ANDA PERLUKAN KEMAHIRAN PEMANDUAN YANG TINGGI UNTUK MENGAWAL SUPERCAR INI
Jika anda biasa memandu kereta dengan konfigurasi FF (enjin di depan dan pacuan depan), maka berhati-hatilah jika anda baru mula belajar memandu kereta dengan pacuan belakang. Terutama sekali jika ia datang dengan enjin yang amat berkuasa. Pengalaman penulis dengan Toyota GR Supra apabila sistem kawalan cengkaman dimatikan, agak menakutkan.
Bayangkan tiba-tiba bahagian belakang cuba melibas ke kiri dan kanan walaupun di jalan lurus. Nasib baik Supra datang dengan sistem ESC yang bijak, walaupun dimatikan jika ia mengesan kereta mulai hilang cengkaman sistem ESC akan datang semula. Ini kelebihan kereta sport moden.
Tapi sesetengah supercar memang sengaja tidak dipasang dengan ESC/VSA/ESP. Maka agak sukar untuk anda mengawal supercar atau kereta sport ini melainkan anda ada kemahiran memandu yang sangat bagus.
1. Porsche Carrera GT – dengan enjin 5700cc V10 yang menghasilkan 603 kuasa kuda dengan cesi yang diwarisi dari perlumbaan 24 Jam Le Mans. Bagi memberikan pengalaman yang bagus pada pemandu kaki race, ia hanya datang dengan transmisi manual dan tiada sistem ESC dipasang pada kereta ini.
Kalau anda buat silap masa selekoh, pandai-pandai la anda kawal gear, klac dan pedal minyak dengan harapan ia tidak menyebabkan anda menghentam kereta lain. Jangan main-main, mendiang Roger Rodas merupakan seorang pelumba berpengalaman ketika kemalangan dengan Paul Walker. Porsche dan anak mendiang Paul Walker membuat penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman yang dibuat
2. Koenigsegg CCX – bila kita sebut Sweden, kita terbayang perabot Ikea dan juga Volvo yang terkenal dengan aspek keselamatan. Siapa sangka orang Sweden pandai menghasilkan kereta yang laju seperti Koenigsegg CCR. Ia dikuasakan dengan enjin 4700cc V8 turbo berkembar yang menghasilkan 806 kuasa kuda dan 910Nm tork
Rekaan luar menekankan aerodinamik yang sangat licin, bagus untuk mencapai halaju yang tinggi namun ia tidak menawarkan cengkaman yang cukup pada tayar. Bayangkan The Stig dari rancangan permotoran Top Gear pernah terbabas sewaktu memandu uji kereta ini dan Koenigsegg membaiki rekaan CCR dengan menambah spoiler belakang.
3. Vectra VXR – kereta ini ada banyak nama seperti Opel Vectra, Vauxhal Vectra, dan juga Chevrolet Vectra disebabkan aktiviti rebadge. Tapi bayangkan anda letak terlalu banyak kuasa pada tayar depan, dan kereta tersebut akan mengalami torque steer. Ini disebabkan tayar depan perlu membuat banyak tugas seperti menerima kuasa, membrek dan mengambil selekoh.
Jadi terlalu banyak kuasa pada tayar depan akan mengganggu kestabilan kereta. Dengan enjin 2800 V6, kereta ini menghasilkan 276 kuasa kuda. Awas, jika anda menekan pedal rapat ke lantai dengan tiba-tiba kereta ini boleh hilang kawalan di laluan lurus malah boleh understeer di lalun berselekoh.
4. TVR Speed 12 GTS – ia merupakan sebuah supercar 7730cc V12 yang berupaya menghasilkan 1000 kuasa kuda dan dipadankan dengan transmisi manual. Ketika ia dibangunkan, ia hanya khusus untuk kegunaan litar. Namun bagi 1 unit homologasi, ia dikenali dengan nama Speed 12 GTS. Tapi kuasa enjin dikurangkan kepada 800 kuasa kuda sahaja.
Sama seperti Carrera GT, ia tidak memiliki sistem ESC, tiada brek ABS, berat kurang 1000kg dan anda memang perlu memiliki kemahiran memandu ala-ala Dominic Toretto untuk mengawal kereta ini.
5. Pagani Zonda – ia merupakan produk kahwin campur antara Itali dengan Jerman. Trenkuasa 7300cc Mercedes yang menghasilkan 750 kuasa kuda dan 780Nm tork dipadankan dengan transmisi manual 6 kelajuan atau 6 kelajuan automatik sequential. Cesi kereta sport ini dihasilkan oleh pembuat kereta sport dari Itali iaitu Pagani.
Walaupun dipasang dengan brek ABS dan juga sistem ESP, salah seorang pemiliknya dan juga juara perlumbaan F1 sebanyak 7 kali iaitu Lewis Hamilton menyifatkan kereta ini sangat buas, susah dikawal, mudah understeer, dan mudah mengalami snap oversteer. Anda perlu membiasakan diri dengan kereta ini sebelum menjadi sangat mahir.