Artikel Pilihan

PORSCHE KEMBALI HASILKAN BREK GELENDONG – KENAPA GUNA TEKNOLOGI LAMA?

Porsche memang sebuah syarikat pengeluar kereta yang lama tetapi mereka juga bertanggungjawab memperkenalkan teknologi moden kepada kereta-kereta keluaran mereka seperti sistem transmisi dengan klac berganda, brek cakera karbon seramik, tapak enjin adaptif dan banyak lagi.

Tapi bila Porsche mengumumkan yang ia akan kembali menghasilkan brek gelendong, ia sememangnya sesuatu yang pelik. Ia kan teknologi lama yang sudahpun dipinggirkan. Apa perlunya untuk menghasilkannya kembali? Takkanlah sebab kos untuk menghasilkan brek cakera karbon seramik terlalu mahal mereka berhasrat menggantikannya dengan brek gelendong?

Jangan terkejut sangat kerana ia sebenarnya bukanlah untuk model-model moden keluaran mereka. Sebaliknya ia dihasilkan untuk Porsche keluaran lama. Sangat lama iaitu Porsche 356 yang mula dihasilkan sekitar tahun 1748 sehinggalah 1956.

Walaupun ia model lama, masih banyak lagi model ini yang masih berkhidmat kepada pemiliknya di seluruh dunia. Disebabkan itu jugalah alat ganti untuk model ini mula mengalami kepupusan.

Permintaan alat ganti pula semakin meningkat khususnya untuk model Porsche klasik menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menghasilkannya kembali bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat khususnya untuk model 356.

Komponen ini akan dihasilkan di Austria berdasarkan rekaan asal sejak mula ia dihasilkan. Ia boleh didapati untuk model 356 A (dihasilkan sekitar 1955-1959), 356 B (1960-1963) dan 356 C (1964-1965).

BACA: GELARAN SUPERCAR PALING LAJU KINI MILIK PORSCHE 911 GT2 RS

Tapi kena ingat, disebabkan ia Porsche dan keluaran klasik, setiap set brek untuk kereta ini dianggarkan bernilai USD2,100. Jadi jika pemilik berhasrat menukar keseluruhan sistem brek untuk Porsche 356 mereka, kos untuk set brek ini sahaja dianggarkan sekitar USD8,500 (RM36,000).

Tapi itulah nilai kereta klasik sebenarnya, tambahan pula ia adalah model terkenal seperti 356. Pepatah Porsche sendiri ada menyebut “There are no old Porsche. Just new owners”. Tidak ada istilah Porsche lama, yang ada hanyalah pemilik yang baru.

VIDEO:

Google ads
Back to top button