Buletin

ASTON MARTIN VANQUISH S ULTIMATE V12 6.0 – HANYA 175 UNIT DI SELURUH DUNIA SEBELUM ERA ENJIN TURBO

Aston Martin Vanquish generasi pertama mula diperkenalkan pada tahun 2001 dan merupakan kenderaan rasmi perisik layar perak terkenal James Bond. Pada 2004, Vanquish S diperkenalkan dengan sedikit perubahan rekabentuk dan pertambahan kuasa.

Mengakhiri model generasi pertama ialah Vanquish S Ultimate Edition dengan hanya 50 unit terhad dan kereta James Bond ini secara rasminya dihentikan pada 20 Julai 2007. 

Pengganti Vanquish tidak digantikan dengan generasi kedua pada tahun sama tetapi dengan sebuah lagi model James Bond iaitu DBS V12. Model ini dipasarkan dengan pelbagai varian sehinggalah ditamatkan pada tahun 2012.

Kemudian barulah Vanquish generasi kedua diperkenalkan dan model ini mempunyai ulangan sama seperti generasi pertama kecuali model convertible Volante pada 2013 dan seterusnya model Vanquish S pada November 2016.

Pada hari ini, Aston Martin telah pun mengumumkan model istimewa Vanquish S Ultimate sempena penamatan model generasi kedua ini. Terdapat dua varian yang dihadkan kepada 175 seluruh dunia ini iaitu Coupe dan Volante.

Sama seperti Vanquish S, edisi Ultimate ini menggunakan enjin V12 6.0 liter aspirasi normal (n/a) berkuasa 595bhp. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik Touchtronic III 8-kelajuan sementara suspensi adaptif 3 tahap dan brek seramik karbon melengkapkan pakej pengalaman pemanduan hebat.

Terdapat tiga skema warna luaran yang dinamakan Designer Themes untuk model edisi terhad ini iaitu Ultimate Black, Xenon Grey dan White Gold masing-masing dengan identiti unik pada interior dan kelengkapan lain seperti roda, ekzos dan angkup brek.

Pelanggan juga boleh memilih untuk menggabungkan skema luaran dan pakej dalaman sebagai tanpa kos tambahan.

Untuk kesemua varian yang ditawarkan, terdapat beberapa kelengkapan yang khusus dipasangkan pada model ini seperti  strake sisi gentian karbon dengan logo Ultimate berwarna rose gold, treadplate gentian karbon dan plak ambang pintu Ultimate, kerusi dengan corak sulaman khas dan logo Ultimate.

Aston Martin Vanquish S Ultimate Edition Coupe ditawarkan pada harga GPB 211,995 (RM 1,191,696) manakala model Volante pula pada harga GBP 223,995 (RM 1,259,234). 

Satu perkara menarik selepas ini ialah, pengeluar Britain itu dilaporkan bakal menawarkan beberapa model hebat termasuk crossover dan juga bermulanya era enjin turbo Aston Martin!

Itu biasa lagi sebab Aston Martin sedang bangunkan kereta hiper yang diberi nama Valkyrie bersama Red Bull dan berkuasa 1,130 kuasa kuda!

BACA: PEMEGANG PHD INI DILANTIK SEBAGAI KETUA JURUTERA NADI KUASA ASTON MARTIN

BACA: ASTON MARTIN UNTUNG BUAT PERTAMA KALI DALAM 10 TAHUN – TERIMA KASIH CHINA

Tags
Google ads
Back to top button