Buletin

GENEVA MOTOR SHOW 2021 MUNGKIN DIBATALKAN. PENGANJUR TAK INGIN PINJAM DUIT KERAJAAN

Geneva Motor Show 2020 menjadi antara pameran kenderaan terawal yang terpaksa dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. 

Berikutan bimbang dengan jangkitan dan kesan COVID-19 yang menakutkan, penganjur terpaksa membatalkan acara tersebut hanya beberapa hari sebelum ia sepatutnya berlangsung.

Pembatalan itu juga membuatkan kebanyakan pengeluar kenderaan melaksanakan pelan B, iaitu melancarkan model secara dalam talian. 

Ketika pandemik ini masih belum menunjukkan tanda akan reda dalam masa terdekat, cakap-cakap mengenai penganjuran Geneva Motor Show 2021 sudah kedengaran. Malangnya, acara pameran automotif penting itu mungkin tidak dapat dijalankan kerana berdepan masalah kewangan. 

Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh penganjur, situasi kewangan mereka kini agak tenat. Untuk mendapatkan dana, Organisation Internationale des Constructeurs d’Automobiles (OICA) terpaksa meminjam daripada kerajaan. Ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima oleh OICA. 

Pinjaman berjumlah 16.8 juta Swiss francs (RM74 juta) itu melibatkan syarat subkontrak acara, termasuklah konsepnya kepada pihak Palexpo SA. Syarat itu jelas bertentangan dengan falsafah OICA, sekali gus menyebabkan mereka enggan menerima pinjaman tersebut. 

Para pempamer juga dikatakan menyokong pendirian OICA dan menggesanya supaya merancang edisi Geneva Motor Show 2022 yang lebih mantap. 

Pembatalan Geneva Motor Show 2021 sebenarnya memberi impak kepada ekonomi Switzerland. Ia merupakan antara acara paling ditunggu-tunggu yang berjaya menarik 600,000 orang pengunjung dan lebih 10000 wartawan dari seluruh dunia. 

Tags
Google ads
Back to top button