
SELAMAT TINGGAL SUBARU WRX STI DAN INI 150 UNIT EDISI TERAKHIR
WRX STI adalah model Subaru ikonik yang merupakan jelmaan Impreza zaman sebelum ini dengan pelbagai kejayaan dalam perlumbaan rali antarabangsa. Walaupun saingan terdekatnya iaitu Mitsubishi Lancer Evolution telah pun tamat setakat generasi kesepuluh namun Subaru masih konsisten menawarkan WRX sehinggalah model terakhir ini.
Subaru WRX STI Final Edition hanya dikeluarkan sebanyak 150 unit sahaja di United Kingdom. Model ini dilengkapi beberapa naik taraf bagi menjadikannya benar-benar istimewa dan sebagai penghormatan terhadap legasinya.
Prestasi pemanduan telah dipertingkatkan dengan menukar dari kawalan mekanikal dan elektronik kepada kawalan elektronik bagi sistem pelbagai mod Driver’s Control Centre Differential (DCCD) dalam memberikan kemampuan selekoh yang optimum.
Saiz roda kini 19 inci bagi memuatkan brek Brembo® baru yang lebih besar dengan angkup berwarna kuning. Brek itu menambah baik rintangan (fade-resistance) dan memberikan rasa pedal yang konsisten sewaktu memandu dalam kelajuan tinggi.
Bampar depan telah direka bentuk semula dengan gril bawah dihitamkan dengan panel bertekstur geometrik dan ruang bukaan yang lebih besar untuk meningkatkan prestasi penyejukan. Gril heksagon telah dikemaskan lagi dengan riasan hitam di sekelilingnya. Logo Final Edition pula dikhaskan pada pintu kereta.
Pada bahagian dalaman, WRX Final Edition dilengkapi tema warna hitam kilat dan sulaman merah pada stereng selain tali pinggang keledar dalam warna tersebut. Kerusi depan sekarang ini mempunyai fungsi pemanas manakala skrin pelbagai info dengan ukuran 5.9 inci diletakkan di atas papan pemuka.
Selain itu, panel instrumen didatangkan dengan rekaan baharu manakala sistem infotainmen dilengkapi fungsi radio DAB. WRX ini juga dilengkapi kamera undur supaya lebih senang untuk saya parkir.
WRX STI juga dilengkapi dengan lampu LED projektor dua fungsi di mana satu mentol membolehkan Bantuan Beam Tinggi (High Beam Assist) untuk beralih di antara lampu puncak dan rendah dilakukan secara automatik.
Teknologi Pembantu Beam Tinggi beroperasi melalui kamera satu lensa yang dipasang di cermin depan dan mengesan apabila kereta dari depan semakin hampir. Lampu ini juga sensitif pada tindak balas stereng di mana ia boleh bergerak mengikut pembelokan kereta seterusnya menghidupkan nyalaan lampu supaya lebih selamat.
Subaru WRX STI Final Edition sekarang ini sudah boleh ditempah di UK pada harga GBP 33,995 atau RM 190,790 di atas jalan. Dengan pengenalan model terakhir ini tidak dapat dipastikan apakah yang bakal ditawarkan kepada pasaran. Tiada lagi pengesahan daripada Subaru kecuali model WRX Concept yang sekarang ini dipertontonkan di Pameran Kenderaa Tokyo ke-45.