Buletin

ASTON MARTIN BANGUNKAN SEMULA KERETA JAMES BOND DB5. TERHAD 25 UNIT, RM14.6 JUTA

Aston Martin DB5 yang dipandu oleh James Bond dalam filem Golffinger sering digelar kereta paling popular di dunia. Sebab itulah model sama yang digunakan dalam filem tersebut berjaya dijual pada harga AS$6 juta (RM26.1 juta).

Memandangkan DB5 begitu popular, Aston martin membuat keputusan untuk menghasilkan semula model tersebut dalam jumlah terhad. Lebih menarik lagi, ia akan dilengkapi dengan semua gajet yang pernah digunakan oleh Bond. 

Projek DB5 Goldfinger Continuation itu diumumkan tahun lalu dengan sasaran 25 unit, tetapi Aston Martin memberitahu ia baru sahaja memulakan produksi unit yang pertama. 

Pembinaan jentera bersejarah itu dibuat selepas 55 tahun ia melepasi saluran pengeluaran di bekas kilang Aston Martin di Newport Pagnell, Buckinghamshire.

Kurang 900 unit dihasilkan dalam tempoh 1963 hingga 1965. DB5 merupakan model kedua dalam program Continuation Aston selepas DB4 GT pada tahun 2017. 

DB5 akan dibina dengan kerjasama penerbit filem James Bond, EON Production. Ia bakal melengkapkan kereta tersebut dengan gajet seperti asap cermin belakang, sistem penyembur minyak, nombor plat yang boleh berputar, replika mesingan di bahagian hadapan, pemotong tayar (replika), panel bumbung penumpang boleh dibuka, telefon pada pintu dan skrin radar.

Kesemua 25 unit itu akan dicat dengan warna perak dan dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa 4.0 liter enam selinder bersama tiga karburator SU. Enjin berkuasa 290hp itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan dan sistem limited-slip differential.

Penyerahan DB5 akan dibuat pada separuh kedua 2020. Ia ditawarkan pada harga AS$3.36 juta (RM14.6 juta)  termasuk cukai.

Harga itu adalah 10 kali lebih mahal berbanding Aston Martin DBS Superleggera 2021. Tetapi DBS tidak memakan masa selama 4,500 jam untuk dibina. 

Google ads
Back to top button