia. Kini, MaxTAG oleh Sigma Technology Sdn Bhd sudahpun berada di pasaran melalui platform e-dagang, www.lazada.com.my.

Sebagai bukti kepada keberkesanan peranti tersebut, produk EFKON telah disepadukan sebagai peranti binaan dalam pada beberapa model kereta baharu.

Dengan kadar pengeluaran kini mencecah beberapa ratus ribu unit setahun, TAG yang dihasilkan di Malaysia itu turut dieksport ke Vietnam dan Indonesia.

Dibangunkan pada tahun 1997 dan diperkenalkan di seluruh negara pada 2005, Sistem Kutipan Tol Infra-merah yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat tempatan bersama EFKON terbukti sistem yang paling boleh diharap dan cekap dalam melancarkan aliran lalu lintas di lebuhraya Malaysia.

Menurut pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch, Sistem Kutipan Tol Infra-merah syarikatnya juga sedia digunakan dan sesuai untuk lalu lintas aliran bebas berbilang lorong.

 

“Di Jerman, Sistem Infra-merah yang sama telah terbukti berkesan dan boleh diharap dalam persekitaran lalu lintas aliran bebas berbilang lorong bagi kelajuan lebih 120km/j. Kami juga telah berjaya mengulangi ujian ini di Malaysia.

“Berbeza dengan penyelesaian mudah yang lain, sistem DSRC (Dedicated Short-Range Communication) Infra-merah menawarkan tahap keselamatan yang tinggi serta perlindungan dari penyalahgunaan menerusi pengklonan TAG,” katanya.

Maklumat lanjut, sila layari www.efkon.com atau hantar permohonan anda ke [email protected].

Google ads
Back to top button