Artikel Pilihan

MEMANG BIJAK CARA HONDA HAPUSKAN “TORQUE STEER”

Kalau anda perasan, kereta prestasi tinggi atau disebut kereta sports jarang sangat menggunakan kombinasi FF dalam rekaan mereka. Kombinasi FF (Front Engine-Front Drive) bermaksud enjin akan dipasang pada bahagian depan cesi dan tugas mengemudi akan dibuat oleh tayar depan.

Tayar depan yang bertanggung jawab untuk menerima kuasa enjin, menggerakkan kereta ke hadapan, mengambil selekoh dan juga membrek. Macam banyak saja tugas tayar depan ni.

Tugas mencengkam permukaan jalan perlu dibuat oleh tayar depan secara efektif bagi memastikan pergerakan kereta berjalan lancar

Bagi sesetengah pengeluar seperti VW Golf R, Volkswagen lebih selesa menggunakan konfigurasi All Wheel Drive atau pacuan semua roda memandangkan ia menawarkan lebih cengkaman tayar sewaktu mula memecut kerana terdapat 4 unit tayar yang menyediakan contact patch berbanding dengan 2 sahaja pada konfigurasi FF

Sebagai contohnya Mazda3 MPS yang dikuasakan dengan enjin 2300cc turbo. Enjin ini menghasilkan sekitar 263 kuasa kuda dan 380Nm mampu membuat pecutan 0-100km/h dalam masa 5.2 saat.

Namun disebabkan terlampau banyak kuasa yang disalurkan pada roda depan, kereta ini menghasilkan fenomena torque steer

TORQUE STEER

Torque Steer adalah fenomena di mana tork yang dihasilkan oleh enjin kereta ketika pecutan dibuat akan mempengaruhi kawalan steering.

Sebagai contoh, stereng akan cenderung untuk kanan atau ke kiri ketika memecut. Bagi memastikan kereta bergerak lurus, pemandu terpaksa menyibukkan diri dengan sentiasa membuat pembetulan roda stereng

Punca utama fenomena ini berlaku ialah kerana perbezaan cengkaman di antara tayar kiri dan kanan dengan permukaan jalan.

Kesan fenomena ini akan bertambah buruk sekiranya tork yang tinggi dikenakan oleh enjin pada tayar dan juga perbezaan ratio yang besar antara tayar dan juga enjin. Ia juga boleh disebabkan perbezaan tork antara tayar kiri dan kanan serta geometri aci pacu (drive shaft) yang tidak sama antara kiri dan kanan.

Bagi memastikan Civic Type R ini ringan dan seronok dipandu, Honda hanya membekalkan kereta ini hanya dengan transmisi kelajuan manual pacuan hadapan.

Jadi, bayangkan apabila Honda Civic Type R dengan enjin 2000cc turbo yang menghasilkan 306 kuasa kuda dan 400Nm tork sudah pasti akan wujud fenomena torque steer pada kereta ini.

Geometri Tayar

Untuk memahami punca fenomena torque steer ini, mari kita belajar sedikit berkenaan dengan geometri tayar dan juga bagaimana cara pemasangan sistem suspensi dan sistem stereng mempengaruhi fenomena ini.

Jika dilihat pada tayar dari belakang, sentuhan antara tayar dengan permukaan jalan dipanggil contact patch. Tayar ini mempunyai satu garis lurus yang membahagikan contact patch kepada dua yang dipanggil garis tengah tayar.

Mekanisma stereng dan suspensi turut memiliki satu garis tengah dalam keadaan condong dan akan bertembung dengan garis tengah tayar. Cara kedua dua garisan ini bertemu akan menentukan sifat scrut radius tayar kereta ini. 

Scrub radius boleh ditakrifkan sebagai jarak dari tengah tayar dengan garis tengah paksi steering (stering axis atau swivel axis). Ada 3 keadaan Scrub radius yang boleh dikategorikan

Scrub Radius Kosong atau tiada – keadaan ini paling ideal di mana garis paksi stering dan garis tengah tayar berada di kedudukan tengah-tengah tayar

Scrub Radius Positif – Paksi stering condong ke dalam mewujudkan scrub radius pada bahagian dalam tayar.

Scrub Radius Negatif – Paksi stering condong ke luar mewujudkan scrub radius pada bahagian luar tayar.

Apabila wujud scrub radius, tork yang dijana oleh enjin dipindahkan pada tayar akan menghasilkan daya yang akan membuatkan tayar berfungsi. Ini dijelaskan melalui rumus daya , F.

F = tork x jarak (scrub radius).

Sampai di sini tuan,puan, dato dan datin fahamkan. Jadi stering akan berputar pada arah mana scrub radius wujud. Jadi untuk hapuskan fenomena torque steer ini, pastikan scrub radius kereta anda adalah kosong, sifar, yillek.

Bagaimana Honda buat?

Jadi objektif utama di sini ialah hapuskan scrub radius dengan mengubah paksi stereng agar ia dekat dengan paksi tengah tayar. Ia boleh dicapai dengan mengubah geometri sistem suspensi tayar depan Civic Type R.

Jadi, Honda memperkenalkan sistem suspensi McPherson Dua Paksi yang memiliki Damper Fork. Dengan menambah komponen Damper Fork, Honda berjaya memisahkan knuckle daripada damper yang mana rekaan lama menggabungkan kedua-dua komponen ini membolehkan kedua dua komponen bergerak.

Apabila Damper Fork ditambah, paksi stering akan berada sangat dekat dengan paksi tengah tayar dan scrub radius berjaya dikurangkan secara drastik.

Jadi apa yang Honda buat sangat bagus dengan mengekalkan rekaan sistem suspensi Topang McPherson, tambahkan komponen Damper Fork yang akan mengubah paksi stereng supaya nilai scrub radius menjadi sangat-sangat kecil.

Tapi rekaan yang dibuat oleh Honda bukanlah yang pertama di dunia kerana syarikat kereta lain turut menghasilkan rekaan mereka sendiri. Ford memanggil rekaan seperti ini dengan nama RevoKnuckle dan GM menamakan rekaan mereka sebagai HiPer Strut.

Agak-agak kalau buat tayar kangkang tu ada tak fenomena torque steer?

Google ads
Back to top button