
TOYOTA COPEN GR SPORT, MISI MENGIDAM BERMULA!!!
Daihatsu Copen sentiasa menjadi perhatian peminat kereta kompak Jepun dan tidak dinafikan ada yang mengidamkan Perodua menawarkan versinya yang tersendiri di pasaran tempatan.
Impian tersebut belum menjadi kenyataan kecuali dimiliki dari bilik pameran recond atau lot kedai kenderaan terpakai. Sebelum itu awas, harga Copen dalam kategori premium.
Copen yang berada di pasaran adalah generasi kedua yang diperkenalkan di Jepun pada 2014 dan menariknya dijual secara rasmi di Indonesia seawal tahun 2015 lagi.
Memasuki tahun keempat di pasaran, ada sesuatu yang segar buat peminat model ini di Jepun apabila Toyota mengumumkan penawaran Copen GR SPORT bermula 15 Oktober 2019.
Seperti yang diketahui umum, Daihatsu adalah subsidiari Toyota dan tiada masalah untuk dijenamakan semula.
Satu penghormatan buat Daihatsu apabila Copen adalah kereta sport pertama dalam siri GR yang dibangunkan TOYOTA GAZOO Racing.
Copen GR SPORT adalah produk OEM yang dikeluarkan Daihatsu dan ditala semula oleh TOYOTA GAZOO Racing. Model ini pernah dipertontonkan dalam bentuk konsep semasa Tokyo Auto Salon awal Januari lalu.
Berikut ialah ciri istimewa pada Toyota Copen GR SPORT:
- Penggunaan pendakap (brace) depan dan menukar bentuk bahagian tengah pendakap. Berfungsi untuk mengoptimum keseimbangan ketegaran badan kereta
- Kadar kekenyalan spring diselaraskan untuk ketegaran badan kereta dan gabungan penyerap hentak khusus menjadikan pemanduan lebih lancar dan rasa tayar yang lebih mencengkam
- Stereng berkuasa elektrik ditala semula untuk lebih rasa bersepadu di antara stereng dan pergerakan kenderaan
- Gril depan menggunakan gayaan “Functional MATRIX” yang merupakan identiti GR
- Ruang udara yang besar pada gril bawah menyediakan lebih penyejukan kepada komponen enjin
- Prestasi aerodinamik ditambah baik dengan memperbaiki aliran udara melalui penambahan sisi bampar dan outlet udara pada bampar depan
- Roda aloi 16 inci forged dari BBS
- Kerusi RECARO dengan logo GR dan stereng balutan kulit dari MOMO
Menggerakkan Copen GR SPORT ini ialah enjin 660cc turbo KF yang memacu roda depan dengan kuasa 64 PS dan daya kilas 92 Nm.Â
Terdapat dua pilihan transmisi iaitu lima kelajuan manual dengan LSD dan CVT tujuh kelajuan Super Active Shift dan tuil penukar gear (paddle shift).
Berkenaan harga Toyota Copen GR SPORT manual ditawarkan pada JPY2,435,000 (RM93,958) manakala versi CVT pula lebih murah iatu JPY2,435,000 (RM91,835).
Kepada yang dah jatuh cinta, paling awal Copen GR SPORT boleh diimport secara recond dari Jepun ialah selepas setahun dan seperti sebelum ini, ianya pada tanda harga premium untuk saiznya yang kecil.
BACA:Â TOYOTA C-HR FACELIFT, LUARAN RINGKAS KEKAL MENAWAN
BACA:Â TOYOTA COROLLA TREK, WAGON ALA CROSSOVER
BACA:Â TOYOTA PERKENAL MPV MEWAH GRANACE 2020 JDM. ENJIN 2.8 TURBO DIESEL,TOYOTA ACTIVE SENSE